Sunday, September 25, 2011

ULASAN BUKU PALING 'BEST'!: Menulis Fiksyen Remaja untuk Semua



Lihat gambar di atas. Budak lelaki yang memegang buku ini tidak tahu yang benda di dalam tangannya ialah penyebab kenapa dia makan nasi goreng ikan bilis selama beberapa hari.

Saya terjumpa buku 'Writing Young Adult Fiction for Dummies' di Borders , Berjaya Times Square. Sebab saya jenis orang yang tidak pernah beli apa-apa di Internet (tak pakai kad kredit), saya hanya bermimpi hendak dapat memiliki buku ini. Tapi alhamdulillah, rezeki saya hari itu. Harga tidak sampai pun RM70. Bilangan mukasurat 338. Buku ini sebesar beg tangan. Tulisannya kecil. Satu mukasurat ada beberapa seksyen yang terperinci. BERBALOI! Beberapa penulis YA Lit memberi petua berguna. Bagaimana Jennifer Donelly menulis Revolution, Gary Soto yang menulis The Afterlife memberi petua tentang plot dan permasalahan, dan banyak lagi.

Memang YA Lit Barat tidak boleh ditiru bulat-bulat/ ditiru langsung. [Bella Swan versi Malaysia? Oh tidak! Harry Potter orang Melayu? Terima kasih sajalah] Tetapi bahan tentang penulisan dalam Bahasa Inggeris banyak memberi bantuan dari segi teknikal.

Saya sendiri tidak tahu bila akan berganjak dari menulis untuk remaja kerana saya seronok di sini. Lagipun saya sudah tersekat di sekolah menengah buat masa yang lama. Tidak pernah menyangka yang saya akan selamanya (secara relatif) berada di sekolah menengah sedang saya sendiri tidak berapa gembira dengan pengalaman sekolah menengah saya (Salah saya sendiri, bukan salah sekolah saya)...

LEWATNYA HSKU!

Ramadan dan Ogos seiringan tahun ini. Kemudian September pula sudah pun hampir di penghujungnya. Sekelip mata sahaja tahun 2011 seperti sudah berada di penghujungnya. Kerana tiap-tiap hari saya memulakan kerja dengan menulis hari dan tarikh di papan putih, masa terasa amat pantas berlalu. Sesiapa sahaja yang bekerja di sekolah tahu apabila mencecah sahaja bulan Jun, semuanya akan bergerak bagaikan roller coaster menuju akhir tahun. Bagi yang bercita-cita hendak menulis untuk sayembara, tarikh-tarikh hantar semakin hampir. Dan menyedihkan, apabila tiada ilham yang berkunjung ke dalam minda ataupun terlalu banyak ilham yang datang sehingga tidak tahu yang mana satu hendak dilayan.


Salah satu kemuncak dalam sesuatu tahun ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Walaupun sayembara ini ada kelemahan-kelemahannya, tidak boleh dinafikan ialah satu-satunya sayembara yang setia meraikan orang sastera. Jika artis tempatan ada Anugerah Bintang Popular, jika para jelitawan ada Miss World/ Universe, jika penyanyi, composer dan penulis lirik ada Muzik-Muzik; orang sastera (atau yang cuba-cuba menulis) ada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Setiap tahun, insyaAllah ada, tidak kira gawat, atau penuh kontroversi, dan dibumbui rasa tidak puas hati, HSKU tetapi menghiasi tahun itu.

Tapi sekarang Ogos telah menjengah, Hari Raya Aidilfitri sudah berlalu, dan Ramadan menuju ke penghujungnya, khabar HSKU masih tidak kunjung tiba. Tapi saya yakin ia tetap akan tiba, dan apabila ia tiba, ia bagai satu kemuncak yang dinanti-nanti.

Tidak salah jika saya katakan yang HSKU bagai satu garisan permulaan bagi sesetengah penulis. Selepas keluar sahaja keputusan HSKU, barulah bermulanya secara rasmi penulisan yang baru. Ini mungkin kerana penulis mahu tahu corak penulisan dan tema yang mendapat tempat sebagai pemenang tahun terkini. Bacaan laporan panel hakim juga penting. Kita mahu tahu apa yang panel hakim mahu, dan jika ada sebarang pembaharuan dalam kriteria penilaian. Entah-entah, selagi HSKU tidak berlangsung, selagi itu termenung bagi tiada arah tuju (bersalah sebagaimana dituduh – saya le tu!).

Walau apapun yang terjadi, semoga HSKU tahun ini tetap akan berlangsung. Dan jika berlangsung, ia tetap dengan caranya yang saya rasa amat menyeronokkan dari segi memberi peluang kepada tetamu/ jemputan/ pemenang/ bukan pemenang untuk mengkritik di Internet. Ada saja yang tak kena. Tetapi tahun depan, jika menang atau dijemput tetap datang.

Ya Allah, syukurlah ada HSKU selama ini, yang dengan cacat cela dan kerenahnya tetap setia meraikan orang-orang penulis yang cerewet perangainya.

Tetapi selama menunggu, mahu buat apa ya?

Thursday, March 10, 2011

FIKSYEN SAINS & TEKNOLOGI: SEGALA MACAM PUNK!

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh,


DAH LAMA DAH!
Sudah lama saya tidak mengisi halaman blog ini, sehingga kata laluan ke blog sendiri pun saya lupa. Sekolah di awal tahun. Jangan dipersoalkan. Sangat sibuk. Jika tidak sibuk, bukanlah sekolah namanya.Tapi di tengah-tengah kesibukan itu saya berkesempatan (dengan izin pihak berwajib) untuk mengikuti satu bengkel penulisan dalam bidang yang saya amat minati iaitu fiksyen sains & teknologi (FST) anjuran UP&D dan UTM untuk sayembara yang bakal diadakah sepanjang baki tahun ini.

MENIMBA ILMU
Jangan dipersoal jika seseorang itu hadir sesuatu bengkel penulisan bermakna yang dia akan serta-merta menulis dan menyertai sesuatu sayembara. Saya tidak pernah menyiapkan sesuatu karya dalam tempoh bulan-bulan akademik sedang berjalan. Namun keinginan untuk menimba ilmu itu lebih penting. Dan juga hendak menikmati sedikit kebijaksanaan tokoh-tokoh yang hadir memberi intipati bengkel.

PUNK
Sedang syok mendengar En. Saleeh Rahamad bercakap tentang kesilapan-kesilapan yang lazim yang dilakukan oleh penulis dalam menulis karya FST, tiba-tiba muncul beberapa tiga istilah sf barat dari penonton. Tunggu dan catatkan - CYBERPUNK, STEAMPUNK dan CLOCKPUNK. Nak tergelak pun ada saya mendengarnya. Kerana benda-benda ini sudah wujud terlalu lama, sudah ketinggalan zaman kira-kira sedekad lampau di dalam tradiri SF yang jauh dari kita.

TRADISI
Cyberpunk ialah ala-ala filem lama Angelina Jolie Hackers dan juga filem lama The Matrix. Saya tidak mahu lama-lama menjerumuskan diri dalam isu definisi jadi saya pukul rata sahaja. Steampunk ialah ala-ala filem lama League of Extraordinary Gentlemen, Dark City dan Franklyn. Clockpunk ini susah saya hendak memberi contoh kerana sejak lewat ini pengamatan filem saya semakin merosot. Tetapi saya teringat bagaimana Dr. Manhattan mencantum-cantum sistem-sistem dalam tubuh badannya setelah dia hancur dek sinaran radioaktif (Watchmen). Dia percaya yang semua benda boleh dicantum semula seperti isi perut sebuah jam atau jam tangan (clock). Anda mungkin berfikir ke mana akan perginya perbincangan ini yang faktanya, contoh-contohnya boleh digoogle dengan mudah dan kemudian semua orang boleh bercakap umpama pakar.

PEMBALASAN DENDAM SEORANG INTELEKTUAL (REVENGE OF THE NERD PROFESSOR)

Titik penting dalam sesi ini adalah apabila En. Saleeh Rahamad memberi satu reaksi paling tuntas dalam bahasa Inggeris terhadap genre-genre FST barat ini. Kata beliau – SO WHAT? Saya bagai hendak tergelak. Frasa SO WHAT? Ini jika digunakan dalam mana-mana isu yang menjengkelkan memang sesuai. Ia tidak sekasar PERSETANKAN atau PEDULI APA AKU tapi kesannya cukup kuat.

SO WHAT jika kamu mahu tulis karya cyberpunk? SO WHAT jika kamu mahu tulis karya STEAMPUNK? SO WHAT jika kamu tulis karya CLOCKPUNK? Ada banyak lagi benda-benda punk ini lagi yang tersenarai dalam Wikipedia. Tidak percaya cuba tengok sendiri.

Saya sendiri meminati tradisi SF barat. Tapi SO WHAT adalah kayu ukur yang baik. Apa akhirnya yang kamu capai dengan menulis punk-punk itu?Adakah ia menguatkan pegangan iman kamu atau sekadar menguatkan tradisi sedia ada? Apa akhirnya kesan punk itu kepada pembaca? Adakah ia sekadar jalinan plot dengan fakta dengan sedikit darah dan air mata? Atau akhirnya ia dapat mengubah cara kamu sendiri melihat dunia dengan lebih terbuka kepada kebenaran agama kamu dan menyelesaikan masalah jiwa raga kamu yang asyik dirundung keluh kesah?

RESPEK!
Syabas En. Saleeh Rahamad. Anda sopan tapi tegas. SO WHAT? Tidak sangka frasa dalam bahasa Inggeris ini menjadi begitu bermakna dalam sastera Malaysia.

Wednesday, January 19, 2011

AYAT PALING PAHIT DI TELINGA PENULIS

Bagi setiap yang manis, ada yang pahit. Saya tampilkan di sini, dengan bantuan kawan-kawan.

1. "Puan, saya sudah cari novel puan. Tapi susah sangat nak jumpa. (Soalan Ustaz Zaid)" Respon: "The book is NOT leaving this warehouse, EVER!"
2. "Manuskrip apa?" Respon: "What?!"
3. "Sila tulis surat memohon royalti." Respon: "YOU'VE GOT TO BE KIDDING ME!"
4. "Tiada respon bermakna tidak akan diterbitkan." Respon: "I've got a dream, once."
5. "Manuskrip tidak mempunyai potensi." Respon: "Publisher knows best!"

Pasca-skrip: Masih merujuk kepada 'Tangled', dengan sedikit manipulasi.

Tuesday, January 18, 2011

Ayat Paling Manis di Telinga Penulis

Ada beberapa ayat yang mendatangkan bahagia pada hati penulis. Biar saya nyatakan:

1. "Kami berminat untuk menerbitkan manuskrip puan." Respon: Yay!
2. "Harap dapat hantar softcopy manuskrip puan." Respon: Oh gosh!
3. "Cek puan telah pun siap!" Respon: I'm broke.
4. "Kami sudah lama mengharapkan puan menerbitkan sesuatu dengan syarikat kami." Respon: It's complicated.
5. "Novel puan akan diulang cetak." Respon: I can't believe I did this!
5. "Yang, saya nak bawa anak-anak mandi di kolam DBKL. Awak tak payah ikut!" Respon: BEST. DAY. EVER!

P/S: Rujukan kepada animasi 'Tangled 'adalah kerana kecewa' Tangled' tidak menang apa-apa di Golden Globes. Ah, 'Toy Story 3', barang mainan bernyawa ketika tidak dilihat oleh manusia - mimpi ngeri seorang ibu!

Tuesday, January 11, 2011

AIR MATA SASTERAWAN

Saya tiada pengetahuan yang cukup dan tiada kuasa untuk bercakap tentang dunia sastera Melayu, tetapi apabila saya melihat foto wajah sayu SN Abdullah Hussein di muka depan akhbar, saya rasa jadi bagai hendak gila.


Saya pernah ke rumah SN Datuk Abdullah Hussein pada tahun 2009. Dan sudah tentu, saya tidak berkata apa-apa kerana saya terlalu kerdil untuk berkata apa-apa. Tapi saya tahu yang Datuk perlu tidur kerap kerana beliau mudah letih. Beliau juga makan amat sedikit. Beliau menjawab soalan dari tetamu dengan menulis pada kertas.

Saya marah kepada wartawan yang mengganggu ketenteraman fikiran beliau. Saya kecewa kenapa beliau perlu diseret ke dalam kemelut ini. Saya berkeras bahawa seorang sasterawan tidak perlu meminta maaf atau kesal atas apa yang ditulisnya, melainkan dia sukarela hendak melakukan demikian. Jika seorang penulis perlu meminta maaf kerana setiap patah perkataan yang ditulis, baiklah jadi cikgu sekolah. Minta maaf cikgu lambat, tadi cikgu hantar pelajar ke hospital (Naik ambulan tu!). Minta maaf cikgu terlupa menanda buku latihan kamu, mungkin cikgu terlepas pandang. Minta maaf kerana terlupa hendak membawa kertas lebih untuk kamu, cikgu lupa yang kamu tidak hadir semalam. Ada perkerjaan kita perlu minta maaf setiap hari, ada pekerjaan yang saya pilih kerana saya tidak mahu minta maaf. Dan jadi penulis adalah salah satu dari pekerjaan ini.

Saya sudah baca novel Interlok. Saya tidak mahu SN Abdullah Hussein menjawab apa-apa soalan. Panel yang memilih novel ini pasti mempunyai laporan bagi pemilihan tersebut. Jika perlu, panellah yang sepatutnya membentangkan laporan dan bukannya beliau. Kerana hanya ahli panel yang tahu rasional pemilihan sesebuah novel untuk teks KOMSAS. Nyatakan kriteria-kriteria yang telah dipenuhi, dan kriteria ini berdasarkan dasar kerajaan yang mana satu?

Semuanya mudah. Tapi janganlah diganggu SN Abdullah Hussein. Beliau tidak perlu kesal atas karya beliau sendiri.

Monday, January 10, 2011

PANTANG-LARANG MENULIS

Dua bulan saya telah meninggalkan blog ini. Jika ada pembaca yang mengikuti blog saya dalam tempoh masa tersebut, saya minta maaf kerana lama tidak mengirim berita. Tetapi semoga pemergian saya dari blog berbaloi kerana sudah tentu saya menggunakan masa tersebut untuk membuat kerja hakiki saya iaitu menulis. Jika penulis tidak menulis blog maksudnya penulis sedang menulis buku/ novelnya. Tetapi penulis yang bijak tidak akan sekali-kali membincangkan tentang buku yang belum terbit. Jadi, saya tinggalkan sahaja hal ini di sini. Hal ini terangkum dalam pantang-larang menulis.
1. Memberitahu kaum keluarga tentang projek terbaru.
Saya amat malu untuk menceritakan apa-apa tentang projek saya kepada keluarga saya. Terutamanya ibu atau bapa saya sendiri. Mungkin kerana suatu masa dahulu, saya pernah menulis dengan begitu bersemangat sehingga saya tidak mengulangkaji pelajaran dan di hati saya apabila bercakap dengan ibu bapa saya tentang menulis, ia seolah-olah  adalah sesuatu yang memalukan. Trauma!

2. Bercakap dengan kawan-kawan tentang projek terbaru.
Sekali lagi, saya pernah melakukannya kerana ditanya ‘Apa kau buat sekarang?’Tetapi setelah bercakap lima minit dengan penuh bersemangat saya mendapat mata mereka ‘glazed over’ macam mata haiwan yang ditaksidermi, saya jadi malu dan terus menutup cerita. Semenjak itu, saya jadi orang yang amat berahsia.

3. Menyisihkan kaum-keluarga kerana menulis.
Setiap kali saya menyisihkan kaum keluarga apabila menulis, hasil penulisan menjadi tidak baik. Macam karma yang teruk. Akhirnya, saya akan melakukan semua perkara di siang hari dan bangkit jam 4 pagi hingga subuh untuk menulis. Saya rasa amat bersalah jika menulis di hadapan anak-anak.

4. Menulis di tempat kerja
Oh, tidak! Kecuali dalam mesyuarat yang terlalu panjang dan saya tidak akan bercakap dalam mesyuarat tersebut. Saya juga rasa amat bersalah jika tidak menumpukan perhatian kepada pelanggan saya.

Sebenarnya, hal menulis karya terlalu peribadi sehinggalah buku itu terbit. Dan bukannya mudah hendak menerbitkan karya yang telah siap. Dalam pemikirannya anda, karya andalah yang paling hebat. Tetapi tidak semestinya penerbit berminat dengan karya anda. Ada bermacam-macam perkara yang mereka perlu pertimbangkan. Politik syarikat penerbitan (membosankan!), karya tidak cukup tebal, karya terlalu kebudak-budakkan, terlalu matang, terlalu itu dan terlalu ini. Tetapi, biasalah. Sudah namanya penulis, dia akan menulis jua tanpa mengira halangan. Walaupun akhirnya karya berkubur (sama ada dalam bentuk manuskrip atau di stor syarikat) dia akan terus menulis. Saya namakan sindrom ini sebagai Sindrom Shahrezad dari Hikayat Seribu Satu Malam.

Wednesday, December 8, 2010

CERITA PARI-PARI: LEBIH CINTA DARI BENCI

Cerita pari-pari! Apa yang bagus sangat? Mungkin ada yang akan mencemik.Tapi saya dan juga sebahagian di luar sana membesar dengan cerita pari-pari. Seperti mana juga saya membesar dengan Hikayat Panji Semirang, Hikayat Hang Tuah, Kisah Nabi-Nabi, Kisah Dewa-Dewi Greek dan buku sejarah dunia milik bapa saya. Saya rasa, dengan banyak-banyak perkara yang boleh memusnahkan zaman kanak-kanak saya, saya telah diselamatkan oleh pembacaan, di antaranya.


Kisah pari-pari tidak masuk akal. Sewaktu kecil saya mengikuti siri setengah jam satu episod ‘The Fairy Tale Theatre’. Ada cerita yang saya suka, ada yang saya tidak suka. Saya juga membaca banyak buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah. Jika tiada perpustakaan sekolah, tidak mungkin saya mampu untuk membaca buku yang sebegitu banyak.

Dan kini, apabila animasi Disney ‘Tangled’ ditayangkan, saya membawa anak-anak saya menonton. Keputusan untuk menonton ‘Tangled’ dibuat dengan berhati-hati. Budak-budak lelaki enam dan empat tahun takkan mahu menonton cerita tentang budak perempuan yang memakai baju warna merah jambu. Mereka mahu aksi ‘slapstick’, watak hero lelaki dan haiwan-haiwan peliharaan! Juga filem mestilah tidak melebihi satu setengah jam. ‘Tangled’ adalah pilihan yang tepat. Saya menonton ‘Harry Potter: The Deathly Hallows Part 1’ dengan kawan lama di maktab yang diterbangkan khas dari Kuala Terengganu, dan bukannya dengan anak-anak. Saya tidak tahulah apa yang akan terjadi jika saya membawa mereka menonton HP: TDHP2. Membazir wang saja kerana selepas 10 minit pasti budak-budak ini akan berlari keluar!

‘Tangled’ amat menyeronokkan. Di kala saya menghadapi tekanan cuti akhir tahun, saya ketawa kuat-kuat di dalam panggung yang dipenuhi budak-budak kebanyakannya. Jarang-jarang saya seseronok ini. Keseronokan yang tidak ada sebab munasabah. Saya bukan pun gembira secara amnya. Tapi duduk di situ, menjerumuskan diri dalam alam fantasi cerita pari-pari saya hilang diri saya yang biasa. Yang bagusnya, tiada pari-pari ataupun ahli sihir pun dalam ‘Tangled’. Dan tiada putera raja. Dan ia mempunyai subteks Freud/ psikoanalisis yang membuatkan saya terkenangkan subjek Psychology 101 di uni dahulu.

Tapi pra-pengakhirannya! Sungguh mengejutkan. Saya tidak menyangka yang Disney akan merentas garisan itu. Dalam ‘The Frog Princess’ seekor kelip-kelip mati, tapi dalam ‘Tangled’ watak utama dimatikan setelah digari dan berkeluh-kesah begitu lama. Cinematografi berbalam-balam sebelum akhirnya watak diresureksikan. The Beast dimatikan sementara waktu dalam ‘The Beauty & The Beast’ tapi tidak dengan begitu grafik. Dan rating ‘Tangled’ begitu tinggi! 88% di Rotten Tomatoes. Adakah rating PG untuk ‘mild violence’ diperlukan untuk memberikan impak kepada penonton?

Tapi apabila difikir-fikirkan, ‘mild violence’ ini tidak akan memberi impak jika penonton tidak mempunyai hubungan emosi dengan watak-watak yang dikasari itu. Dan apabila keluar panggung, saya dan anak saya berkata serentak ‘AWESOME!’ untuk semua yang telah berlaku dalam masa 90 minit.

Tuesday, November 30, 2010

HSPM 19: Pengalaman Orang yang Tidak Berjaya

Kebanyakan penulis akan memberitahu kepada semua orang tentang kejayaannya. Berapa anugerah yang dimenangi, berapa banyak buku yang telah diterbitkan. Saya, sebaliknya akan memberitahu bagaimana perasaan orang yang tidak berjaya. Atau secara kasarnya orang yang kalah. Atau orang yang gagal. Entri ini mungkin kedengaran amat lucu dan anda mungkin anda akan ketawa terbahak-bahak atau anda akan berkata , "Sri Rahayu, kau memang teruk," atau pun "Sri Rahayu, you're a sore loser."

Anda tahu anda gagal dalam sesuatu sayembara atau anugerah atau apa pun apabila tarikh sesuatu majlis penyampaian hadiah telah diumumkan dan anda tidak mendapat apa-apa khabar pun. That's it. Itulah penghujungnya. Apabila suami saya balik dan kecoh tentang perkara itu, saya berkata "I don't want to talk about it". Saya cakap perkara itu dalam bahasa Inggeris sedangkan saya boleh kira berapa patah perkataan bahasa Inggeris yang saya guna dalam rumahtangga sepanjang usia berkahwin. Dengan itu, suami tahu yang saya amat upset dan kami tidak akan bercakap langsung tentang perkara itu. Itu malam pertama.

Malam kedua, saya dapat perspektif kembali dan meneruskan kerja menulis yang masih belum siap. Saya sasarkan 100 000 patah perkataan dan saya baru dapat 10 000 patah. Cuti sekolah ada 30 hari lagi. Saya masih optimis. Sambil itu, saya boleh tergelak menonton siri Hawaii Five-0 sambil memuji otot lengan Steve McGarett dan mencadangkan kepada suami supaya mula berjogging. Selepas itu saya menggoogle sepuas hati kerana ingin mencari senarai mutakhir pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang ke-19 ini. Saya dapat Puan Kusyi Hirdan memenangi kategori kesusasteraan kanak-kanak dengan novelnya 'Umairah dan Kuda Putih'. Tahniah saya ucapkan. Saya pasti akan membeli novel ini untuk mempelajari kekuatannya. Saya juga terjumpa beberapa nama yang lain bagi kategori cerpen eceran. Tahniah!

Tapi bagi kategori lain, saya belum jumpa lagi. Saya ada jumpa artikel di Berita Harian mengenai spekulasi calon-calon yang bakal menang tapi senarai mutakhir belum. Di sini anda boleh ketawakan saya. Sri Rahayu lemah membuat kajian. Tapi saya betul-betul belum jumpa senarai itu. Sesiapa yang tahu senarai pemenang silalah poskan di blog masing-masing. Saya akan terus mencari.

Kenapa senarai pemenang penting kepada orang yang kalah bertanding terutamanya saya? Kerana saya dalam proses belajar. Saya perlu cari karya-karya yang diiktiraf ini untuk saya teladani terutamanya dalam kategori kesusasteraan remaja & kanak-kanak. Bohonglah jika saya kata saya langsung tidak kecewa dan tidak iri hati dengan kemenangan penulis-penulis lain. Namun, perasaan itu saya jadikan teladan dan pembakar semangat. Belajar dan terus belajar. Teladani penulis yang terdahulu. Fahami tradisi sebelum teringin hendak membuat pembaharuan.

Kepada pemenang-pemenang HSPM ke-19, tahniah dan syabas! Andalah inspirasi penulis-penulis Malaysia.

Postscript: Oh! Senarai pemenang telah diposkan di laman web DBP pada hari Rabu, 1 Disember 2010. Tahniah kepada dua kakanda saya, Dr. Mawar Shafei dan Puan Nisah Haron. Tiada pemenang bagi kategori novel remaja. Wow, dengan beratus-ratus novel remaja yang terbit pada tahun 2008 dan 2009, tiada satupun yang layak. Ia tidak menjadi masalah jika penulis tahu kriteria yang dikehendaki. Sekadar untuk panduan penulisan di masa hadapan.

Thursday, November 25, 2010

IS YOUR JOB MAKING YOU SICK?

I’m one of the billion people who has the luck of working in a structure of hierarchy so complex I just make myself dizzy by just waking up in the morning. I’m also lucky that in my line of profession, I can maintain or even upgrade my physical fitness until my retirement. I’m even scared of retirement. My physique that is tailored to tremendous cardio exercise of speed walking 3 kilometres daily will suddenly deteriorate. Teaching is one of those jobs where they don’t care whether you are 24 or 54. You are still going to climb to level 4, seven times a day. Then, you have the sports sessions. Do you think they just let you sit at the edge of the field while you enjoy a tanning session? No, There are all levels of shouting, running, arm movements to be carried out. So, for that I’m thankful. I’ll don’t a health club membership until I’m 56.


But most of the time some jobs do really make you sick in the most detrimental way. Right now, at the last leg of publishing the school magazine, I can feel I’m getting sick in the most insane way. I felt I was going to throw up all the time and I am sure it is not morning sickness because I know how and why people get morning sickness. With my stress level this high, there is no way I’m going to do things that cause morning sickness. And of course, I cannot sleep. I am thinking of all the things that can go wrong. I was thinking of angry superiors. I was thinking of all sorts of dissatisfaction from all levels of clients. I’ll jump at every phone call I receive. Strangely, my phone suddenly rings all the time at this time of year while it stays relatively quiet the rest of the year. Most of the time, I wish I just can can get up and leave, never look back. The mental picture of a passionate and patient woman, with just a few of her belongings walking away from a bad place not once looking back in the dead of night keep playing in my stressed mind. She, even with all her virtue, has decided it is time to leave. This would make a start to a brilliant adventure story. A fantasy even. Where is she going? Can she just leave without risks and consequences? The monsters will chase her of course. And why is she so special in the first place? Who will she meet? In all the impending adversity, will she find peace?

So, full time writers, gloat. Make the best of your freedom. We, creatures of the structure/ system, revel in burning envy.

Wednesday, November 24, 2010

MENULIS ADALAH KERJA ENTENG?

Seorang sahabat telah meluahkan rasa sedihnya kerana mendengar kata-kata dari salah seorang ketuanya yang berkata


“Betapa mudahnya kerja seorang penulis. Bermenung sekejap pun dah dapat ilham menulis karya kreatif”

Namun, sahabat ini tidak dapat bedebat panjang kerana anda tahulah bagaimana lumrah komunikasi antara ‘superior-subordinate’ sebenarnya. Cakap banyak pun hanya membazir air liur dan menaikkan tekanan darah sahaja. Lebih menekan, teman saya ini bekerja di dalam bidang keperpustakawanan. Parah, parah.

Betulkah menjadi penulis atau kerja menulis itu mudah? Bagi saya hanya orang-orang yang cemburu sahaja akan berkata demikian. Cemburu melihat hidup senang dengan hasil royalti tanpa bekerja keras umpama buruh kasar. Ya lah, menulis itu kan duduk sahaja kerjanya. Cemburu melihat buku orang diulang cetak tahun demi tahun. Cemburu melihat blog-blog penulis yang menunjukkan foto mereka melancong ke Paris, Wellington, Seoul hanya dengan duit royalti.

Yang mereka tidak tahu, menulis itu bukan kerja senang. Yang membuatkan ia Nampak senang ialah kerana penulis-penulis ini menulis dengan penuh minat. Menjadikan mereka gembira dengan kerja mereka, tidak dipaksa-paksa, jadi nampak kerja itu mudah yang amat. Yang Tuan Besar tadi nak menyarung blazer pergi ke pejabat hendak sain surat pun hati berkata-kata ! Kerana tidak minat dengan kerja. Tiada kegembiraan dan tiada kepuasan maka mulalah hendak berkata kerja orang lain senang

Saya yakin walaupun penulis itu menulis sepenuh masa dengan menulis novel-novel popular ia tidak mudah. Jika penulis novel popular ini hendak menjadi prolifik, beliau terpaksa menulis sebuah novel sebulan. Satu novel tebalnya 400-500 mukasurat. Bayangkan berapa jam dia potong tidur dia. Apabila dihimpit tarikh akhir ada yang tidak tidur malam. Itu belum lagi nak mengurus keluarga.

Penulis serius pula bagaimana? Mungkin tidak seprolifik novelis popular, tapi bayangkan kajian yang perlu dia buat. Penulis sayembara pula bagaimana? Ini lagilah seksa.

Tapi yang hebatnya, semua penulis adalah penulis yang gembira. Mereka gembira menjadi penulis. Tiada siapa paksa mereka jadi penulis dan mereka lakukannya kerana mereka berminat lagi teruja dengan kerja itu. Ini menjadikan kerja menulis yang sukar nampak senang lantas dicemburui banyak pihak. Apakah lagi, ganjarannya lumayan jika kena gaya.

Sunday, November 21, 2010

ADAPTASI SEJARAH: Risiko dan cabaran

Polemik adaptasi sejarah ke dalam bentuk seni tiba-tiba muncul kerana Natrah. Semua orang tahu apa yang terjadi. Jarang-jarang berlaku, satu konflik berbau sastera tiba-tiba masuk dalam media arus perdana.


Seperti mana sebuah peristiwa sejarah, tiada siapa akan tahu apa sebenarnya berlaku. Kerana tiada siapa mempunyai pandangan omnisien. Segala apa yang kita dengar, baca, lihat dipersembahkan oleh sumber-sumber yang ada agenda tersendiri. Sumber perdana sendiri mempunyai agendanya. Bagi saya, tiada wujud kebenaran jika ia berkenaan hal-hal yang bukan berkaitan hidup dan mati. Yang wujud hanyalah perspektif.

Pada mulanya saya sangkakan ia mengenai wang, seperti mana dalam kebanyakan hal. Mungkin ada pihak yang tidak mendapat ganjaran setimpal. Selepas itu saya menyangka ia mengenai pengiktirafan. Mungkin ada pihak yang tidak diiktiraf seperti yang dia layak. Kemudian, saya menyangka yang ia adalah mengenai sifat suka membuat kacau. Memang sesetengah orang suka buat hal. Dalam apa-apa situasi pun akan membuat kacau – dalam forum, selepas majlis, dalam akhbar, dalam blog. Saya namakan orang sebegini sebagai seorang ‘heckler’. Sebaik-baik ‘heckler’ menghidupkan majlis. Seteruk-teruk ‘heckler’ membuatkan orang rasa menyampah. Lebih teruk lagi jika si heckler menganggap yang dia adalah tuan punya sejarah sedang memburu sejarah itu adalah kehendak dalam diri yang dipacu oleh perspektif dan pemikiran masing-masing. Jantina anda, bangsa anda, agama anda, umur anda, latar belakang anda mempengaruhi cara anda melihat sejarah.

Sebagai penulis yang suka menggunakan bahan-bahan sejarah, kita masih selamat. Takkan lah sekadar saya tulis novel 160 mukasurat saya terpaksa melantik seorang konsultan. Malahan, tidak pernah lagi saya baca buku cerita yang mempunyai nota kaki (nota kaki sebenar bukan rekaan) dan bibliografi di muka surat belakang.

Mungkin masalah berlaku kerana bentuk naskhah itu ialah skrip teater yang telah dipentaskan. Ia tidak jadi masalah jika ia sebuah cerpen, sebuah sajak, syair, atau novel. Ada apa dengan teater sehingga ia menjadi sasaran. Jika ia sebuah skrip yang hanya tersiar di Dewan Sastera ia takkan jadi sasaran seperti ini.

Akhirnya, saya membuat keputusan yang ianya adalah tentang sifat ego dan sifat naif. Seseorang merasakan yang dia tuan punya sejarah. Dan seorang lagi menyangka yang tuan punya sejarah akan diam sahaja.

Nasihat saya kepada diri sendiri: Pertama, tulis tentang sejarah yang betul-betul terlalu lama sehingga tidak boleh dikenalpasti asal usulnya. Mungkin dalam lingkungan 200 hingga 500 tahun dahulu. Kedua, jangan tulis sejarah yang terlalu popular kerana ditakuti tuan punya sejarah bersuara dan saya tak dapat menanganinya. Tapi, selagi anda boleh, tanganilah!

Thursday, November 18, 2010

MANUSKRIP SIAP: MERAIKAN PERPISAHAN

Akhirnya dengan kuasa Allah jua, novel anda telah siap ditulis. Anda telahpun menyemak untuk kali yang keberapa dan anda rasa cukuplah setakat ini. Anda sudah tidak mahu menyimpannya lama-lama lagi. Anda sudah puas. Anda pun membuat cetakan. Kemudian ke kedai fotostat untuk membuat salinan dan menjilid. Anda buat surat lampiran dan anda tulis sinopsis untuk membantu editor menghidu cerita anda. Anda pun poskan naskhah tersebut.


Pengalaman saya di peringkat ini adalah seperti hendak menyiapkan seorang anak hendak berangkat ke sekolah asrama penuh atau ke universiti. Sedih hendak berpisah. Tetapi anda mesti menghadapi perpisahan tersebut. Anda tidak boleh halang anak anda dari meninggalkan anda. Jika anda halang dia, dia tidak akan dapat mencapai potensi dirinya yang maksima. Jadi, selamat jalan manuskrip!

Dan selepas itu anda terduduk di depan komputer dengan lagu sedih Snow Patrol Run bermain. Saya rasa saat ini seperti saya menghadapi empty nest syndrome. Selama ini, saya sibuk dengan melayan watak-watak dalam cerita tersebut. Sekarang, mereka sudah pergi meninggalkan saya! Suami saya ketawa apabila saya berkata yang saya sedang bersedih perlu masa bersedih seorang diri.

Ah, begitulah ceritanya. Jika anda menghadapi sindrom-sindrom di atas, saya memahaminya.

Wednesday, November 17, 2010

PENGAKHIRAN CERITA: SEDIH ATAU GEMBIRA?

Saya sangka saya tahu pengakhiran cerita saya, namun setelah watak-watak jadi bernyawa, semuanya berubah. Saya umpama watak Dermott Trellis dalam At-Swim-Two-Birds karangan Flann O’ Brien tanpa perbuatan membunuh diri dengan pisau cukur kerana diugut oleh watak-watak dalam novelnya. Pengakhiran yang dirancang berubah. Tidak banyak, sedikit.


Secara am, pengakhiran terbahagi kepada dua. Pengakhiran yang sedih dan pengakhiran yang gembira. Tidak semestinya pengakhiran yang sedih akan mengecewakan pembaca. Tidak semestinya pengakhiran yang gembira akan memuaskan hati pembaca. Tapi pastinya pembaca akan marah jika anda tiba-tiba membunuh watak hero yang anda telah minta pembaca anda melaburkan komitmen terhadap watak itu. Lebih teruk, watak hero itu mati kerana penyakit (barah otak) dan kematian tidak membawa apa-apa faedah kecuali membuatkan heroin menyesal. Oh, saya harap zaman itu telah lama berakhir!

Pembaca lebih suka pengakhiran sedih atau gembira? Hm, bergantung. Saya rasa pilihan itu banyak bergantung kepada psiki pembaca. Saya suka penamat Never Let Me Go (Kazuo Ishiguro) walaupun menjadikan saya murung. Saya tidak suka penamat siri Twilight (saya mahu mereka semua mati terbakar). Penamat Twilight adalah satu pembaziran kertas. Saya suka penamat Inkheart (Cornelia Funke). Saya tidak suka penamat semua novel romance kerana penulis amat takut memperapa-apakan wiranya. Saya amat tidak suka pengakhiran novel Beastly (Alex Flinn). Saya harap watak Kyle Kingsbury dimatikan sahaja. Menyakitkan hati betul. Oh, senarai bacaan saya bukan senarai yang baik. (Saya sejenis pelajar yang malas untuk berpening-pening).

Saya suka pengakhiran sedih kerana saya boleh keluar dari bacaan tanpa satu parut pun. Kadangkala pengakhiran yang bahagia rasa terlalu palsu kerana hidup tidak begitu.

Satu lagi pengakhiran yang saya suka ialah pengakhiran misteri. Saya suka berfikir-fikir setelah novel itu habis dan merancang sekuel untuk orang lain.

Friday, November 12, 2010

SANGSI AKAN KARYA SENDIRI: Apa ikhtiar penulis?

Pernahkah anda sangsi akan karya anda sendiri? Saya akan menghadapinya setiap kali hampir siap menulis sesuatu cerita. Terutamanya ketika dalam proses melakukan penyuntingan ejaan dan tatabahasa.


SUDUT
Apa yang menyebabkan saya sangsi ialah apabila munculnya bahan-bahan baru yang saya terjumpa di suratkhabar atau Internet. Apabila saya membaca bahan baru ini tadi, saya mendapati yang sudut, ideologi dan falsafah yang saya bawa dalam cerita saya tidaklah seperti bahan baru yang saya baca. Saya pun mula mempersoalkan sudut yang saya bawa. Adakah sudut saya ini cukup penting untuk diketengahkan? Adakah sudut saya ini betul dan tidak menyeleweng? Ditakuti jika sudut saya ini terlalu popular sehingga ia kelihatan dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaratan atau unsur-unsur komersil yang sebenarnya akan merendahkan kualiti ideologi cerita saya. Jika saya mahu mengubah sudut cerita saya, mampukah saya melakukannya hanya dengan apa yang saya tiba-tiba saya dapat itu? Bolehkan saya mengubah sudut cerita dengan jayanya setelah saya menulis begitu banyak dengan sudut yang saya mesra pada permulaannya? Atau saya mesti teruskan dengan apa yang saya ada kerana saya yakin dengan sudut falsafah yang pada mulanya saya tulis. Tidak semestinya saya perlu mengubah cerita saya hanya bersandarkan satu bahan bacaan yang tiba-tiba muncul dan saya tidak yakin langsung dengan potensi bahan tersebut. Lagipun saya rasa sudut yang saya bawa itu tidaklah menyeleweng dari segi akidah dan dari segi pemikiran manusia rasional. Cuma yang saya takut ialah ia tidak diterima oleh panel hakim sebagai karya yang membawa sudut yang paling baik. Dengan erti kata lain, ditakuti saya mempunyai bahan yang bagus, tapi cara saya membawanya tidak cukup baik.

TEKA-TEKI
Inilah cabaran menulis untuk sayembara. Penulis sentiasa berteka-teki tentang apa yang dikehendaki oleh panel hakim. Memanglah tiada isu yang dimestikan untuk ditulis, tapi kita trertanya-tanya apa yang baik untuk sayembara tersebut. Dan bayangkan apa pula yang ditulis oleh pesaing kita. Adakah mereka lebih maju, lebih segar, lebih mencabar minda? Laporan panel hakim pula hanya bersifat retrospektif. Ia memberi kritikan tentang apa yang telah ditulis, dan bukannya apa yang panel hakim harap akan ditulis.

IKHTIAR
Dalam menguruskan kesangsian dalam fikiran ini, saya terkenangkan apa yang diceritakan oleh Editor Gaban UP&D, Pn. Nor Azah Aziz. Beliau menceritakan yang sasterawan Azizi Hj Abdullah menguruskan perasaan sangsinya ketika menulis novel Kawin-Kawin dengan selalu melakukan solat istikharah. Siapa kata solat istikharah hanya untuk soal jodoh sahaja? Di kala sangsi menulis juga bermanafaat. Menulis novel juga bagai hendak mencari jodoh, bahkan lebih berat dari isu mencari jodoh. Apatah lagi karya yang kita tulis kekal bersama kita sepanjang hayat dan membawa sehingga ke mati. Manakala jodoh dengan manusia pula mungkin putus dengan bercerai hidup ataupun akhirnya putus jua dengan bercerai mati. Novel yang ditulis, selagi manusia membacanya, kebaikan atau keburukan yang dibawa akan kekal bersama kita sehingga ke akhirat!