Wednesday, December 21, 2011

APRESIASI UNTUK AJK PELAKSANA PPMN 2011

Saya tidak dapat menghadiri PPMN 2011 anjuran PENA di Jalan Bellamy walaupun saya tinggal di Ampang. Apabila Jumaat-Sabtu-Ahad itu berlalu, saya terfikir – “Apa yang diaorang sedang lakukan sekarang?”, “Siapa yang sedang bercakap sekarang?” Dalam fikiran saya, jika ia diadakan di lokasi yang jauh pada musim seterusnya, apakah peluang saya untuk menghadirinya?


Apabila ia telah berakhir saya lega. Hidup saya seimbang kembali. Saya terfikir AJK Pelaksana yang pastinya akan jatuh demam selama seminggu. Saya berfikir – Kenapa mereka menganjurkan program ini? Apa keuntungannya untuk mereka? Saya tahu apa keuntungannya dan ia bukannya di dunia. Jika ada pun, terlalu sedikit untuk pengorbanan tenaga, masa, keseimbangan emosi, dan kewarasan mental yang telah diberikan sejak berbulan-bulan lamanya. Paling kurang pun enam bulan. Dan mereka-mereka ini adalah bapa, ibu dan anak-anak kepada keluarga mereka di rumah. Bayangkan masa yang mereka telah pinjam dari keluarga mereka. Untuk apa? Kalau ahli politik hadir kerana memikirkan tentang nasib mereka penggal depan, AJK fikir apa? Sesuatu yang bukan berkenaan diri mereka untuk tempoh 50 tahun di mana mereka sudah lama tamat jangka hayat.

Saya hanya boleh meneka apa yang AJK Pelaksana telah lakukan. Mesyuarat demi mesyuarat, tempahan lokasi, katering dan jemputan. Jika ada VVIP lagilah teruk. Dengan siapa mereka hendak tuntut duit minyak dan duit panggilan telefon, jika mereka jenis orang yang berkira? Saya tahu orang yang berkira tidak akan jadi AJK Pelaksana. Lepas itu, cari tokoh-tokoh untuk jadi pembentang kertas kerja. Ada yang dapat, ada yang tak. Cari orang lain. Sampai dapat. Sudah dapat, kena dapatkan kertas kerja dari tokoh-tokoh dan mesti diperbanyakkan. Berapa banyak? Tak confirm sehingga saat akhir kerana ada yang merancang nak tersembol di muka pintu (macam saya, tapi tak sampai) secara tiba-tiba. Susah nak buat komitmen. Tapi AJK Pelaksana begitu terbuka. Sentiasa mengalu-alukan kehadiran walaupun pada saat terakhir. Yuran RM 40 itu satu keajaiban. Saya pernah hadir bengkel 9.30 hingga 5.30 dengan bayaran RM 50.

Seminggu sebelum program, isu logistik. Punggah kertas yang berbeban-beban tadi ke lokasi atau halfway house. Kalau dah siap stapler tak pe. Masukkan dalam fail. Simpan dalam kotak. Malam sebelumnya, akan ada kecoh walaupun kita sudah buat yang terbaik. Peserta sampai. Ada yang nak tinggal di situ, ada yang tak nak. Ada yang nak duduk dengan geng, ada yang tak da geng. Semua OK? Bilik ada letrik, air? Makanan macamana pula?

Sesi demi sesi berlalu. Ketika peserta khusyuk mendengar ceramah, jangan harap AJK Pelaksana dapat mendengar. Fikiran sentiasa sibuk dengan apa yang akan berlaku selepas ini. Ada AJK yang kena mencatat prosiding. Waktu orang berdialog, AJK sibuk buat panggilan telefon ke sana ke sini untuk sesi seterusnya. Akhirnya, AJK langsung tidak dapat menikmati sajian minda dari tokoh-tokoh tadi. Redha sahajalah. Ilham tetap datang jika dizinkan oleh Allah SWT.

Pejam-celik, pejam-celik. Dua hari sudah berlalu. Semua orang balik. AJK Pelaksana mengemas tempat yang bagai telah dilanda ribut. Di waktu ini, dah tak rupa orang. Penat jangan cakap. Rasa nak demam. Pinggang nak tercabut. Lutut bengkok lain macam. Lepas tu, macam biasa, akan ada post-mortem, yang diminta dan tak diminta. Di waktu ini maaflah jika yang dahulunya sahabat  akan jadi seteru. tapi semuanya bersifat sementara. Kalau ambil masa seribu tahun pun, ia akan berakhir juga. Kena hadapi. Tindakan paling gentleman dan heroic ialah memikulnya di bahu macam seorang wira.
Saya tahu AJK Pelaksana takkan pernah serik untuk melaksanakannya lagi di musim akan datang. Dan kami takkan pernah serik untuk datang.

Salut!

Tuesday, December 6, 2011

MENYELAMI FENOMENA ‘TWILIGHT’

Saya mengaku yang saya mempunyai semua buku ‘Twilight’ Saga, termasuk dengan set buku catatan yang dijual dalam tin. Tetapi ia berhenti di situ. Saya tidak membeli buku tentang pelakon filem tersebut. Saya seorang pengkaji ‘trend’ dan bukannya seorang ‘fangirl’. Tentang buku catatan dalam tin itu ialah sebab saya mengumpul segala jenis buku catatan. Selepas ‘Twilight’ saya membaca banyak lagi cucu-cicitnya yang bercorak kisah cinta paranormal samada ia tentang ‘malaikat’, pari-pari, serigala jadian, hantu atau roh, ahli sihir, kerana saya cuba memahami sesuatu. Ada sedikit sebanyak juga saya terhibur tapi saya masih berpijak di bumi nyata.


Saya dapati tarikan cerita-cerita seperti ini adalah pada beberapa faktor:

1. Hampir semua cerita-cerita ini berjalan berdasarkan pandangan mata diri pertama. Watak utama merujuk kepada dirinya sebagai ‘aku’. Dan aku ialah seorang budak remaja perempuan, yang biasanya tidak dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru, dan mempunyai sejarah masa silam yang buruk. Budak perempuan ini biasanya mempunyai hanya satu ibu/bapa atau anak yatim piatu. Perhatikan yang watak orang dewasa dihapuskan dari awal, demi untuk memberi ruang kepada gadis ‘aku’ ini membuat keputusannya sendiri. Pembaca remaja, yang kebanyakannya perempuan(Budak lelaki main bola, berlumba motorsikal secara menyalahi undang-undang, baca buku Pak Abd Latip Talib - jika mereka membaca) mahukan kebebasan dan keterasingan diri yang dibuat-buat, jadi penerbitan Barat berikan mereka apa yang mereka mahu.

2. Hampir kesemua cerita ini meletakkan watak lelaki yang bakal menjadi pasangan kepada gadis ini sebagai watak yang ‘superior’. Tangkas, kacak, gagah, dan budiman. Faktor yang ekstra seperti kekayaan harta-benda dan usia yang merentas generasi atau tidak dimamah usia & penyakit adalah sangat dialu-alukan. Dan lebih hebat lagi, watak lelaki yang serba-serbi sempurna ini entah bagaimana memberikan perhatian tidak berbelah-bahagi kepada watak gadis yang langsung tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Saya amat terganggu dengan watak gadis yang langsung tidak mempunyai minat tentang apa-apa pun (isu alam sekitar, sastera, sukan, isu masyarakat setempat, dan lain-lain) kecuali terhadap jejaka ajaib tersebut dan kemudian dia terseret ke dalam konflik lelaki itu.

Kedua-dua faktor ini memenuhi kehendak pembaca remaja perempuan yang tidak realistik lagi asyik semata-mata. Pembaca tahu yang dirinya penuh kelemahan lagi tidak tahu apa dimahukan dalam hidupnya. Tapi satu benda dia mahu – lelaki yang dapat melindunginya dan menyelesaikan masalahnya sedang dia sendiri tidak mempunyai apa-apa yang hendak diberikan secara intelektual atau kemahiran kepada dunia lelaki itu atau dirinya sendiri. Cerita-cerita ini dapat berikan itu. Apabila saya membaca kritikan filem tentang ‘Twilight’ saya hanya ketawa. Tiada gunanya mengkritik filem sebegitu kerana filem itu melunaskan ‘tanggungjawabnya’ dengan begitu baik sekali iaitu memberikan apa yang golongan penonton itu mahu, iaitu dibohongi.m Penonton/ pembaca tidak sedar mereka dibohongi. Mereka kata ia hanya untuk suka-suka, tapi kenapa suka sesuatu perkara sahaja sedangkan anda tidak suka benda lain? Apa sebenarnya dalam hati anda yang menyebabkan anda suka yang benda yang demikian?

Kebenarannya ialah tiada lelaki yang akan menjaga anda sepanjang hayat anda dengan begitu setia sehingga maut pun tidak akan menghalangnya. Setiap lelaki akan tinggalkan anda, hidup atau mati, bila tiba masanya. Kebenaran kedua ialah anda ialah anda perlu jadi seseorang, capai sesuatu untuk diri anda supaya anda boleh jaga diri sendiri. Saya harap remaja perempuan Malaysia apabila membaca ‘Twilight’ boleh dapat mesej ini. Apa yang anda tonton itu pembohongan yang tidak mungkin tercapai dalam hidup anda dan jangan sekali-kali menganggap perhubungan di mana anda menyerahkan segala-galanya sehingga badan dipenuhi lebam dan hampir ‘dibaham’ itu adalah ‘pengorbanan’.

Nasib baik saya tidak tinggal di AS atau UK. Jika tidak, apabila saya mahu cuba-cuba menulis untuk remaja saya akan diminta menulis quadrologi (wajib) dengan watak paranormal (wajib) yang meletakkan si gadis dalam tangan jejaka yang tidak boleh dikalahkan (wajib). Jika saya tidak ikut peraturan/ format tadi ,jangan haraplah saya boleh menulis untuk remaja.