Monday, November 28, 2011

MENULIS: KENAPA BUNTU?

Baiklah. Plot telah anda rancangkan. Dan anda telah bersiap-sedia. Masa 30 hari sudah semakin kurang, sebagaimana bertambah kurangnya masa anda di alam fana ini. Anda menghadap komputer dan tiada apa yang keluar. Itu dia, WRITER'S BLOCK! Benda paling ditakuti oleh penulis, selain dari PENOLAKAN MANUSKRIP. Kenapa? Sebab kalau tak tulis, macamana orang nak tolak manuskrip kita? Kebuntuan adalah masalah utama penulis.

Jika anda menghadapi writer's block pastikan sebab-sebabnya dahulu:

1. Adakah anda berada di hadapan komputer dengan Internet terpasang?
Jika ya, cabutkan semuanya. Ataupun set up komputer lain di tempat lain yang bukan tempat bermain internet. Terpasang sahaja internet, tamatklah riwayat idea anda. Anda berFB, berWiki, berFF, tengok blog orang, dan lain-lain. Sebenarnya menulis depan internet lebih bahaya dari menulis depan TV sebab berinternet mesti guna tangan. Tangan tak pernah bebas, mesti pegang tetikus dan menaip sesuatu. Jika menulis tengok TV, mata sahaja yang melihat, fikiran boleh menerawang jauh. Anda kata anda hendak berinternet lima minit, tengok-tengok 5 JAM melayang begitu sahaja!

2. Anda tidak mempunyai kekuatan mental.
Anda ada idea tapi minda anda tidak dapat membayangkannya. Praktis, buka TV. Tengok segmen 5 minit satu episod police procedural yang agak lemah (jangan tengok Prison Break, musim 1) dan lihat aksi dan dialog selama 5 minit. Kebanyakan dialog, aksi, dan prosedur adalah tidak munasabah dan mungkin salah (Hah? Macamana dia boleh keluar dari sel dia dan berjumpa musuh dia di lawn penjara? Lepas tu, orang jahat tu boleh bawa screwdriver? Jaga tak buat apa-apake? Dua musuh ketat bergaduh di kawasan penjara tanpa sebarang tindakan? Tak lojik, tak lojik) Tapi ia berjaya di produksikan kerana setiap langkah diimaginasikan di papan cerita dan di dalam skrip. Anda mesti berbuat demikian. Imaginasikan langkah demi langkah.

3. Cari masalah dalam diri dan selesaikan dalam cerita anda. Jangan tipu. Anda mesti ada unfinished business dalam hidup anda. Pengalaman menghadapi trauma. Musuh-musuh kejam. Ditinggalkan. Dikecewakan. Tidak pernah menang walau satu hadiah pun dalam temasya sukan sekolah. Ambil satu. Gandakan masalah kecil jadi global catasptrophe dan anda katakan pada diri anda - Ini cerita aku. Aku mesti tulis, jika tidak aku takkan hidup dalam aman selagi aku bernyawa (tambah juga unsur-unsur dramatis)

Teruskan usaha dengan niat mencari keberkatan Allah SWT.

Pascaskrip: Seorang pemberi motivasi tidak semestinya melakukan apa yang dimotivasikannya. When you can't, you make others do it.

Saturday, November 19, 2011

PENULIS 'KATAK BAWAH TEMPURUNG' VS PENULIS PENGEMBARA KELILING DUNIA

Sudah menjadi satu kebiasaan pula di zaman global ini, fiksyen menggunakan latar tempat luar negara.


Tidak ada masalah sebenarnya. Tiada masalah langsung.

Tapi bagaimana pula dengan penulis yang tiada pengalaman berada di tempat lain selain dari kampungnya, daerahnya, negerinya dan negaranya? Terbelakangkah penulis yang sebegini?

Saya ada satu petikan dari penulis Australia bernama Henry Lawson (1867-1922). Siswa-siswi yang belajar di sekolah menengah di dalam Malaysia dari tahun 2000 hingga 2009 pastinya ingat cerita pendek ‘The Drover’s Wife’ yang dipelajari dalam KOMSAS Bahasa Inggeris Tingkatan 4. Dalam biodata pendek Henry Lawson, penulis ini telah berkata:

“The first seventeen years of my life were spent on the goldfield and, therefore, I didn’t need to go back, in imagination, to a time before I was born and to a country I have never seen, for literary material.”

Henry Lawson berkata yang negara tanah tumpah darahnya adalah sebuah ‘lombong emas’ dan dia tidak perlu pergi ke negara lain, atau ke masa lain untuk dia menggali bahan ceritanya.

Melainkan anda ingin menulis sebuah travelog, anda sebenarnya tidak perlu terlalu rungsing kerana tidak menulis fiksyen anda berlatarbelakangkan negara lain, atau budaya lain. Di mana-mana latar tempat pun, isu yang anda bawa boleh berdialog di peringkat antarabangsa.

Tapi kalau ada peluang melancong atau belajar di negara orang nanti, janganlah sengaja lepaskan peluang pula!

Saturday, November 12, 2011

PROGRAM MENULIS 30 HARI

Menulis novel adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa-paksakan. Namun, jika hati sudah memasang niat, tapi tidak dipaksa, susah untuk mendapat hasilnya. Jadi, sekadar untuk memberi galakan kepada rakan-rakan penulis, saya ingin kongsikan rahsia ini iaitu Program Menulis 30 Hari.


HARI 1: Fikirkan plot lengkap. Latar tempat, watak, konflik, isu & ideologi. Sebab anda kesuntukan masa, anda tiada pilihan selain memikirkan cerita anda down to the last detail dalam masa SATU hari.

HAR1 2: Bab 1 & 2 (2000 patah. Patah perkataan, bukan abjad. Bahagian ini senang sebab anda baru hendak establish watak - latar, konflik. Touch and go)


HARI 3: Bab 3 (4000 pp) ( Dari sini, lembab sikit)

HARI 4: Bab 4 (6000 pp)

HARI 5: Bab 5 (8000 pp)

HARI 6: Bab 6 (10 000 pp)

HARI 7: Bab 7 (12 000 pp)

HARI 8: Bab 8 (14 000 pp)

HARI 9: Bab 9 (16 000 pp)

HARI 10: Bab 10 (18 000 pp)

HARI 11: Bab 11 (20 000 pp)

HARI 12: Bab 12 (22 000 pp)

HARI 14: Bab 13 (24 000 pp)

HARI 15: Bab 14 (26 000 pp)

HARI 16: Bab 15 (27 000 pp)

HARI17 : Mantapkan Bab 1 & 2

HARI 18: Mantapkan Bab 3 & 4

HARI19: Mantapkan Bab 5 & 6

HARI 20: Mantapkan Bab 7 & 8

HARI 21: Mantapkan Bab 9 & 10

HARI 22: Mantapkan Bab 11 & 12

HARI 23: Mantapkan Bab 13 & 14

HARI 24: Mantapkan Bab 15 & bab tambahan yang tiba-tiba muncul

HARI 25: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 1-7)

HARI 26: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 8-15)

HARI 27: Format

HARI 28: Mencetak

HARI 29: HARI KELUAR DARI GUA

• Lawatan ke kedai fotokopi (Buat salinan & jilidan)

• Lawatan ke pejabat pos

HARI 30: Cari obsesi baru

Seperti kata orang putih: All the Best!

Monday, November 7, 2011

Tanggapan: BUMI LESTARI karya Rebecca Ilham

BUMI LESTARI adalah novel penulis tempatan pertama yang saya coretkan buah fikiran saya tentangnya. Saya tidak pernah menulis tentang novel-novel penulis tempatan kerana berasa diri tidak layak dan takut jika terserempak dengan penulis itu, ia akan jadi janggal. Rupa-rupanya, itu semua adalah sangkaan paranoid saya. Sedang saya sendiri tidak ambil hati jika novel saya dikritik (Hey, Sri Rahayu, orang dah baca novel kau pun dah cukup bagus tau. Apatah lagi jika pembaca itu buka komputer dan MENAIP tentang novel kau, itu sudah kira terlalu hebat, walau apapun tanggapannya), sudah tentu satu ulasan daripada rakan penulis amat dialu-alukan.


Rebecca Ilham wajar dipuji atas dua perkara. Beliau seorang ahli akrobat bahasa. Bahkan beliau bagaikan penari ballet yang menggunakan bahasa sebagai gerak tari. Ayat-ayatnya, patah perkataannya indah belaka dan tidak ada satu kesalahan pun yang saya kesani. Dan saya tahu ini bukan kerja editor kerana novel saya juga diedit namun ‘pria’ jadi ‘peria’ (sungguh memalukan). Ini memang tahap kualiti penggunaan bahasa yang Rebecca Ilham letakkan pada dirinya sendiri. Sungguh hebat.

Kedua, Rebecca Ilham membawa isu yang jarang dipaparkan dalam kesusasteraan remaja negara ini iaitu isu tentang hak kaum peribumi dan kapitalisme menentang kemanusiaan. Untuk percubaan pertama, Rebecca Ilham sepatutnya mencuba isu-isu yang ringan sahaja – bercinta di kampus, keluh-kesah pencarian jodoh (jangan lupa sertakan dalil-dalil naqli), atau cerita perjalanan mengharung dunia kerjaya bagi seorang graduan (idealisme lawan realiti).Namun kita tahu yang penulis ini meletakkan satu piawai yang tinggi bagi dirinya. Syabas.

Namun begitu, terhadap dua kelemahan dalam BL. Pertama ialah latar tempat luar negara yang agak mengganggu pembacaan. Watak-watak bergerak melalui banyak tempat dalam masa yang amat singkat, menjadikan fokus terhadap cerita terganggu. Latar tempat ini sekadar menjadi tempat watak-watak berdialog. Tidak salah menggunakan latar luar negara jika ia menjadikan cerita lebih efisien. Contohnya, latar luar negara untuk menjadi tempat watak menjalani pengasingan diri, mempelajari sesuatu yang membawa kematangan diri, mencari sesuatu yang berharga (orang atau barang) atau menunjukkan perbezaan nilai antara dunia tempatan dan dunia luar negara. BL sebenarnya akan lebih berkesan tanpa latar luar negaranya.

Kedua, ialah begitu banyak kali watak-watak dalam BL makan dan minum. Jelas jenis kopinya, pai, dan menu luar negaranya. Bagi cerita yang singkat, eloklah jika deskripsi tentang makanan dikurangkan atau ditiadakan, apatah lagi apabila watak Amira mengalami masalah kesihatan akibat malnutrisi.

Walaubagaimanapun, BL adalah novel sulung yang menjanjikan penambahbaikan dan kematangan dalam novel-novel Rebecca Ilham yang seterusnya.

Tuesday, November 1, 2011

ASAL-USUL KARYA

Oh, saya memang tidak berapa serius. Benda-benda yang menghiburkan boleh menjadi sumber idea. Itu bukan bermakna saya hedonis. Saya hanya suka mendengar radio dan menonton media, walaupun ada berjuta kerja yang saya wajib siapkan. Maaf Boss!!! (Ada banyak boss)




Tajuk: IMPULS/ ROH

Tempat lahir: Apartmen keluarga

Teks Nenek-Moyang (buku): Evolution Deceit (Harun Yahya)

Inspirasi Muzik: Silent Lucidity (Queensryche – siapa dengar muzik Queensryche lagi?), Untitled (Simple Plan), Waiting For The End (Linkin Park)

Inspirasi Filem: The Matrix (1999), Source Code (skrip filem)




Tajuk: BIMASAKTI MENARI

Tempat lahir: Apartmen keluarga

Teks Nenek-Moyang (buku): Tiada

Inspirasi Muzik: Fireflies (Owl City), Satu pagi hening, 6.30 pagi, sedang memandu ke tempat kerja dengan radio terpasang. Tiba-tiba berkumandang lagu baru di Hitz.FM. Liriknya jelas di telinga. Kau takkan percaya jika sepuluh juta kelip-kelip menerangi langit ketika aku sedang mahu tidur… Aku mahu percaya yang planet Bumi berputar perlahan… Aku tertidur. Saya berkata – WOW! Apa benda ni?! Macam mana penyanyi/ penulis/ pemuzik ini boleh menghasilkan lagu semata-mata tentang kelip-kelip? Saya anak jati Kuala Selangor. Kenapa orang putih ini boleh tulis lagu pasal kelip-kelip? Tidak boleh dibiarkan perkara ini terjadi. Airplanes (B.O.B & Hailey Williams) Tidak lama kemudian, saya terdengar pula lagu Airplanes - Boleh tak kita bayangkan bahawa cahaya lampu kapal terbang di langit malam adalah bintang yang melintas, kerana aku mahu membuat satu permintaan sekarang juga? Kaji falak amatur? Boleh cuba?

Inspirasi Filem: Disney’s Tangled (Tanglung menghiasi langit), hero berkorban untuk gadis yang dicintainya. (Saya seorang romantis yang tidak boleh ditolong lagi)

RALAT: Alhamdulillah. HSKU 2010 disambut secara sederhana dan ia berjalan lancar. Terima kasih kepada semua AJK Pelaksana HSKU yang bertungkus-lumus malam itu. Saya tidak berapa selesa dengan desakan media yang mahu menemuramah sedang tetamu kehormat belum beredar. Apatah lagi apabila tetamu khas itu ialah Menteri Pelajaran Malaysia. Saya tidak ‘mengungguli’ HSKU selama 6 tahun berturut-turut. Saya bertuah novel saya dapat pertama sebanyak 5 kali. Novel saya mendapat tempat pertama sebanyak empat kali berturut-turut. Novel saya Odisi Tanah Kencana mendapat tempat kedua pada HSKU 2006. Kesilapan sebegini tetap berlaku sedangkan sejarah HSKU tertulis di belakang SETIAP buku penerbitannya. GAH!