Ramadan dan Ogos seiringan tahun ini. Kemudian September pula sudah pun hampir di penghujungnya. Sekelip mata sahaja tahun 2011 seperti sudah berada di penghujungnya. Kerana tiap-tiap hari saya memulakan kerja dengan menulis hari dan tarikh di papan putih, masa terasa amat pantas berlalu. Sesiapa sahaja yang bekerja di sekolah tahu apabila mencecah sahaja bulan Jun, semuanya akan bergerak bagaikan roller coaster menuju akhir tahun. Bagi yang bercita-cita hendak menulis untuk sayembara, tarikh-tarikh hantar semakin hampir. Dan menyedihkan, apabila tiada ilham yang berkunjung ke dalam minda ataupun terlalu banyak ilham yang datang sehingga tidak tahu yang mana satu hendak dilayan.
Salah satu kemuncak dalam sesuatu tahun ialah Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Walaupun sayembara ini ada kelemahan-kelemahannya, tidak boleh dinafikan ialah satu-satunya sayembara yang setia meraikan orang sastera. Jika artis tempatan ada Anugerah Bintang Popular, jika para jelitawan ada Miss World/ Universe, jika penyanyi, composer dan penulis lirik ada Muzik-Muzik; orang sastera (atau yang cuba-cuba menulis) ada Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Setiap tahun, insyaAllah ada, tidak kira gawat, atau penuh kontroversi, dan dibumbui rasa tidak puas hati, HSKU tetapi menghiasi tahun itu.
Tapi sekarang Ogos telah menjengah, Hari Raya Aidilfitri sudah berlalu, dan Ramadan menuju ke penghujungnya, khabar HSKU masih tidak kunjung tiba. Tapi saya yakin ia tetap akan tiba, dan apabila ia tiba, ia bagai satu kemuncak yang dinanti-nanti.
Tidak salah jika saya katakan yang HSKU bagai satu garisan permulaan bagi sesetengah penulis. Selepas keluar sahaja keputusan HSKU, barulah bermulanya secara rasmi penulisan yang baru. Ini mungkin kerana penulis mahu tahu corak penulisan dan tema yang mendapat tempat sebagai pemenang tahun terkini. Bacaan laporan panel hakim juga penting. Kita mahu tahu apa yang panel hakim mahu, dan jika ada sebarang pembaharuan dalam kriteria penilaian. Entah-entah, selagi HSKU tidak berlangsung, selagi itu termenung bagi tiada arah tuju (bersalah sebagaimana dituduh – saya le tu!).
Walau apapun yang terjadi, semoga HSKU tahun ini tetap akan berlangsung. Dan jika berlangsung, ia tetap dengan caranya yang saya rasa amat menyeronokkan dari segi memberi peluang kepada tetamu/ jemputan/ pemenang/ bukan pemenang untuk mengkritik di Internet. Ada saja yang tak kena. Tetapi tahun depan, jika menang atau dijemput tetap datang.
Ya Allah, syukurlah ada HSKU selama ini, yang dengan cacat cela dan kerenahnya tetap setia meraikan orang-orang penulis yang cerewet perangainya.
Tetapi selama menunggu, mahu buat apa ya?