Ramadan al-Mubarak datang dengan cabaran yang berbeza buat penulis. Masa dalam Ramadan berlalu terlalu cepat. Dari waktu bangun sahur sehingga berbuka puasa sehingga solat terawih dan waktu masuk tidur (lebih awal, supaya boleh bangkit untuk sahur). Ramadan juga menyaksikan jalan raya lebih cepat menjadi sesak. Gerai-gerai di dirikan di tepi jalan, di simpang-simpang, berhampiran lampu isyarat semenjak jam 3.00 petang lagi tanpa memikirkan soal keselamatan dan seterusnya membuatkan jalan raya sesak dan menjadikan kita sentiasa terlambat. Anak-anak pula mesti dijemput lebih awal, dan kita sendiri mesti ‘beat the jam’, maka bergerak lebih awal.
Boleh dikatakan, secara peribadi, saya jarang-jarang dapat menulis ketika menjalani Ramadan. Jika sepanjang tahun, saya boleh tipu-tipu malas memasak, bukan sekarang. Memasak mesti serba-serbi – nasi, kuah daging, sayur, bubur, bancuh air. Jika asyik membeli di bazaar Ramadan, akan terseksa di waktu sahur baru sibuk-sibuk hendak menumbuk sambal.
Jadi saya berkata dalam hati. Tidak mengapalah, jika tidak dapat membuat pahala menulis di dalam bulan Ramadan, banyak lagi peluang untuk mendapat pahala. Tetapi hati terubat bila terkenangkan cerita Pn. Norshida, pustakawan National Library Board of Singapore yang bercerita tentang kata-kata penulis Habiburrahman el-Shirazy yang bunyinya lebih kurang begini, “Saya menulis kerana di dalam tidur juga saya masih beramal ibadah.” Maka saya ambil maksudnya, jika saya merancang-rancang dalam tidur akan karya yang seterusnya, maka insyaAllah saya masih boleh mendapat ganjaran pahala menulis.
Dan selepas Ramadan, penulis-penulis bolehlah memasang sasaran baharu. Terutamanya apabila seorang editor terkenal sudahpun menyiarkan dalam facebook (saya bukan ‘user’ tetapi ‘stalker’) yang segala rahsia akan terungkai selepas Aidilfitri. Sebagai peminat saya akan beri perhatian kepada 2 sayembara – HSKU 2011 dan juga Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Utusan oleh kerana ingin membaca laporannya. Sayembara-sayembara ini, jika kita tidak menyertai atau memenangi, baca laporan pun sudah cukup puas.
Sementara itu, saya akan menikmati Ramadan yang singkat ini untuk lebih banyak berfikir-fikir.
Selamat menjalani ibadah puasa & semoga terus boleh berfikir-fikir untuk menulis.
Sunday, July 29, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
assalamu'alaikum
ReplyDeleteadinda Cikgu Rahayu
apa kabar?
semoga setiap apa yang kita lakukan dijuruskan ke jalan-Nya. dipelihara dan diterima.
Ramadhan Kareem!
Salam Kanda Mawar,
ReplyDeleteSemoga kanda didatangi ilham besar Ramadan ini.