Sunday, January 12, 2014

QALAM KALBU: ANCESTOR TEXTS

Tajuk: Qalam Kalbu
Tempoh penulisan: November – Disember 2012
Tempat lahir: Apartmen keluarga
Lagu tema: Never Let Me Go – Florence & the Machine, Born To Die – Lana Del Rey
Ancestor Texts: The Wounded Cavalier – William Shakespeare Burton, The Aura of the Alif :The Art of Writing in Islam - Jurgen Wasim Frembgen (Ed.)

Friday, January 10, 2014

PENGURUSAN MASA: LOG 168 JAM

Tahun yang baharu telah pun tiba. Dan setiap orang mempunyai impian yang cuba digapai untuk tempoh masa 12 bulan yang akan datang. Namun impian itu dengan mudah akan tertimbus oleh pelbagai urusan kehidupan. Tahu-tahu sahaja tahun 2014 akan tamat dalam masa beberapa hari dan semua tingkap yang kita sangka seperti baru semalam luas terbuka sudahpun tertutup.

Tahun ini saya mahu amalkan satu amalan baru. Saya dapat idea ini dari buku Laura Vanderkam, 168 Hours: You Have More Time Than You Think. Beliau cadangkan kita membuat log 168 jam bagi setiap hari untuk tahun semasa, dan mencatatkan dengan ringkas apa yang kita lakukan selama seminggu. Ini adalah tempoh percubaan sekadar melihat bagaimana kita menghabiskan masa. Berapa banyak untuk perkara wajib, dan berapa banyak untuk perkara sia-sia. Saya tambah sedikit format buku log ini dengan mencatatkan tarikh tamat projek penulisan untuk menambah rasa keterdesakan. Selepas kita mengesan amalan seharian kita, baharulah kita 'trim' jadual kehidupan - buang aktiviti yang tidak perlu dan beri masa untuk sasaran tahun ini. Saya juga tambah ruang untuk 'rancangan' selain dari 'apa yang sebenarnya berlaku'. Jadi satu hari ada 2 kolum. Kalau rancangan dilaksanakan, saya akan tanda 'rait' pada ruangan 'apa yang sebenarnya berlaku'.
Warna merah tanda projek penting

Tak tulis apapun lagi dalam log ni...

Ini adalah tahap percubaan. Saya cuba dahulu. Setahun lagi baru tahu berjaya atau tidak.


Thursday, January 9, 2014

QALAM KALBU & CATAN PRE-RAPHAELITES

Arwah embah saya seorang Jawa kuno yang naik sampan dari Pulau Jawa. Sampai di Tanjong Karang dengan tulang empat kerat dia tebang hutan yang pokok-pokoknya sebesar pemeluk untuk jadi sawah. Sawahnya berelung-relung dan sampai pada saya, sawah entah ke mana, dijual, hilang, kosong. Tapi itu cerita lain. Zaman kanak-kanak saya selalu pergi ke rumahnya. Rumah kayu besar, hitam dan gelap. Sehingga sekarang rumah itu datang dalam mimpi saya, dalam pelbagai bentuk. Walaupun kunonya embah saya, arwahnya ada tampal satu salinan/ poster potret Mona Lisa di ruang tamunya. Ia tidak masuk akal. Tapi itulah permulaan minat saya dengan catan yang realistik. Apabila bersekolah menengah, saya mula mencari-cari catan-catan serupa ini di dalam ensiklopedia catan dan terjumpa dengan catan Pre-Raphaelites. Saya paling suka 3 catan dalam tradisi ini, dan catan-catan ini menjadi tema kepada saya – The Wounded Cavalier oleh William Shakespeare Burton (semua cerita saya mesti ada seorang 'wounded cavalier', The Lady of Shallot oleh John William Waterhouse dan Ophelia oleh John Everett Millais. Saya tahu suatu hari nanti, saya mesti tulis tentang catan-catan ini untuk mengeluarkannya dari sistem pemikiran saya. Maka lahirlah Qalam Kalbu tetapi itu bukan cerita sepenuhnya. Saya mungkin telah melepasi tahap ‘fangirl’ apa menjadikan catan-catan ini musuh dalam Qalam Kalbu.

The Wounded Cavalier 


Ophelia

The Lady of Shallot

Wednesday, January 8, 2014

QALAM KALBU & SAYEMBARA PENULISAN NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BH

Syukur alhamdulillah. Manuskrip yang saya tulis selama dua bulan pada tahun 2012 telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-PENA-BH. Di sebalik kejayaan ini, saya sentiasa sedar yang hanya penulis berusia 45 tahun dan ke bawah sahaja yang boleh menyertai sayembara ini. Jadi sebenarnya, kami yang berjaya ke peringkat akhir (seramai 10 orang) sudah banyak diberi ruang oleh para senior. Dan jika dikira-kira, saya ada masa 7 tahun sahaja lagi untuk musim-musim seterusnya sayembara ini sebelum ‘tingkap tertutup’ (jika panjang umur!)

Berikut adalah senarai penuh pemenang Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-PENA-BH:
KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N
Hadiah Kedua
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
• Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
• Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
• Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang
Hadiah Kedua
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati
• Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
• Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
• Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
• Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)



Tahniah!

P/S: Ruhaini Matdarin is a lean, mean writing machine. Macam mana beliau lakukannya? Dia berkata dia menulis setiap lepas subuh. Dari jam 6.30 sehingga 9.00 pagi sebelum beliau mula bekerja. Aduh. Itu namanya disiplin.
Muka berkilat: Baru lepas mengajar!

Buku dalam kaca

Monday, December 23, 2013

CABARAN MENULIS FIKSYEN SAINS & TEKNOLOGI JENAMA MALAYSIA

Pada 21 Disember 2013, saya dan bersama lebih kurang 60 peserta lain telah mengikuti Bengkel Penulisan Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-UP&D Musim Ketiga. Suami saya bertanya kenapa saya mesti hadir bengkel ini setiap musim ia diadakan, apatah lagi tiada jaminan yang saya akan menghasilkan apa-apa produk kerana tarikh tutup sayembara adalah pada pertengahan tahun yang amat sibuk dengan aktiviti sukan, peperiksaan, dan lain-lain. Jawapan saya: Inilah satu-satunya peluang saya mendengar orang yang ahli dalam bidang ini bercakap tentang penulisan fiksyen sains. Jika saya pernah pergi bengkel di New Zealand sekalipun, ilmunya tidak akan sama dengan apa yang saya dapat di sini.
Sesi bengkel amat padat. Saya rasa terlalu banyak makan. Setiap kali disuruh makan, saya rasa oh tidak, tolonglah prof, teruskan syarahan tuan. Sepanjang sesi saya berasa amat seronok, disuntik idea dan semangat – oh saya tak mahu ia berakhir. Bila waktu solat, saya power-walk ke masjid dan power-walk balik ke dewan kuliah, seorang diri, kerana power-walk saya amat laju. Bila semuanya berakhir, saya rasa amat puas, tetapi boleh diteruskan lagi esok pagi! Kita boleh bercakap sampai esok tentang perkara ini.
Jadi, saya telah membuat beberapa kesimpulan untuk apa yang dicari oleh panel pada musim ini, sekadar untuk perkongsian agar penulisan musim ini lebih rancak dan membijaksanakan.

1. Tema, pemikiran & ideologi mesti selari. Tiga serangkai yang susah untuk difahami, apatah lagi ditulis dan digubah. Saya akan ambil pendekatan buat dan lihat.

2. Fiksyen sains & teknologi di Malaysia lain dari apa yang ada di Barat. Jadi jika teringin hendak copy-paste The Matrix dan ubah lokaliti, minta maaf – formula ini tidak boleh digunakan. Prof Lim Swee Tin berkata yang fiksyen sains di Malaysia adalah berteraskan nilai-nilai Islam/ agama yang menyembah Tuhan Pencipta/ percaya akan takdir dan juga menunjukkan nilai-nilai bangsa Malaysia (unsur yang subjektif, tapi penulisan yang memberi harapan dan mempercayai kebijaksanaan pembaca untuk menilai mungkin membantu).

3. Fiksyen berteraskan sains dan teknologi yang disampaikan dengan metod kesusasteraan yang baik. Muatan sains yang lengkap tetapi tidak ditulis sebagai cerita yang indah adalah sia-sia. Cerita yang baik tetapi lemah muatan sainsnya adalah membuang masa.

4. Tulis out-of-the-box. Menulis cerita yang lain dari yang lain. Senang cakap, susah nak buat. Menonton wayang dan siri TV mempengaruhi penulisan. Apa yang orang sudah buat kita tidak mahu ulang. Cuba fikir yang lain, tapi seolah-olah itu sahaja yang ada. Kalau boleh, hendak keluar dari kerangka pemikiran sedia ada, bagaimana? Bagaimana?

Tambahan: Saya tidak berapa setuju dengan beberapa konsep fiksyen sains sedia ada yang saya tidak berapa sesuai untuk digunakan. Saya tidak suka parallel universe, saya tidak suka time travel, atau teleportation, atau spontaneous existence, atau astral projection. Kapal angkasa Enterprise menggunakan warp speed pun saya tak suka. Saya rasa yang konsep-konsep sedia ada ini tidak ada penjelasan saintifik, sekadar permainan kata-kata/ fantasi. Saya lebih suka sains aplikasi atas bumi.

Equilibria dikritik/ 'jadi bahan'. Entah kenapa saya terlalu seronok bila dikomen (komen tak best) sebab dalam kepala saya, saya asyik berkata - Wow, Equilibria/ EquiliBRA (kata Prof Hashim Ismail! I can't believe it. OMG!), masih ada yang sudi membaca, wow, what is my life? idk, idk...

Menulis fiksyen sains & teknologi Malaysia adalah kerja yang mencabar. Tetapi amat seronok, macam naik roller-coaster. Turun  naik, bergerak laju. Tetapi nak bayar tiket dan duduk atas kerusi gerabak itulah yang sukar. Tetapi sekali dah masuk, ia takkan lepaskan kita sampai ke akhirnya.Ok, saya perlukan ‘muse’ baru dan lagu tema baru (Dan Reynolds Imagine Dragon/ Demons? dan seorang ‘muse’ lelaki Melayu, rahsia). Lepas itu, tengoklah apa yang terjadi. Tahun akademik yang baharu pula nak mula. Tak tahulah apa nasib 2014.


Wednesday, December 11, 2013

HADIAH AKHIR TAHUN: ANUGERAH BUKU NEGARA 2013

Pada 10 Disember 2013, saya dihubungi oleh penerbit bersama novel EQUILIBRIA, Utusan Publications & Distributors. Saya telah dipilih untuk menerima salah satu kategori dalam  Anugerah Buku Negara 2013 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN). Syukur Alhamdulillah. Sudah semua maklum yang Anugerah Buku Negara tidak menawarkan ganjaran wang kerana YPBN adalah sebuah badan bukan kerajaan yang beroperasi dengan sokongan dari penerbit-penerbit. Namun, pengiktirafan itu penting. Bayangkan ini adalah majlis penyampaian Oscars. Dan saya adalah Jeniffer Lawrence (Hahaha, berangan). Nasib baik juga saya tinggal di Ampang, lokasi paling ‘happening’ di Malaysia. Jika tidak, terpaksalah saya tidak menghadirkan diri.

Apabila saya mendaftar di kaunter pemenang, saya diberitahu yang fail pemenang saya hilang/ tiada. Bukannya apa, di dalam fail itu ada senarai 30 pemenang, dan saya mahu siarkan senarai pemenang itu. Sehingga habis majlis, senarai itu saya tidak dapat. Buku aturcara majlis tebal dan cantik, tetapi tiada senarai nama pemenang 2013. Yang ada, senarai pemenang tahun-tahun lepas. Agak pelik juga. Sebenarnya, terlalu pelik.

Maka dengan itu, saya tidak dapat menyiarkan senarai pemenang Anugerah Buku Negara 2013. Apa yang saya boleh beritahu ialah novel EQUILIBRIA telah memenangi kategori Novel Terbaik Fiksyen Sains dan Teknologi. Walaupun saya tidak nampak lagi harga anugerah ini untuk masa hadapan saya dalam penulisan yang tidak tentu cerah atau kelamnya, saya dapatkan rasakan yang ia penting untuk penerbit bersama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kerana novel ini memenangi tempat kedua Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-UP&D Musim Kedua. Pengiktirafan ini akan direkodkan oleh UTM dan menjadi satu lagi pencapaian institusi itu. Hati kecil saya berkata yang mustahil saya boleh dicalonkan pun jika kategori ini mempunyai ramai saingan.

Highlight acara ini adalah apabila anak sulung saya ke hadapan semua wartawan dengan kameranya. Dia seorang budak kecik yang berada di hadapan, lantas menarik perhatian penyampai iaituYB Datuk Abu Bakar bin Mohamad Diah, Timbalan Menteri Sains, teknologi dan Inovasi. Ketika itu saya sudah menerima tropi dan sudah pun berbaris di belakang. Dengan tidak disangka-sangka, YB Datuk suruh saya ambil semula hadiah itu supaya anak saya boleh ambil gambar saya. Demi semua orang yang telah pun ketawa dengan betapa ‘sweet’nya adegan ini saya pun terpaksa akur walaupun saya jenis orang yang tidak mahu diberi perhatian. Jika ada sesi fotografi apapun dalam dunia, saya mahu duduk di barisan belakang. Bukannya untuk ulang sesi fotografi di hadapan semua orang!
Oh, Faramir! Faramir!


Faramir: "If I should return, think better of me, Father."
Denethor: "That will depend on the manner of your return."
                                                J.R.R Tolkien, The Lord of the Rings: Return of the King


Petikan ini yang bermain di fikiran saya sepanjang perjalanan pulang. Argh!


YB Datuk Abu Bakar bin Mohamad Diah, the funniest speaker who had everyone in stitches during his speech. And a Malaccan, too!

Faramir, doing what he does best: Photo-bombing his own mother

Macam mana nak menulis kalau jadi babysitter sepenuh masa 3 orang budak lelaki?


Sunday, December 8, 2013

2013: TAHUN TIDAK MERIAH

Saya sedia maklum jika saya berkata sesuatu di Internet, kata-kata itu akan makan diri saya. Baru saya berkata yang saya akan berusaha menulis satu buku setahun di ruang Bakat DBP Klik, saya dapati yang saya tidak ada satu produk pun untuk dijaja tahun ini. Dan tentunya, bila saya rasa sedih atas perkara ini, saya tidak dapat menulis (tiada motivasi) dan amat maklum, jika saya tidak menulis tahun 2013, saya tidak ada produk untuk tahun 2014! Itu adalah lumrah dunia penerbitan. Karya anda akan mengambil masa paling kurang setahun untuk terbit (itu yang bernasib baik!) atau yang kurang bernasib baik, akan makan masa bertahun-tahun.
Dengan perasaan sedih, saya menyemak data di Goodreads dan mendapati yang ramai rakan penulis lain tidak menerbitkan bahan untuk 2013. Rasa lega sedikit, bukan saya seorang. Tapi lepas itu, teringatkan Ruhaini Matdarin, rasa ‘jeles’ semula. Ah! Begitulah jiwa manusia.
Jadi, bagaimana? Saya pun terpaksalah akur yang penulis itu makhluk yang paling-paling manusia. Kalau polis, guru, arkitek, jurutera, pensyarah, peniaga, pelakon, penyanyi itu manusia, penulis lagilah manusia. Kadangkala dia rajin, kadangkala nak baca buku pun tak mahu. Kadangkala dia redha, kadangkala dia iri hati,. Kadangkala dia menulis, kadangkala dia tidak menulis. Jadi, apa salahnya berehat sekejap (Hai, setahun satu pun nak berehat?!) Baca buku balik, merenung dan bermenung, buat kerja sekolah (banyak yang tidak siap pun). Buat apa menulis karya kalau isinya teruk dan buat orang benci sampai nak bakar buku kita dalam pemanggang ajaib?

Tapi janganlah rehat buat selama-lamanya pula. Rehat yang itu memang dah dipastikan bila sampai masanya, tak payah nak dirancang pun.

Mahu jadi kanak-kanak zaman sekarang. Jadi kanak-kanak tahun 70-an dan 80-an adalah yang paling teruk tetapi 'hardship builds character'(Itu yang ibu bapa saya cakap - dalam bahasa Melayu)

Wednesday, May 15, 2013

TEACHERS’ DAY: IT’S THE THOUGHT THAT COUNTS


Honestly, I don’t enjoy celebrating any kinds of day. On many occasions I have mixed up my sons’ birthdays or completely forgotten about them. Aidilfitri is a sombre day for me as I get caught up in remembering my muddy past, begrudging my family members. I am the unredeemable Scrooge. I definitely try not to attract attention to my own birthday even with my spouse and children. When I was a child, I even asked the existential question – Would I have suffered the slings and arrows of outrageous fortune if I wasn’t born? – to my mother. This is the precursor of my’ tormented hero’ mode of writing. Children, don’t do this at home.
But Teachers’ Day is different. It’s not a day for me alone, so I just unabashedly celebrate it with all my heart. This is a day I share with the whole country. This is the day when your students give you canned drinks, cupcakes, flowers, chocolate and once in a while, a heartfelt message that validates your existence as a teacher.

All my favourite things


That is a cupcake stain on your card, Syazatul. It happened during a passionate bout of eating them .






Sunday, February 24, 2013

PE NULISAN: MEMANFAATKAN SESUATU YANG NEGATIF



Setakat akhir Februari 2013, saya sudah mengalami 3 hari yang teruk. Satu dari hari tersebut saya tertinggal diari, pen, buku cerita, atau karangan pelajar untuk disemak (bahan bacaan percuma). Yang ada hanyalah 24 jam bersama otak saya yang menggelegak dan situasi yang amat tidak menyenangkan. Satu hari lagi disebabkan oleh cuaca yang mengubah perencaan sesuatu program, jadi saya tidak berapa salahkan diri saya untuk satu hari tersebut.

Saya berpendapat alangkah eloknya jika saya dapat menulis satu bab untu setiap hari buruk yang telah saya alami. Jadi setakat bulan Februari saya telah berhutang dengan diri saya sendiri 3 bab untuk sebuah novel. Kalau ikut ‘trend’ ini, banyaklah bab yang saya terhutang dengan diri saya.

Monday, February 4, 2013

ENGLISH FEST 2013: OF MEMORIES & LETTING GO


Another year has begun. Naturally, I have to let go my beloved 2012 students. As much as I love them to bits, I can’t see another year of teaching them. Studying language with the same teacher for three years in a row (to some of them) could be dreadful. But that’s the beauty of anything temporal. Something beautiful, that is fleeting might be more appreciated than years and years of static stability. Still, I miss those days.


So life went on.  Sometimes, they visited me. Actually, almost daily. Safe to say, every other day. I enjoy those visits, since grading papers in the lonely staff room at 2.30 in the evening is really not the highlight of my life.

They reported on a project that they had to do for a school event. As a capacity of someone now removed from their colourful life, filled with drama of all kinds, I could only listen and say something positive. I heard their laments, the fears and news of a mutiny within a mutiny. How exciting! I kept saying that things are going to work out in the end. I tried to creep back into their lives but they kind of said, “Teacher, we can do this on our own. Just let us do it the way we want to do it.” Sadly, my heart breaking bit by bit, I let them do it their own way.

The night before their big day, I dreamt about the kids with a drama I haven’t seen. That is the level of my obsession. I knew they would be able to pull it off. I sat there, watching them doing a last minute run of their little sketch. And for the briefest moment, I felt I am a part of their brilliant and sweet life. Maybe I am, maybe not, depending on whose point of view I am speaking about.

These boys will give Aaron Aziz a run for his money

These boys will give the Juvana boys a run for their money

Ustaz Azhar Idrus will have to find a new crowd

The old gang is back

You carry this all the time with you? Referring to love letters/ romantic poems

A boy has gotta try

No words can describe the beauty of this final scene.  What happened to me in high school? Oh yeah, I was in an all-girls boarding school

And they did. It was hilarious. It was awkward. But it was definitely entertaining. They practiced on Saturday without adult supervision. Balloons streamed down from the balcony. When did they do that? Syazatul lamented that the audience were silent at the end. I could only say that they didn’t understand some parts at the end. This isn’t the ’12 Jam di Pasir Salak’. This is a comedy in a foreign language.

Ah, the memories.

Wednesday, January 16, 2013

HIKAYAT CELTIC UNTUK SETIAP GENERASI

Akhirnya, 'The Adventures of Merlin' tamat siaran setelah 5 musim. Setiap generasi mesti ada siri hikayat Celticnya sendiri dan bagi generasi anak-anak saya hikayat Celtic itu adalah 'The Adventures of Merlin' walaupun penulisan cerita ini tidak begitu cemerlang.

Hikayat Celtic saya ialah 'Robin of Sherwood'. Bagi seorang budak kampung, 'Robin of Sherwood' adalah satu pengembaraan minda ke suatu tempat lain yang tak mungkin saya capai secara rasional. 'Robin of Sherwood' mengajar saya banyak perkara. Sebutan nama 'Richard the Lionheart' membuat saya membaca buku sejarah dunia Tingkatan 5 milik bapa saya sekadar untuk mengetahui siapa dia. 'Robin of Sherwood' ada latarbelakang sejarah yang kuat berbanding 'The Adventures of Merlin'. Episod yang saya ingat sampai sekarang ialah 'Crom Cruac'. Ia mengajar saya yang realiti/ kesedaran adalah poros. Episod itu masih membuatkan saya terkenang-kenang hingga sekarang. Apabila Robin of Locksley mati bertahan di puncak bukit dengan beberapa anak panah yang terakhir dari serangan Sherif of Gisbourne, saya belajar yang wira boleh mati dalam perjuangan. Masa itu saya sekolah rendah. Apabila watak Robin Hood diganti dengan Robin Hood yang berambut kuning, saya belajar yang wira yang gugur sentiasa mempunyai pengganti. Ah! Robin of Sherwood. Kenangan!

Dan alangkah geramnya saya apabila budak-budak lelaki saya langsung tidak minat untuk menonton 'The Adventures of Merlin' padahal cerita itu lebih mudah difahami dari 'Robin of Sherwood'!

Saturday, January 5, 2013

IDEA HEBAT: TULIS SEKARANG ATAU TUNGGU DULU?

Katakanlah, tiba-tiba sahaja kita mendapat ilham yang 'ground-breaking', Idea itu besar, kompleks tetapi kita tahu yang ia rumit kerana ia adalah idea yang baik lagi benar, yang memerlukan ketangkasan dan ketajaman fikiran untuk menyampaikannya. Diri mula merasakan yang kita tidak cukup matang, tidak cukup ilmu untuk membawa idea ini menjadi karya yang panjang lagi rumit.

Adakah anda akan menunggu sehingga anda cukup matang dan cukup ilmu untuk menulisnya. Anda takut yang anda tidak akan berjumpa dengan idea yang sebagus itu. Anda mahu ia sempurna. Anda mahu ia jadi benda yang membawa anda ke zaman kegemilangan.

Saya memilih untuk menulisnya segera. Dan ia menjadi sesuatu yang tidak sempurna dan tidak serumit yang diharap-harapkan. Tetapi saya mahu belajar dengan cara melakukan kesilapan. Saya yakin yang idea yang sama jika ditangani dengan tahap kematangan yang lebih usia dan ilmu yang lebih mantap akan menjadi satu karya yang lain. Jika saya kena kutuk dengan teruk sekalipun, saya akan tetap mempelajari sesuatu.

Jadi, jangan takut dan usah khuatir untuk menggunakan idea yang didapati pada tahun semasa. Kerana idea itu bagi saya, mempunyai nilai yang hampir-hampir infiniti.

Wednesday, January 2, 2013

TIDAK MENGAPA TIDAK MENULIS: BERI DIRI ANDA PELUANG

Tahun yang baharu muncul lagi dan kita tidak boleh mengelak dari menanam azam. Secara peribadi, saya merasa rendah diri apabila melihat pencapaian orang lain yang sentiasa memajukan diri. Namun begitu, ada saat-saat yang saya akan duduk dan berfikir, itu memang sudah rezeki dan jalan hidup yang ditentukan untuk orang itu. Tidak semua manusia perlu mengejar benda yang sama. Tahun ini, saya mahu melakukan perkara yang membuatkan saya gembira. Saya akan berhenti melakukan sesuatu jika ia tidak lagi membawa kebahagian kepada saya.

Dan tentulah, insan-insan di sekeliling kita akan menggalakkan kita untuk terus menulis, tanpa mereka memahami liku-liku penulisan itu amat mencabar. Nampak pada wajah tenang/ ceria kita seperti ia kerja paling mudah tapi sebenarnya ia adalah proses yang panjang dan meruntun emosi.

Jadi, tidak salah untuk saya berkata, "saya nak berehat, hendak melihat sekeliling, hendak bercampur-gaul, hendak mula semula" dan in sya Allah, muncul dengan sesuatu yang segar, bermutu dan tidak dijangka. Itu lebih baik dari memerah sumber yang sudah kering, dan menghasilkan sesuatu yang ala kadar sahaja.

Selamat bercuti dari menulis. Selamat mengembara, membaca dan menyelami kehidupan!

Friday, December 28, 2012

HADIAH SASTERA PERDANA KE-20 PENUTUP 2012

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi saya diberi rezeki dengan Bimasakti Menari yang telah mendapat pengiktirafan HSPM 20 dalam kategori Novel Remaja. Majlis yang meriah ini telah diadakan di Hotel Hilton KL dan disempurnakan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd. Yassin pada petang tadi, 28 Disember 2012. Acara ini saya anggap kemuncak aktiviti sastera tanahair pada tahun ini.

Syabas kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka kerana berjaya mencapai objektifnya dengan mengadakan majlis ini. Semoga usaha ini diteruskan pada musim-musim depan. Kami semua menghargai tungkus-lumus semua kakitangan DBP yang terlibat dengan  majlis ini.

Saya gembira bukan kerana saya terpilih, dan saya sedih bukan kerana saya tidak terpilih. Tetapi saya gembira kerana kategori Novel Remaja mempunyai pemenang. Mustahil dengan ratusan novel remaja, dari puluhan penerbit di negara ini, tiada satupun yang mempunyai kualiti dan jati diri dan ideologi murni. Mesti paling kurang ada 6. Dari 6 mestilah ada 1 yang terbaik.

Tahniah kepada para pemenang. Tuan SM Zakir menang berganda. Begitu kanda Mawar Shafei. Begitu juga Tuan Baha Zain. Begitu juga almarhum Pak Azizi Haji Abdullah. Ramai lagi yang menang hadiah dengan karya dewasa yang hebat-hebat.

Bersama Siti Jasmina Ibrahim (penulis skrip drama Runtun Qalbu!) yang memenangi kategori Esei/ Kritikan Sastera 'Dari Bahasa Kata ke Bahasa Gambar' Dewan Sastera, November 2010)

Bersama Dr. Kamariah Kamarudin (ahli panel hakim HSPM 20) dan Mawar Shafei (kategori Cerpen 'Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan', Mingguan Malaysia, 7 November 2010 & kategori Esei/ Kritikan Sastera 'Hubungan Melayu-Cina dalam Cerpen Melayu', Dewan Sastera Jun 2010)

Bergambar di hadapan paparan yang dipamerkan di luar dewan.


Semoga hadiah ini menjadi pendorong untuk terus berkarya akan perkara yang baik-baik.

Dengar kembali lagu Owl City 'Fireflies'! Tiada apa seperti yang disangka, apabila aku lena...

Wednesday, December 26, 2012

HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA 2010/2011


Sengaja ingin mengulang soalan nakal yang pernah diajukan pada musim 2008/2009 - Siapa pemenang HSPM musim ini? Yang lebih penting, kategori apakah yang tidak dimenangi oleh sesiapa? Tidak disangka-sangka musim yang tidak ditunggu-tunggu tiba-tiba bertandang kembali. Nasi ditanak kalau ditunggu, tak masak-masak. Kalau tidak dapat surat jemputan apa maksudnya? Kita tunggulah sahaja.