Sunday, July 29, 2012

RAMADHAN & JANJI DUNIA PENULISAN

Ramadan al-Mubarak datang dengan cabaran yang berbeza buat penulis. Masa dalam Ramadan berlalu terlalu cepat. Dari waktu bangun sahur sehingga berbuka puasa sehingga solat terawih dan waktu masuk tidur (lebih awal, supaya boleh bangkit untuk sahur). Ramadan juga menyaksikan jalan raya lebih cepat menjadi sesak. Gerai-gerai di dirikan di tepi jalan, di simpang-simpang, berhampiran lampu isyarat semenjak jam 3.00 petang lagi tanpa memikirkan soal keselamatan dan seterusnya membuatkan jalan raya sesak dan menjadikan kita sentiasa terlambat. Anak-anak pula mesti dijemput lebih awal, dan kita sendiri mesti ‘beat the jam’, maka bergerak lebih awal.


Boleh dikatakan, secara peribadi, saya jarang-jarang dapat menulis ketika menjalani Ramadan. Jika sepanjang tahun, saya boleh tipu-tipu malas memasak, bukan sekarang. Memasak mesti serba-serbi – nasi, kuah daging, sayur, bubur, bancuh air. Jika asyik membeli di bazaar Ramadan, akan terseksa di waktu sahur baru sibuk-sibuk hendak menumbuk sambal.

Jadi saya berkata dalam hati. Tidak mengapalah, jika tidak dapat membuat pahala menulis di dalam bulan Ramadan, banyak lagi peluang untuk mendapat pahala. Tetapi hati terubat bila terkenangkan cerita Pn. Norshida, pustakawan National Library Board of Singapore yang bercerita tentang kata-kata penulis Habiburrahman el-Shirazy yang bunyinya lebih kurang begini, “Saya menulis kerana di dalam tidur juga saya masih beramal ibadah.” Maka saya ambil maksudnya, jika saya merancang-rancang dalam tidur akan karya yang seterusnya, maka insyaAllah saya masih boleh mendapat ganjaran pahala menulis.

Dan selepas Ramadan, penulis-penulis bolehlah memasang sasaran baharu. Terutamanya apabila seorang editor terkenal sudahpun menyiarkan dalam facebook (saya bukan ‘user’ tetapi ‘stalker’) yang segala rahsia akan terungkai selepas Aidilfitri. Sebagai peminat saya akan beri perhatian kepada 2 sayembara – HSKU 2011 dan juga Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Utusan oleh kerana ingin membaca laporannya. Sayembara-sayembara ini, jika kita tidak menyertai atau memenangi, baca laporan pun sudah cukup puas.

Sementara itu, saya akan menikmati Ramadan yang singkat ini untuk lebih banyak berfikir-fikir.

Selamat menjalani ibadah puasa & semoga terus boleh berfikir-fikir untuk menulis.



Wednesday, July 11, 2012

MENYEMAK PROOF: PENYEKSAAN BERKALI-KALI

Jika ada rezeki, anda akan menerima first proof karya anda untuk disemak dan anda membuat pembetulan. Kemudian, second proof pula datang. Tiada yang lebih memuaskan hati apabila melihat manuskrip anda telah di typeset. Di waktu itulah anda akan berkata. “Huh? Akukah yang buat kesilapan macam ni?” Percayalah, memang itu adalah kesilapan anda.


Tetapi memeriksa manuskrip adalah sesuatu yang memenatkan emosi. Anda terkenang kembali apa yang menyebabkan anda menulis sedemikian rupa. Anda terkenang kembali akan keadaan emosi anda yang menyebabkan karya anda begitu. Sedangkan sekarang, setahun selepas itu, anda adalah orang yang berbeza dan sedang memulakan karya yang baharu dengan set emosi yang berlainan.

Dan akhirnya sampai juga ke bahagian itu – bahagian klimaks di mana semuanya musnah dan bercerai dan berselerak. Anda menulisnya dengan linangan air mata dan lagu tema bermain di speaker setahun lalu. Anda mesti hadapinya sekali lagi. Dan lagi untuk second proof. Dan akibat ketahanan emosi yang rendah anda berkata, “Aku takkan ubah apa-apa.”

Itulah sebab saya tidak membaca karya yang telah siap diterbitkan. Melainkan dipaksa.



Saturday, July 7, 2012

TAKLUKLAH DUNIA, PUTERA PUTERI KAMI

Jika ada satu tempat yang anda perlu jadikan destinasi apabila ingin menulis novel remaja, ada satu tempat yang anda wajib pergi. Saya bukan bercakap tentang Istanbul, Mumbai, Colorado, Kuala Selangor, Kaherah, London, Glasgow, Wellington, Ulan Bator. Pergilah ke sekolah menengah yang terdekat anda. Ketepikan kritikan untuk tenaga pengajar atau sistem pendidikan atau cara-cara budak-budak berkelakuan. Cuba duduk sebentar, jadi halimunan dan hanya mendengar. Cari isi dalam turun naik kalimah-kalimah penuh slanga. Ada aspirasi di sebalik duka cita. Ada harapan di sebalik sumpah-seranah. Beratus tahun dahulu, mereka inilah yang pergi berperang.


Apabila anda pulang, ingat kembali wajah-wajah mereka. Setiap satu wajah ada cerita sendiri. Setiap wajah, satu cerita. Ceritanya ialah ‘Siapa aku?’




Suwarna Laxhsmi Ramanathan: Tokoh NILAM Sekolah Menengah Daerah Hulu Langat

Muhammad Iyad: Apabila anda di atas sana, anda yang terbaik.

Aziz, Lukman, Muazzam: Apa lagi helah mereka?

Satu hari yang lazim di sekolah menengah: What is going on?!
 P/S: Apa anda lakukan di zaman remaja?