Tuesday, December 6, 2011

MENYELAMI FENOMENA ‘TWILIGHT’

Saya mengaku yang saya mempunyai semua buku ‘Twilight’ Saga, termasuk dengan set buku catatan yang dijual dalam tin. Tetapi ia berhenti di situ. Saya tidak membeli buku tentang pelakon filem tersebut. Saya seorang pengkaji ‘trend’ dan bukannya seorang ‘fangirl’. Tentang buku catatan dalam tin itu ialah sebab saya mengumpul segala jenis buku catatan. Selepas ‘Twilight’ saya membaca banyak lagi cucu-cicitnya yang bercorak kisah cinta paranormal samada ia tentang ‘malaikat’, pari-pari, serigala jadian, hantu atau roh, ahli sihir, kerana saya cuba memahami sesuatu. Ada sedikit sebanyak juga saya terhibur tapi saya masih berpijak di bumi nyata.


Saya dapati tarikan cerita-cerita seperti ini adalah pada beberapa faktor:

1. Hampir semua cerita-cerita ini berjalan berdasarkan pandangan mata diri pertama. Watak utama merujuk kepada dirinya sebagai ‘aku’. Dan aku ialah seorang budak remaja perempuan, yang biasanya tidak dapat menyesuaikan diri dengan tempat baru, dan mempunyai sejarah masa silam yang buruk. Budak perempuan ini biasanya mempunyai hanya satu ibu/bapa atau anak yatim piatu. Perhatikan yang watak orang dewasa dihapuskan dari awal, demi untuk memberi ruang kepada gadis ‘aku’ ini membuat keputusannya sendiri. Pembaca remaja, yang kebanyakannya perempuan(Budak lelaki main bola, berlumba motorsikal secara menyalahi undang-undang, baca buku Pak Abd Latip Talib - jika mereka membaca) mahukan kebebasan dan keterasingan diri yang dibuat-buat, jadi penerbitan Barat berikan mereka apa yang mereka mahu.

2. Hampir kesemua cerita ini meletakkan watak lelaki yang bakal menjadi pasangan kepada gadis ini sebagai watak yang ‘superior’. Tangkas, kacak, gagah, dan budiman. Faktor yang ekstra seperti kekayaan harta-benda dan usia yang merentas generasi atau tidak dimamah usia & penyakit adalah sangat dialu-alukan. Dan lebih hebat lagi, watak lelaki yang serba-serbi sempurna ini entah bagaimana memberikan perhatian tidak berbelah-bahagi kepada watak gadis yang langsung tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Saya amat terganggu dengan watak gadis yang langsung tidak mempunyai minat tentang apa-apa pun (isu alam sekitar, sastera, sukan, isu masyarakat setempat, dan lain-lain) kecuali terhadap jejaka ajaib tersebut dan kemudian dia terseret ke dalam konflik lelaki itu.

Kedua-dua faktor ini memenuhi kehendak pembaca remaja perempuan yang tidak realistik lagi asyik semata-mata. Pembaca tahu yang dirinya penuh kelemahan lagi tidak tahu apa dimahukan dalam hidupnya. Tapi satu benda dia mahu – lelaki yang dapat melindunginya dan menyelesaikan masalahnya sedang dia sendiri tidak mempunyai apa-apa yang hendak diberikan secara intelektual atau kemahiran kepada dunia lelaki itu atau dirinya sendiri. Cerita-cerita ini dapat berikan itu. Apabila saya membaca kritikan filem tentang ‘Twilight’ saya hanya ketawa. Tiada gunanya mengkritik filem sebegitu kerana filem itu melunaskan ‘tanggungjawabnya’ dengan begitu baik sekali iaitu memberikan apa yang golongan penonton itu mahu, iaitu dibohongi.m Penonton/ pembaca tidak sedar mereka dibohongi. Mereka kata ia hanya untuk suka-suka, tapi kenapa suka sesuatu perkara sahaja sedangkan anda tidak suka benda lain? Apa sebenarnya dalam hati anda yang menyebabkan anda suka yang benda yang demikian?

Kebenarannya ialah tiada lelaki yang akan menjaga anda sepanjang hayat anda dengan begitu setia sehingga maut pun tidak akan menghalangnya. Setiap lelaki akan tinggalkan anda, hidup atau mati, bila tiba masanya. Kebenaran kedua ialah anda ialah anda perlu jadi seseorang, capai sesuatu untuk diri anda supaya anda boleh jaga diri sendiri. Saya harap remaja perempuan Malaysia apabila membaca ‘Twilight’ boleh dapat mesej ini. Apa yang anda tonton itu pembohongan yang tidak mungkin tercapai dalam hidup anda dan jangan sekali-kali menganggap perhubungan di mana anda menyerahkan segala-galanya sehingga badan dipenuhi lebam dan hampir ‘dibaham’ itu adalah ‘pengorbanan’.

Nasib baik saya tidak tinggal di AS atau UK. Jika tidak, apabila saya mahu cuba-cuba menulis untuk remaja saya akan diminta menulis quadrologi (wajib) dengan watak paranormal (wajib) yang meletakkan si gadis dalam tangan jejaka yang tidak boleh dikalahkan (wajib). Jika saya tidak ikut peraturan/ format tadi ,jangan haraplah saya boleh menulis untuk remaja.

6 comments:

  1. saya sangat besetuju dengan puan. cerita seperti ini hanya akan membawa remaja berada di awangan dan berangan kepada sesuatu yang tidak mungkin dicapai. dalam pada masa yang sama tidak melakukan apa pun untuk menjadi lebih baik dan mencapai sesuatu dalam hidup.

    semoga puan sentiasa mendapat ilham yang baik untuk menulis karya yang mengajak remaja untuk melakukan sesuatu untuk kebaikan sendiri dan masyarakat. seperti watak Nurul Hafsa dan Taufik dalam Bimasakti Menari

    ReplyDelete
  2. Salam.

    Saya tek pernah follow cerita Twillight. Tetapi saya peminat setia Harry Potter. Mungkin genre nya sama, fantasi. Membawa pembaca berada di awangan, lebih-lebih lagi setelah menonton filem dan dilakonkan oleh pelakon yang kacak dan jelita.

    Kalau kita nak perlekehkan cerita adaptasi novel, cerita mat saleh lebih mengarut, bukan? Sebab Malaysia belum pernah buat cerita macam tu.

    ReplyDelete
  3. Penulis mesti memberikan contoh yang baik kepada pembaca remaja. Tidak salah menyatakan kekurangan dan kejahatan pada watak tetapi merumuskan resolusi yang bijak di akhir cerita.

    Remaja mesti dididik dengan semangat dan idealistik agar tidak lemah dalam berjuang, asalkan tidak lari daripada landasan agama dan budaya.

    Seperti contoh semangat perempuan pendekar dalam 'Bukan Legasi Lalang'; novel pertama yang berjaya membuatkan saya baca sampai khatam, tanpa berhenti walau sekejap kecuali ke tandas! Oh kalaulah warden asrama tahu...=)

    ReplyDelete
  4. En. Ilham,
    Alhamdulillah, penerbitan di Malaysia tidaklah seteruk Twilight. Masih boleh disadurkan lagi dengan rupa yang baik walaupun ada kelemahan.

    Siti Salha Rosman,
    Tak follow pun tak rugi. Membuang masa dan wang sebenarnya. Tahniah.

    Hafizi Tajudin,
    Nasib baik BLL pendek. Kalau tak jadi masalah juga tu. Terima kasih kerana menyukainya. Perasaan dalam BLL saya tak dapat nak ulang.

    ReplyDelete
  5. Hehehe! Sangat sukakan entri ini. Puan dapat menzahirkan apa yang saya juga rasa tentang Twilight dengan lebih jitu dan kemas.

    ReplyDelete
  6. Suka entri ni. Hakikatnya semakin banyak pun novel2 cinta tempatan yg terus menerus membohongi pembaca krn pembaca sendiri merelakannya.

    ReplyDelete