Wednesday, December 8, 2010

CERITA PARI-PARI: LEBIH CINTA DARI BENCI

Cerita pari-pari! Apa yang bagus sangat? Mungkin ada yang akan mencemik.Tapi saya dan juga sebahagian di luar sana membesar dengan cerita pari-pari. Seperti mana juga saya membesar dengan Hikayat Panji Semirang, Hikayat Hang Tuah, Kisah Nabi-Nabi, Kisah Dewa-Dewi Greek dan buku sejarah dunia milik bapa saya. Saya rasa, dengan banyak-banyak perkara yang boleh memusnahkan zaman kanak-kanak saya, saya telah diselamatkan oleh pembacaan, di antaranya.


Kisah pari-pari tidak masuk akal. Sewaktu kecil saya mengikuti siri setengah jam satu episod ‘The Fairy Tale Theatre’. Ada cerita yang saya suka, ada yang saya tidak suka. Saya juga membaca banyak buku-buku yang dipinjam dari perpustakaan sekolah. Jika tiada perpustakaan sekolah, tidak mungkin saya mampu untuk membaca buku yang sebegitu banyak.

Dan kini, apabila animasi Disney ‘Tangled’ ditayangkan, saya membawa anak-anak saya menonton. Keputusan untuk menonton ‘Tangled’ dibuat dengan berhati-hati. Budak-budak lelaki enam dan empat tahun takkan mahu menonton cerita tentang budak perempuan yang memakai baju warna merah jambu. Mereka mahu aksi ‘slapstick’, watak hero lelaki dan haiwan-haiwan peliharaan! Juga filem mestilah tidak melebihi satu setengah jam. ‘Tangled’ adalah pilihan yang tepat. Saya menonton ‘Harry Potter: The Deathly Hallows Part 1’ dengan kawan lama di maktab yang diterbangkan khas dari Kuala Terengganu, dan bukannya dengan anak-anak. Saya tidak tahulah apa yang akan terjadi jika saya membawa mereka menonton HP: TDHP2. Membazir wang saja kerana selepas 10 minit pasti budak-budak ini akan berlari keluar!

‘Tangled’ amat menyeronokkan. Di kala saya menghadapi tekanan cuti akhir tahun, saya ketawa kuat-kuat di dalam panggung yang dipenuhi budak-budak kebanyakannya. Jarang-jarang saya seseronok ini. Keseronokan yang tidak ada sebab munasabah. Saya bukan pun gembira secara amnya. Tapi duduk di situ, menjerumuskan diri dalam alam fantasi cerita pari-pari saya hilang diri saya yang biasa. Yang bagusnya, tiada pari-pari ataupun ahli sihir pun dalam ‘Tangled’. Dan tiada putera raja. Dan ia mempunyai subteks Freud/ psikoanalisis yang membuatkan saya terkenangkan subjek Psychology 101 di uni dahulu.

Tapi pra-pengakhirannya! Sungguh mengejutkan. Saya tidak menyangka yang Disney akan merentas garisan itu. Dalam ‘The Frog Princess’ seekor kelip-kelip mati, tapi dalam ‘Tangled’ watak utama dimatikan setelah digari dan berkeluh-kesah begitu lama. Cinematografi berbalam-balam sebelum akhirnya watak diresureksikan. The Beast dimatikan sementara waktu dalam ‘The Beauty & The Beast’ tapi tidak dengan begitu grafik. Dan rating ‘Tangled’ begitu tinggi! 88% di Rotten Tomatoes. Adakah rating PG untuk ‘mild violence’ diperlukan untuk memberikan impak kepada penonton?

Tapi apabila difikir-fikirkan, ‘mild violence’ ini tidak akan memberi impak jika penonton tidak mempunyai hubungan emosi dengan watak-watak yang dikasari itu. Dan apabila keluar panggung, saya dan anak saya berkata serentak ‘AWESOME!’ untuk semua yang telah berlaku dalam masa 90 minit.