Wednesday, January 19, 2011

AYAT PALING PAHIT DI TELINGA PENULIS

Bagi setiap yang manis, ada yang pahit. Saya tampilkan di sini, dengan bantuan kawan-kawan.

1. "Puan, saya sudah cari novel puan. Tapi susah sangat nak jumpa. (Soalan Ustaz Zaid)" Respon: "The book is NOT leaving this warehouse, EVER!"
2. "Manuskrip apa?" Respon: "What?!"
3. "Sila tulis surat memohon royalti." Respon: "YOU'VE GOT TO BE KIDDING ME!"
4. "Tiada respon bermakna tidak akan diterbitkan." Respon: "I've got a dream, once."
5. "Manuskrip tidak mempunyai potensi." Respon: "Publisher knows best!"

Pasca-skrip: Masih merujuk kepada 'Tangled', dengan sedikit manipulasi.

Tuesday, January 18, 2011

Ayat Paling Manis di Telinga Penulis

Ada beberapa ayat yang mendatangkan bahagia pada hati penulis. Biar saya nyatakan:

1. "Kami berminat untuk menerbitkan manuskrip puan." Respon: Yay!
2. "Harap dapat hantar softcopy manuskrip puan." Respon: Oh gosh!
3. "Cek puan telah pun siap!" Respon: I'm broke.
4. "Kami sudah lama mengharapkan puan menerbitkan sesuatu dengan syarikat kami." Respon: It's complicated.
5. "Novel puan akan diulang cetak." Respon: I can't believe I did this!
5. "Yang, saya nak bawa anak-anak mandi di kolam DBKL. Awak tak payah ikut!" Respon: BEST. DAY. EVER!

P/S: Rujukan kepada animasi 'Tangled 'adalah kerana kecewa' Tangled' tidak menang apa-apa di Golden Globes. Ah, 'Toy Story 3', barang mainan bernyawa ketika tidak dilihat oleh manusia - mimpi ngeri seorang ibu!

Tuesday, January 11, 2011

AIR MATA SASTERAWAN

Saya tiada pengetahuan yang cukup dan tiada kuasa untuk bercakap tentang dunia sastera Melayu, tetapi apabila saya melihat foto wajah sayu SN Abdullah Hussein di muka depan akhbar, saya rasa jadi bagai hendak gila.


Saya pernah ke rumah SN Datuk Abdullah Hussein pada tahun 2009. Dan sudah tentu, saya tidak berkata apa-apa kerana saya terlalu kerdil untuk berkata apa-apa. Tapi saya tahu yang Datuk perlu tidur kerap kerana beliau mudah letih. Beliau juga makan amat sedikit. Beliau menjawab soalan dari tetamu dengan menulis pada kertas.

Saya marah kepada wartawan yang mengganggu ketenteraman fikiran beliau. Saya kecewa kenapa beliau perlu diseret ke dalam kemelut ini. Saya berkeras bahawa seorang sasterawan tidak perlu meminta maaf atau kesal atas apa yang ditulisnya, melainkan dia sukarela hendak melakukan demikian. Jika seorang penulis perlu meminta maaf kerana setiap patah perkataan yang ditulis, baiklah jadi cikgu sekolah. Minta maaf cikgu lambat, tadi cikgu hantar pelajar ke hospital (Naik ambulan tu!). Minta maaf cikgu terlupa menanda buku latihan kamu, mungkin cikgu terlepas pandang. Minta maaf kerana terlupa hendak membawa kertas lebih untuk kamu, cikgu lupa yang kamu tidak hadir semalam. Ada perkerjaan kita perlu minta maaf setiap hari, ada pekerjaan yang saya pilih kerana saya tidak mahu minta maaf. Dan jadi penulis adalah salah satu dari pekerjaan ini.

Saya sudah baca novel Interlok. Saya tidak mahu SN Abdullah Hussein menjawab apa-apa soalan. Panel yang memilih novel ini pasti mempunyai laporan bagi pemilihan tersebut. Jika perlu, panellah yang sepatutnya membentangkan laporan dan bukannya beliau. Kerana hanya ahli panel yang tahu rasional pemilihan sesebuah novel untuk teks KOMSAS. Nyatakan kriteria-kriteria yang telah dipenuhi, dan kriteria ini berdasarkan dasar kerajaan yang mana satu?

Semuanya mudah. Tapi janganlah diganggu SN Abdullah Hussein. Beliau tidak perlu kesal atas karya beliau sendiri.

Monday, January 10, 2011

PANTANG-LARANG MENULIS

Dua bulan saya telah meninggalkan blog ini. Jika ada pembaca yang mengikuti blog saya dalam tempoh masa tersebut, saya minta maaf kerana lama tidak mengirim berita. Tetapi semoga pemergian saya dari blog berbaloi kerana sudah tentu saya menggunakan masa tersebut untuk membuat kerja hakiki saya iaitu menulis. Jika penulis tidak menulis blog maksudnya penulis sedang menulis buku/ novelnya. Tetapi penulis yang bijak tidak akan sekali-kali membincangkan tentang buku yang belum terbit. Jadi, saya tinggalkan sahaja hal ini di sini. Hal ini terangkum dalam pantang-larang menulis.
1. Memberitahu kaum keluarga tentang projek terbaru.
Saya amat malu untuk menceritakan apa-apa tentang projek saya kepada keluarga saya. Terutamanya ibu atau bapa saya sendiri. Mungkin kerana suatu masa dahulu, saya pernah menulis dengan begitu bersemangat sehingga saya tidak mengulangkaji pelajaran dan di hati saya apabila bercakap dengan ibu bapa saya tentang menulis, ia seolah-olah  adalah sesuatu yang memalukan. Trauma!

2. Bercakap dengan kawan-kawan tentang projek terbaru.
Sekali lagi, saya pernah melakukannya kerana ditanya ‘Apa kau buat sekarang?’Tetapi setelah bercakap lima minit dengan penuh bersemangat saya mendapat mata mereka ‘glazed over’ macam mata haiwan yang ditaksidermi, saya jadi malu dan terus menutup cerita. Semenjak itu, saya jadi orang yang amat berahsia.

3. Menyisihkan kaum-keluarga kerana menulis.
Setiap kali saya menyisihkan kaum keluarga apabila menulis, hasil penulisan menjadi tidak baik. Macam karma yang teruk. Akhirnya, saya akan melakukan semua perkara di siang hari dan bangkit jam 4 pagi hingga subuh untuk menulis. Saya rasa amat bersalah jika menulis di hadapan anak-anak.

4. Menulis di tempat kerja
Oh, tidak! Kecuali dalam mesyuarat yang terlalu panjang dan saya tidak akan bercakap dalam mesyuarat tersebut. Saya juga rasa amat bersalah jika tidak menumpukan perhatian kepada pelanggan saya.

Sebenarnya, hal menulis karya terlalu peribadi sehinggalah buku itu terbit. Dan bukannya mudah hendak menerbitkan karya yang telah siap. Dalam pemikirannya anda, karya andalah yang paling hebat. Tetapi tidak semestinya penerbit berminat dengan karya anda. Ada bermacam-macam perkara yang mereka perlu pertimbangkan. Politik syarikat penerbitan (membosankan!), karya tidak cukup tebal, karya terlalu kebudak-budakkan, terlalu matang, terlalu itu dan terlalu ini. Tetapi, biasalah. Sudah namanya penulis, dia akan menulis jua tanpa mengira halangan. Walaupun akhirnya karya berkubur (sama ada dalam bentuk manuskrip atau di stor syarikat) dia akan terus menulis. Saya namakan sindrom ini sebagai Sindrom Shahrezad dari Hikayat Seribu Satu Malam.