Sunday, July 29, 2012

RAMADHAN & JANJI DUNIA PENULISAN

Ramadan al-Mubarak datang dengan cabaran yang berbeza buat penulis. Masa dalam Ramadan berlalu terlalu cepat. Dari waktu bangun sahur sehingga berbuka puasa sehingga solat terawih dan waktu masuk tidur (lebih awal, supaya boleh bangkit untuk sahur). Ramadan juga menyaksikan jalan raya lebih cepat menjadi sesak. Gerai-gerai di dirikan di tepi jalan, di simpang-simpang, berhampiran lampu isyarat semenjak jam 3.00 petang lagi tanpa memikirkan soal keselamatan dan seterusnya membuatkan jalan raya sesak dan menjadikan kita sentiasa terlambat. Anak-anak pula mesti dijemput lebih awal, dan kita sendiri mesti ‘beat the jam’, maka bergerak lebih awal.


Boleh dikatakan, secara peribadi, saya jarang-jarang dapat menulis ketika menjalani Ramadan. Jika sepanjang tahun, saya boleh tipu-tipu malas memasak, bukan sekarang. Memasak mesti serba-serbi – nasi, kuah daging, sayur, bubur, bancuh air. Jika asyik membeli di bazaar Ramadan, akan terseksa di waktu sahur baru sibuk-sibuk hendak menumbuk sambal.

Jadi saya berkata dalam hati. Tidak mengapalah, jika tidak dapat membuat pahala menulis di dalam bulan Ramadan, banyak lagi peluang untuk mendapat pahala. Tetapi hati terubat bila terkenangkan cerita Pn. Norshida, pustakawan National Library Board of Singapore yang bercerita tentang kata-kata penulis Habiburrahman el-Shirazy yang bunyinya lebih kurang begini, “Saya menulis kerana di dalam tidur juga saya masih beramal ibadah.” Maka saya ambil maksudnya, jika saya merancang-rancang dalam tidur akan karya yang seterusnya, maka insyaAllah saya masih boleh mendapat ganjaran pahala menulis.

Dan selepas Ramadan, penulis-penulis bolehlah memasang sasaran baharu. Terutamanya apabila seorang editor terkenal sudahpun menyiarkan dalam facebook (saya bukan ‘user’ tetapi ‘stalker’) yang segala rahsia akan terungkai selepas Aidilfitri. Sebagai peminat saya akan beri perhatian kepada 2 sayembara – HSKU 2011 dan juga Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Utusan oleh kerana ingin membaca laporannya. Sayembara-sayembara ini, jika kita tidak menyertai atau memenangi, baca laporan pun sudah cukup puas.

Sementara itu, saya akan menikmati Ramadan yang singkat ini untuk lebih banyak berfikir-fikir.

Selamat menjalani ibadah puasa & semoga terus boleh berfikir-fikir untuk menulis.



Wednesday, July 11, 2012

MENYEMAK PROOF: PENYEKSAAN BERKALI-KALI

Jika ada rezeki, anda akan menerima first proof karya anda untuk disemak dan anda membuat pembetulan. Kemudian, second proof pula datang. Tiada yang lebih memuaskan hati apabila melihat manuskrip anda telah di typeset. Di waktu itulah anda akan berkata. “Huh? Akukah yang buat kesilapan macam ni?” Percayalah, memang itu adalah kesilapan anda.


Tetapi memeriksa manuskrip adalah sesuatu yang memenatkan emosi. Anda terkenang kembali apa yang menyebabkan anda menulis sedemikian rupa. Anda terkenang kembali akan keadaan emosi anda yang menyebabkan karya anda begitu. Sedangkan sekarang, setahun selepas itu, anda adalah orang yang berbeza dan sedang memulakan karya yang baharu dengan set emosi yang berlainan.

Dan akhirnya sampai juga ke bahagian itu – bahagian klimaks di mana semuanya musnah dan bercerai dan berselerak. Anda menulisnya dengan linangan air mata dan lagu tema bermain di speaker setahun lalu. Anda mesti hadapinya sekali lagi. Dan lagi untuk second proof. Dan akibat ketahanan emosi yang rendah anda berkata, “Aku takkan ubah apa-apa.”

Itulah sebab saya tidak membaca karya yang telah siap diterbitkan. Melainkan dipaksa.



Saturday, July 7, 2012

TAKLUKLAH DUNIA, PUTERA PUTERI KAMI

Jika ada satu tempat yang anda perlu jadikan destinasi apabila ingin menulis novel remaja, ada satu tempat yang anda wajib pergi. Saya bukan bercakap tentang Istanbul, Mumbai, Colorado, Kuala Selangor, Kaherah, London, Glasgow, Wellington, Ulan Bator. Pergilah ke sekolah menengah yang terdekat anda. Ketepikan kritikan untuk tenaga pengajar atau sistem pendidikan atau cara-cara budak-budak berkelakuan. Cuba duduk sebentar, jadi halimunan dan hanya mendengar. Cari isi dalam turun naik kalimah-kalimah penuh slanga. Ada aspirasi di sebalik duka cita. Ada harapan di sebalik sumpah-seranah. Beratus tahun dahulu, mereka inilah yang pergi berperang.


Apabila anda pulang, ingat kembali wajah-wajah mereka. Setiap satu wajah ada cerita sendiri. Setiap wajah, satu cerita. Ceritanya ialah ‘Siapa aku?’




Suwarna Laxhsmi Ramanathan: Tokoh NILAM Sekolah Menengah Daerah Hulu Langat

Muhammad Iyad: Apabila anda di atas sana, anda yang terbaik.

Aziz, Lukman, Muazzam: Apa lagi helah mereka?

Satu hari yang lazim di sekolah menengah: What is going on?!
 P/S: Apa anda lakukan di zaman remaja?

Friday, June 29, 2012

BULAN MEMBACA DI SMK PANDAN JAYA

Pada 2 Julai 2012 (Isnin) akan dilangsungkan acara perasmian Bulan Membaca di sekolah tercinta tempat saya bertugas – SMK Pandan Jaya, Ampang. Dengar gosip macam meriah saja. Dengar gosip bahawa saya akan mengadakan kuiz dan pelajar yang dapat menjawab soalan akan menerima hadiah buku percuma.


Tetapi kerana saya tiada buku baharu terbit setakat ini, maka saya akan hadiahkan buku lama yang masih baharu. Manakah antara buku-buku ini akan menjadi pilihan? Kita tunggu hari Isnin ini.

Bukan Legasi Lalang, Merdekakan Cinta Ratna, Odisi Tanah Kencana, Warisnya Kalbu, Kasih Nan Agung & Impuls/ Roh (semua ada di PSS)

Buku apa yang dibaca?

Thursday, June 21, 2012

KITAR SEMULA: ‘WALK THE TALK’

Semenjak jadual pemungutan sampah domestik di kawasan kejiranan saya jadi tidak menentu, saya dan keluarga telah membuat keputusan untuk akhirnya mengamalkan kitar semula. Hasilnya, sampah domestik dapat dikurangkan dari 4 beg plastik seminggu kepada 1 beg plastik sahaja. Dan saya boleh mengumpul plastik untuk dikitar semula sehingga 4 hingga 5 plastik selama berminggu-minggu kerana plastik ini bersih.




Biru, plastik. Hitam, aluminium. Putih, botol kaca. Apa tunggu lagi? Angkat le.


Bakat terpendam

Menunggu habuan


Sehingga bulan depan!

Apabila aktiviti pelik ini dilihat oleh jiran-jiran, mereka akan bertanya, “Berapa dapat?” Saya akan menjawab. “Kitar semula bukan pasal duit. Tapi kitar semula untuk bumi kita.” Itu kira rumusan pendek yang menggantikan ceramah panjang seorang cikgu yang ‘skema’.

Apabila selesai proses – KA - CHING! RM 3 untuk 4 beg besar berisi plastik, sedikit botol kaca dan tin aluminium.

Kebaikan kitar semula:

1. Mengurangkan sampah domestik.
2. Baik untuk alam sekitar.
3. Rasa hebat apabila melakukannya. Seolah-olah kita berjuang untuk sesuatu yang besar lagi penting sedangkan kita manusia biasa yang kerdil.

Kesukaran untuk kitar semula:

1. Perlu luangkan masa sekali dalam sebulan untuk menghantar plastik ke kompleks beli-belah sambil beli bekalan dapur.
2. Bagi rumah yang kecil, keadaan menjadi agak rimas melihat beg-beg berisi plastik.

Apabila anak-anak saya sudah besar, saya ada rancangan besar untuk mereka dalam industri kitar semula. Kecil-kecil sudah tunjukkan bakat.

Hmm. Siapa hendak mencuba tulis novel tentang aktiviti kitar semula? Sebuah fiksyen sains, mungkin?

 

Friday, June 8, 2012

JENAKA HUJUNG MINGGU UNTUK PENULIS WANITA YANG JUGA IBU/ SURI RUMAHTANGGA

SUAMI: Kenapa awak baca buku nama bayi? Awak mengandungkah?
PENULIS WANITA/ IBU/ SURI RUMAHTANGGA: Tidaklah bang. Saya MEN-ULIS.

MORAL: Penulis wanita yang solo, yang sedang menuntut, yang sedang bergelumang dengan dunia profesional - mengembaralah, belajarlah, berdiskusilah dan MENULISlah sepuas-puas hati seperti esok tarikh akhir untuk semua karya anda.

Thursday, June 7, 2012

HIMPUNAN ALUMNI HSKU: MENGENANG 25 TAHUN

HIMPUNAN ALUMNI HSKU: MENGENANG 25 TAHUN


Lihat apa yang saya jumpa di dalam peti pos! Pelik yang apabila saya menggoogle tentangnya, tiada maklumat yang berdaging untuk saya kunyah – jadi saya poskan di sini. Mungkin atur cara ini akan berubah, siapa tahu?



ATUR CARA MAJLIS
HIMPUNAN ALUMNI HSKU: MENGENANG 25 TAHUN
Sastera Membina Tamadun Bangsa
13 Jun 2012 (Rabu)
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

8.30 pagi: Pendaftaran peserta & sarapan pagi

8.50 pagi: Bacaan Doa

9.00 pagi: Ucapan Aluan oleh En. Zin Mahmud (Pengarang Mingguan Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa HSKU 2011)

9.10 pagi: Ucapan Aluan oleh Wakil DBP

9.20 pagi: SIDANG 1: SASTERA MEMBINA TAMADUN BANGSA
Panel – SN Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah
Panel – SN Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan

11.20 pagi: Minum pagi

11.40 pagi: SIDANG 2: PROSES PENILAIAN KARYA DALAM HSKU
Panel: Dr. Amida Abdulhamid

12.40 tengahari: Penyampaian hadiah penghargaaan kepada bekas Pengerusi Panel Hakim

12.50 tengahari: Makan tengahari & Solat

2.00 petang: SIDANG 3: SASTERA: NILAI & ESTETIKA PENYATUAN MASYARAKAT
Panel – Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin

3.00 petang: SIDANG 4: MASA DEPAN HSKU
Panel – Dr. Mohamad Saleeh Rahamad
Panel – Puan Sri Rahayu Mohd Yusop

4.45 petang: Pembentangan Resolusi
Prof. Madya Dr. Hashim Ismail
Pengerusi Panel Hakim HSKU 2011

5.00 petang: Minum Petang/ Bersurai


KOMEN 1: Di saat anda menerima jemputan sebagai panel dalam sebarang program berkaitan sayembara, anda tahu yang anda tidak lagi berada di dalam senarai pemenang. Farewell HSKU, my old friend.

KOMEN 2: Di saat anda menerima jemputan sebagai panel dalam sebarang program sastera, anda menyesal tidak melanjutkan pelajaran dalam bidang tersebut. Dan tahun-tahun yang terbazir, oh! Dan kemudian, anda lihat diri anda berkain batik dan berkemeja T menonton episode Lights Out di FX back-to-back di penghujung cuti sekolah dengan kertas peperiksaan pelajar untuk ditanda di atas meja berselerak dan anak-anak sedang mengotorkan ruang tamu dengan water colour, anda berkata – Hey, ini masih seronok.

Tuesday, June 5, 2012

WARISNYA KALBU & READ! SINGAPORE 2012



Pada bulan Februari 2012, tanpa disangka-sangka saya menerima emel dari National Library Board Singapore yang mengatakan yang novel ‘Warisnya Kalbu’ telah terpilih sebagai salah satu teks dalam Program READ! Singapore 2012. Petanda amaran terus berbunyi dalam fikiran saya – passport saya sudah mati semenjak tahun 1998. Sekian terima kasih. Saya menangguhkan untuk mengambil sebarang tindakan dengan harapan yang emel itu hanyalah sebahagian dari imaginasi saya. Tetapi emel seterusnya datang, surat jemputan rasmi, dan sebagainya. Saya terus menangguhkan untuk membuat passport sehinggalah Pn. Norshida, pustakawan yang menguruskan jemputan ini bertanyakan nombor passport supaya beliau boleh menempah tiket penerbangan. Apalagi, berkejaranlah saya ke Imigresen Putrajaya untuk membuat passport pada hari Sabtu. Saya dapat nombor jam 8.30 pagi. Saya dapat passport jam 12.30 tengahari.

Di samping itu, saya juga ada menggoogle tentang program ini dan telah mengetahui yang penulis-penulis besar bertaraf selebriti-ilmuwan sudah beraksi di pentas READ! Singapore – Faisal Tehrani, Andrea Hirata dan Habiburrahman El Shirazy. Saya mengucap syukur kepada Allah SWT kerana mendapat peluang ini.

Bergambar bersama guru-guru dan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Yusoff Ishak, Sekolah Menengah Bukit Panjang & Sekolah Menengah Bukit Panjang selepas bengkel

Jangka lawatan ini adalah selama 4 hari 3 malam dan ia penuh dengan pelbagai program. Mengetahui yang saya amat menggemari muzik rock pelbagai dan kadangkala lagu-lagu pop yang baik, saya diminta menjadi fasilitator satu bengkel yang bertajuk 'Menjana Minda Dalam Penulisan'. Tidak menjadi satu kecacatan yang lagu tema 'Warisnya Kalbu' dalam minda saya ialah 'Run To The Water' oleh LIVE (kugiran ini telah berpecah). Novel 'Bimasakti Menari' pula tanpa segan silu diinspirasikan oleh lagu 'Fireflies' oleh Owl City.
 
Jadi anda boleh bayangkan bagaimana pelajar yang dibengkel di Sekolah Menengah Yusoff Ishak (sekolah presiden pertama) bergembira walaupun jam sudah mencecah 5 petang pada Rabu 30 Mei. Mereka menyanyi korus lagu pilihan dan melakonkan satu skrip pendek yang diinspirasikan oleh lagu pilihan mereka - antaranya, What Makes You Beautiful (One Direction) dan Terukir di Bintang (Yuna).
 
Sungguh mengujakan!

Wednesday, December 21, 2011

APRESIASI UNTUK AJK PELAKSANA PPMN 2011

Saya tidak dapat menghadiri PPMN 2011 anjuran PENA di Jalan Bellamy walaupun saya tinggal di Ampang. Apabila Jumaat-Sabtu-Ahad itu berlalu, saya terfikir – “Apa yang diaorang sedang lakukan sekarang?”, “Siapa yang sedang bercakap sekarang?” Dalam fikiran saya, jika ia diadakan di lokasi yang jauh pada musim seterusnya, apakah peluang saya untuk menghadirinya?


Apabila ia telah berakhir saya lega. Hidup saya seimbang kembali. Saya terfikir AJK Pelaksana yang pastinya akan jatuh demam selama seminggu. Saya berfikir – Kenapa mereka menganjurkan program ini? Apa keuntungannya untuk mereka? Saya tahu apa keuntungannya dan ia bukannya di dunia. Jika ada pun, terlalu sedikit untuk pengorbanan tenaga, masa, keseimbangan emosi, dan kewarasan mental yang telah diberikan sejak berbulan-bulan lamanya. Paling kurang pun enam bulan. Dan mereka-mereka ini adalah bapa, ibu dan anak-anak kepada keluarga mereka di rumah. Bayangkan masa yang mereka telah pinjam dari keluarga mereka. Untuk apa? Kalau ahli politik hadir kerana memikirkan tentang nasib mereka penggal depan, AJK fikir apa? Sesuatu yang bukan berkenaan diri mereka untuk tempoh 50 tahun di mana mereka sudah lama tamat jangka hayat.

Saya hanya boleh meneka apa yang AJK Pelaksana telah lakukan. Mesyuarat demi mesyuarat, tempahan lokasi, katering dan jemputan. Jika ada VVIP lagilah teruk. Dengan siapa mereka hendak tuntut duit minyak dan duit panggilan telefon, jika mereka jenis orang yang berkira? Saya tahu orang yang berkira tidak akan jadi AJK Pelaksana. Lepas itu, cari tokoh-tokoh untuk jadi pembentang kertas kerja. Ada yang dapat, ada yang tak. Cari orang lain. Sampai dapat. Sudah dapat, kena dapatkan kertas kerja dari tokoh-tokoh dan mesti diperbanyakkan. Berapa banyak? Tak confirm sehingga saat akhir kerana ada yang merancang nak tersembol di muka pintu (macam saya, tapi tak sampai) secara tiba-tiba. Susah nak buat komitmen. Tapi AJK Pelaksana begitu terbuka. Sentiasa mengalu-alukan kehadiran walaupun pada saat terakhir. Yuran RM 40 itu satu keajaiban. Saya pernah hadir bengkel 9.30 hingga 5.30 dengan bayaran RM 50.

Seminggu sebelum program, isu logistik. Punggah kertas yang berbeban-beban tadi ke lokasi atau halfway house. Kalau dah siap stapler tak pe. Masukkan dalam fail. Simpan dalam kotak. Malam sebelumnya, akan ada kecoh walaupun kita sudah buat yang terbaik. Peserta sampai. Ada yang nak tinggal di situ, ada yang tak nak. Ada yang nak duduk dengan geng, ada yang tak da geng. Semua OK? Bilik ada letrik, air? Makanan macamana pula?

Sesi demi sesi berlalu. Ketika peserta khusyuk mendengar ceramah, jangan harap AJK Pelaksana dapat mendengar. Fikiran sentiasa sibuk dengan apa yang akan berlaku selepas ini. Ada AJK yang kena mencatat prosiding. Waktu orang berdialog, AJK sibuk buat panggilan telefon ke sana ke sini untuk sesi seterusnya. Akhirnya, AJK langsung tidak dapat menikmati sajian minda dari tokoh-tokoh tadi. Redha sahajalah. Ilham tetap datang jika dizinkan oleh Allah SWT.

Pejam-celik, pejam-celik. Dua hari sudah berlalu. Semua orang balik. AJK Pelaksana mengemas tempat yang bagai telah dilanda ribut. Di waktu ini, dah tak rupa orang. Penat jangan cakap. Rasa nak demam. Pinggang nak tercabut. Lutut bengkok lain macam. Lepas tu, macam biasa, akan ada post-mortem, yang diminta dan tak diminta. Di waktu ini maaflah jika yang dahulunya sahabat  akan jadi seteru. tapi semuanya bersifat sementara. Kalau ambil masa seribu tahun pun, ia akan berakhir juga. Kena hadapi. Tindakan paling gentleman dan heroic ialah memikulnya di bahu macam seorang wira.
Saya tahu AJK Pelaksana takkan pernah serik untuk melaksanakannya lagi di musim akan datang. Dan kami takkan pernah serik untuk datang.

Salut!

Tuesday, December 6, 2011

MENYELAMI FENOMENA ‘TWILIGHT’

Saya mengaku yang saya mempunyai semua buku ‘Twilight’ Saga, termasuk dengan set buku catatan yang dijual dalam tin. Tetapi ia berhenti di situ. Saya tidak membeli buku tentang pelakon filem tersebut. Saya seorang pengkaji ‘trend’ dan bukannya seorang ‘fangirl’. Tentang buku catatan dalam tin itu ialah sebab saya mengumpul segala jenis buku catatan. Selepas ‘Twilight’ saya membaca banyak lagi cucu-cicitnya yang bercorak kisah cinta paranormal samada ia tentang ‘malaikat’, pari-pari, serigala jadian, hantu atau roh, ahli sihir, kerana saya cuba memahami sesuatu. Ada sedikit sebanyak juga saya terhibur tapi saya masih berpijak di bumi nyata.


Saya dapati tarikan cerita-cerita seperti ini adalah pada beberapa faktor:

1. Hampir semua cerita-cerita ini berjalan berdasarkan pandangan mata diri pertama. Watak utama merujuk kepada dirinya sebagai ‘aku’. Dan aku ialah seorang budak remaja perempuan, yang biasanya tidak dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru, dan mempunyai sejarah masa silam yang buruk. Budak perempuan ini biasanya mempunyai hanya satu ibu/bapa atau anak yatim piatu. Perhatikan yang watak orang dewasa dihapuskan dari awal, demi untuk memberi ruang kepada gadis ‘aku’ ini membuat keputusannya sendiri. Pembaca remaja, yang kebanyakannya perempuan(Budak lelaki main bola, berlumba motorsikal secara menyalahi undang-undang, baca buku Pak Abd Latip Talib - jika mereka membaca) mahukan kebebasan dan keterasingan diri yang dibuat-buat, jadi penerbitan Barat berikan mereka apa yang mereka mahu.

2. Hampir kesemua cerita ini meletakkan watak lelaki yang bakal menjadi pasangan kepada gadis ini sebagai watak yang ‘superior’. Tangkas, kacak, gagah, dan budiman. Faktor yang ekstra seperti kekayaan harta-benda dan usia yang merentas generasi atau tidak dimamah usia & penyakit adalah sangat dialu-alukan. Dan lebih hebat lagi, watak lelaki yang serba-serbi sempurna ini entah bagaimana memberikan perhatian tidak berbelah-bahagi kepada watak gadis yang langsung tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Saya amat terganggu dengan watak gadis yang langsung tidak mempunyai minat tentang apa-apa pun (isu alam sekitar, sastera, sukan, isu masyarakat setempat, dan lain-lain) kecuali terhadap jejaka ajaib tersebut dan kemudian dia terseret ke dalam konflik lelaki itu.

Kedua-dua faktor ini memenuhi kehendak pembaca remaja perempuan yang tidak realistik lagi asyik semata-mata. Pembaca tahu yang dirinya penuh kelemahan lagi tidak tahu apa dimahukan dalam hidupnya. Tapi satu benda dia mahu – lelaki yang dapat melindunginya dan menyelesaikan masalahnya sedang dia sendiri tidak mempunyai apa-apa yang hendak diberikan secara intelektual atau kemahiran kepada dunia lelaki itu atau dirinya sendiri. Cerita-cerita ini dapat berikan itu. Apabila saya membaca kritikan filem tentang ‘Twilight’ saya hanya ketawa. Tiada gunanya mengkritik filem sebegitu kerana filem itu melunaskan ‘tanggungjawabnya’ dengan begitu baik sekali iaitu memberikan apa yang golongan penonton itu mahu, iaitu dibohongi.m Penonton/ pembaca tidak sedar mereka dibohongi. Mereka kata ia hanya untuk suka-suka, tapi kenapa suka sesuatu perkara sahaja sedangkan anda tidak suka benda lain? Apa sebenarnya dalam hati anda yang menyebabkan anda suka yang benda yang demikian?

Kebenarannya ialah tiada lelaki yang akan menjaga anda sepanjang hayat anda dengan begitu setia sehingga maut pun tidak akan menghalangnya. Setiap lelaki akan tinggalkan anda, hidup atau mati, bila tiba masanya. Kebenaran kedua ialah anda ialah anda perlu jadi seseorang, capai sesuatu untuk diri anda supaya anda boleh jaga diri sendiri. Saya harap remaja perempuan Malaysia apabila membaca ‘Twilight’ boleh dapat mesej ini. Apa yang anda tonton itu pembohongan yang tidak mungkin tercapai dalam hidup anda dan jangan sekali-kali menganggap perhubungan di mana anda menyerahkan segala-galanya sehingga badan dipenuhi lebam dan hampir ‘dibaham’ itu adalah ‘pengorbanan’.

Nasib baik saya tidak tinggal di AS atau UK. Jika tidak, apabila saya mahu cuba-cuba menulis untuk remaja saya akan diminta menulis quadrologi (wajib) dengan watak paranormal (wajib) yang meletakkan si gadis dalam tangan jejaka yang tidak boleh dikalahkan (wajib). Jika saya tidak ikut peraturan/ format tadi ,jangan haraplah saya boleh menulis untuk remaja.

Monday, November 28, 2011

MENULIS: KENAPA BUNTU?

Baiklah. Plot telah anda rancangkan. Dan anda telah bersiap-sedia. Masa 30 hari sudah semakin kurang, sebagaimana bertambah kurangnya masa anda di alam fana ini. Anda menghadap komputer dan tiada apa yang keluar. Itu dia, WRITER'S BLOCK! Benda paling ditakuti oleh penulis, selain dari PENOLAKAN MANUSKRIP. Kenapa? Sebab kalau tak tulis, macamana orang nak tolak manuskrip kita? Kebuntuan adalah masalah utama penulis.

Jika anda menghadapi writer's block pastikan sebab-sebabnya dahulu:

1. Adakah anda berada di hadapan komputer dengan Internet terpasang?
Jika ya, cabutkan semuanya. Ataupun set up komputer lain di tempat lain yang bukan tempat bermain internet. Terpasang sahaja internet, tamatklah riwayat idea anda. Anda berFB, berWiki, berFF, tengok blog orang, dan lain-lain. Sebenarnya menulis depan internet lebih bahaya dari menulis depan TV sebab berinternet mesti guna tangan. Tangan tak pernah bebas, mesti pegang tetikus dan menaip sesuatu. Jika menulis tengok TV, mata sahaja yang melihat, fikiran boleh menerawang jauh. Anda kata anda hendak berinternet lima minit, tengok-tengok 5 JAM melayang begitu sahaja!

2. Anda tidak mempunyai kekuatan mental.
Anda ada idea tapi minda anda tidak dapat membayangkannya. Praktis, buka TV. Tengok segmen 5 minit satu episod police procedural yang agak lemah (jangan tengok Prison Break, musim 1) dan lihat aksi dan dialog selama 5 minit. Kebanyakan dialog, aksi, dan prosedur adalah tidak munasabah dan mungkin salah (Hah? Macamana dia boleh keluar dari sel dia dan berjumpa musuh dia di lawn penjara? Lepas tu, orang jahat tu boleh bawa screwdriver? Jaga tak buat apa-apake? Dua musuh ketat bergaduh di kawasan penjara tanpa sebarang tindakan? Tak lojik, tak lojik) Tapi ia berjaya di produksikan kerana setiap langkah diimaginasikan di papan cerita dan di dalam skrip. Anda mesti berbuat demikian. Imaginasikan langkah demi langkah.

3. Cari masalah dalam diri dan selesaikan dalam cerita anda. Jangan tipu. Anda mesti ada unfinished business dalam hidup anda. Pengalaman menghadapi trauma. Musuh-musuh kejam. Ditinggalkan. Dikecewakan. Tidak pernah menang walau satu hadiah pun dalam temasya sukan sekolah. Ambil satu. Gandakan masalah kecil jadi global catasptrophe dan anda katakan pada diri anda - Ini cerita aku. Aku mesti tulis, jika tidak aku takkan hidup dalam aman selagi aku bernyawa (tambah juga unsur-unsur dramatis)

Teruskan usaha dengan niat mencari keberkatan Allah SWT.

Pascaskrip: Seorang pemberi motivasi tidak semestinya melakukan apa yang dimotivasikannya. When you can't, you make others do it.

Saturday, November 19, 2011

PENULIS 'KATAK BAWAH TEMPURUNG' VS PENULIS PENGEMBARA KELILING DUNIA

Sudah menjadi satu kebiasaan pula di zaman global ini, fiksyen menggunakan latar tempat luar negara.


Tidak ada masalah sebenarnya. Tiada masalah langsung.

Tapi bagaimana pula dengan penulis yang tiada pengalaman berada di tempat lain selain dari kampungnya, daerahnya, negerinya dan negaranya? Terbelakangkah penulis yang sebegini?

Saya ada satu petikan dari penulis Australia bernama Henry Lawson (1867-1922). Siswa-siswi yang belajar di sekolah menengah di dalam Malaysia dari tahun 2000 hingga 2009 pastinya ingat cerita pendek ‘The Drover’s Wife’ yang dipelajari dalam KOMSAS Bahasa Inggeris Tingkatan 4. Dalam biodata pendek Henry Lawson, penulis ini telah berkata:

“The first seventeen years of my life were spent on the goldfield and, therefore, I didn’t need to go back, in imagination, to a time before I was born and to a country I have never seen, for literary material.”

Henry Lawson berkata yang negara tanah tumpah darahnya adalah sebuah ‘lombong emas’ dan dia tidak perlu pergi ke negara lain, atau ke masa lain untuk dia menggali bahan ceritanya.

Melainkan anda ingin menulis sebuah travelog, anda sebenarnya tidak perlu terlalu rungsing kerana tidak menulis fiksyen anda berlatarbelakangkan negara lain, atau budaya lain. Di mana-mana latar tempat pun, isu yang anda bawa boleh berdialog di peringkat antarabangsa.

Tapi kalau ada peluang melancong atau belajar di negara orang nanti, janganlah sengaja lepaskan peluang pula!

Saturday, November 12, 2011

PROGRAM MENULIS 30 HARI

Menulis novel adalah sesuatu yang tidak boleh dipaksa-paksakan. Namun, jika hati sudah memasang niat, tapi tidak dipaksa, susah untuk mendapat hasilnya. Jadi, sekadar untuk memberi galakan kepada rakan-rakan penulis, saya ingin kongsikan rahsia ini iaitu Program Menulis 30 Hari.


HARI 1: Fikirkan plot lengkap. Latar tempat, watak, konflik, isu & ideologi. Sebab anda kesuntukan masa, anda tiada pilihan selain memikirkan cerita anda down to the last detail dalam masa SATU hari.

HAR1 2: Bab 1 & 2 (2000 patah. Patah perkataan, bukan abjad. Bahagian ini senang sebab anda baru hendak establish watak - latar, konflik. Touch and go)


HARI 3: Bab 3 (4000 pp) ( Dari sini, lembab sikit)

HARI 4: Bab 4 (6000 pp)

HARI 5: Bab 5 (8000 pp)

HARI 6: Bab 6 (10 000 pp)

HARI 7: Bab 7 (12 000 pp)

HARI 8: Bab 8 (14 000 pp)

HARI 9: Bab 9 (16 000 pp)

HARI 10: Bab 10 (18 000 pp)

HARI 11: Bab 11 (20 000 pp)

HARI 12: Bab 12 (22 000 pp)

HARI 14: Bab 13 (24 000 pp)

HARI 15: Bab 14 (26 000 pp)

HARI 16: Bab 15 (27 000 pp)

HARI17 : Mantapkan Bab 1 & 2

HARI 18: Mantapkan Bab 3 & 4

HARI19: Mantapkan Bab 5 & 6

HARI 20: Mantapkan Bab 7 & 8

HARI 21: Mantapkan Bab 9 & 10

HARI 22: Mantapkan Bab 11 & 12

HARI 23: Mantapkan Bab 13 & 14

HARI 24: Mantapkan Bab 15 & bab tambahan yang tiba-tiba muncul

HARI 25: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 1-7)

HARI 26: Intensif tatabahasa & ejaan (Bab 8-15)

HARI 27: Format

HARI 28: Mencetak

HARI 29: HARI KELUAR DARI GUA

• Lawatan ke kedai fotokopi (Buat salinan & jilidan)

• Lawatan ke pejabat pos

HARI 30: Cari obsesi baru

Seperti kata orang putih: All the Best!

Monday, November 7, 2011

Tanggapan: BUMI LESTARI karya Rebecca Ilham

BUMI LESTARI adalah novel penulis tempatan pertama yang saya coretkan buah fikiran saya tentangnya. Saya tidak pernah menulis tentang novel-novel penulis tempatan kerana berasa diri tidak layak dan takut jika terserempak dengan penulis itu, ia akan jadi janggal. Rupa-rupanya, itu semua adalah sangkaan paranoid saya. Sedang saya sendiri tidak ambil hati jika novel saya dikritik (Hey, Sri Rahayu, orang dah baca novel kau pun dah cukup bagus tau. Apatah lagi jika pembaca itu buka komputer dan MENAIP tentang novel kau, itu sudah kira terlalu hebat, walau apapun tanggapannya), sudah tentu satu ulasan daripada rakan penulis amat dialu-alukan.


Rebecca Ilham wajar dipuji atas dua perkara. Beliau seorang ahli akrobat bahasa. Bahkan beliau bagaikan penari ballet yang menggunakan bahasa sebagai gerak tari. Ayat-ayatnya, patah perkataannya indah belaka dan tidak ada satu kesalahan pun yang saya kesani. Dan saya tahu ini bukan kerja editor kerana novel saya juga diedit namun ‘pria’ jadi ‘peria’ (sungguh memalukan). Ini memang tahap kualiti penggunaan bahasa yang Rebecca Ilham letakkan pada dirinya sendiri. Sungguh hebat.

Kedua, Rebecca Ilham membawa isu yang jarang dipaparkan dalam kesusasteraan remaja negara ini iaitu isu tentang hak kaum peribumi dan kapitalisme menentang kemanusiaan. Untuk percubaan pertama, Rebecca Ilham sepatutnya mencuba isu-isu yang ringan sahaja – bercinta di kampus, keluh-kesah pencarian jodoh (jangan lupa sertakan dalil-dalil naqli), atau cerita perjalanan mengharung dunia kerjaya bagi seorang graduan (idealisme lawan realiti).Namun kita tahu yang penulis ini meletakkan satu piawai yang tinggi bagi dirinya. Syabas.

Namun begitu, terhadap dua kelemahan dalam BL. Pertama ialah latar tempat luar negara yang agak mengganggu pembacaan. Watak-watak bergerak melalui banyak tempat dalam masa yang amat singkat, menjadikan fokus terhadap cerita terganggu. Latar tempat ini sekadar menjadi tempat watak-watak berdialog. Tidak salah menggunakan latar luar negara jika ia menjadikan cerita lebih efisien. Contohnya, latar luar negara untuk menjadi tempat watak menjalani pengasingan diri, mempelajari sesuatu yang membawa kematangan diri, mencari sesuatu yang berharga (orang atau barang) atau menunjukkan perbezaan nilai antara dunia tempatan dan dunia luar negara. BL sebenarnya akan lebih berkesan tanpa latar luar negaranya.

Kedua, ialah begitu banyak kali watak-watak dalam BL makan dan minum. Jelas jenis kopinya, pai, dan menu luar negaranya. Bagi cerita yang singkat, eloklah jika deskripsi tentang makanan dikurangkan atau ditiadakan, apatah lagi apabila watak Amira mengalami masalah kesihatan akibat malnutrisi.

Walaubagaimanapun, BL adalah novel sulung yang menjanjikan penambahbaikan dan kematangan dalam novel-novel Rebecca Ilham yang seterusnya.

Tuesday, November 1, 2011

ASAL-USUL KARYA

Oh, saya memang tidak berapa serius. Benda-benda yang menghiburkan boleh menjadi sumber idea. Itu bukan bermakna saya hedonis. Saya hanya suka mendengar radio dan menonton media, walaupun ada berjuta kerja yang saya wajib siapkan. Maaf Boss!!! (Ada banyak boss)




Tajuk: IMPULS/ ROH

Tempat lahir: Apartmen keluarga

Teks Nenek-Moyang (buku): Evolution Deceit (Harun Yahya)

Inspirasi Muzik: Silent Lucidity (Queensryche – siapa dengar muzik Queensryche lagi?), Untitled (Simple Plan), Waiting For The End (Linkin Park)

Inspirasi Filem: The Matrix (1999), Source Code (skrip filem)




Tajuk: BIMASAKTI MENARI

Tempat lahir: Apartmen keluarga

Teks Nenek-Moyang (buku): Tiada

Inspirasi Muzik: Fireflies (Owl City), Satu pagi hening, 6.30 pagi, sedang memandu ke tempat kerja dengan radio terpasang. Tiba-tiba berkumandang lagu baru di Hitz.FM. Liriknya jelas di telinga. Kau takkan percaya jika sepuluh juta kelip-kelip menerangi langit ketika aku sedang mahu tidur… Aku mahu percaya yang planet Bumi berputar perlahan… Aku tertidur. Saya berkata – WOW! Apa benda ni?! Macam mana penyanyi/ penulis/ pemuzik ini boleh menghasilkan lagu semata-mata tentang kelip-kelip? Saya anak jati Kuala Selangor. Kenapa orang putih ini boleh tulis lagu pasal kelip-kelip? Tidak boleh dibiarkan perkara ini terjadi. Airplanes (B.O.B & Hailey Williams) Tidak lama kemudian, saya terdengar pula lagu Airplanes - Boleh tak kita bayangkan bahawa cahaya lampu kapal terbang di langit malam adalah bintang yang melintas, kerana aku mahu membuat satu permintaan sekarang juga? Kaji falak amatur? Boleh cuba?

Inspirasi Filem: Disney’s Tangled (Tanglung menghiasi langit), hero berkorban untuk gadis yang dicintainya. (Saya seorang romantis yang tidak boleh ditolong lagi)

RALAT: Alhamdulillah. HSKU 2010 disambut secara sederhana dan ia berjalan lancar. Terima kasih kepada semua AJK Pelaksana HSKU yang bertungkus-lumus malam itu. Saya tidak berapa selesa dengan desakan media yang mahu menemuramah sedang tetamu kehormat belum beredar. Apatah lagi apabila tetamu khas itu ialah Menteri Pelajaran Malaysia. Saya tidak ‘mengungguli’ HSKU selama 6 tahun berturut-turut. Saya bertuah novel saya dapat pertama sebanyak 5 kali. Novel saya mendapat tempat pertama sebanyak empat kali berturut-turut. Novel saya Odisi Tanah Kencana mendapat tempat kedua pada HSKU 2006. Kesilapan sebegini tetap berlaku sedangkan sejarah HSKU tertulis di belakang SETIAP buku penerbitannya. GAH!