Thursday, March 19, 2015

TRANSGENIK SIFAR: RANJAU PENULISAN




(Foto oleh: Azri Marzuki)

Maaf jika tulisan ini adalah sebuah ranting semata-mata. 

Saya telah menulis sepuluh buah novel tetapi pengalaman menulis Transgenik Sifar adalah yang paling sukar. Saya pernah menulis beberapa buah novel sambil membesarkan seorang bayi, tetapi ketika itu saya mendapat sokongan pelbagai pihak. Rumahtangga ibu mertua menyediakan pelbagai perkhidmatan penjagaan anak dan penjagaan menantu yang amat baik. Tetapi lain pula nasib Transgenik Sifar. Saya mula menulis secara berdikari mulai tahun 2011 kerana anak-anak sudah besar. Saya boleh keluar rumah dan berjogging tanpa perlu risau bayi saya mahukan susu atau sebagainya. Dan mereka berdua sudah cukup berdikari untuk membuat aktiviti sendiri. Nasib baiklah anak saya rapat lahirnya dan sama jantina, kalau tidak mungkin keadaan tidak seimbang. Saya hanya memerlukan dua bulan untuk menyiapkan sebuah novel di hujung tahun dan biasanya sasaran untuk menyiapkan manuskrip yang telah dirancang permulaan, pertengahan dan penhujungnya Alhamdulillah tercapai.

Transgenik Sifar disiapkan pada musim persekolahan kerana tarikh tamat pertandingan yang berada di pertengahan tahun. Saya hampir-hampir putus asa untuk menyiapkannya. Saya ingat pada bulan April yang saya hanya mahu membiarkan sahaja peluang ini berlalu. Kerjaya saya telah meminta segala-galanya dari saya. Pada bulan Mei saya seolah-olah diugut oleh perasaan yang lain. Adakah saya boleh terus waras setelah saya lepaskan peluang ini tanpa mencuba? Bolehkah? Akhirnya saya sedar yang kerja menyiapkan novel itu adalah konflik antara hidup dan mati. Jika saya tidak menyiapkan manuskrip ini, sebahagian diri saya akan mati. Bahagian diri saya yang penuh dengan sifat ingin tahu, sifat berani, sifat sukakan cabaran akan mati. Yang tinggal hanyalah bahagian diri saya yang hidup dalam rutin, bertemu dengan orang-orang yang sama, berfikir tentang apa yang orang lain fikir. Saya boleh teruskan hidup sebegitu, tetapi ia hanya satu kehidupan otomatis. Kurang makna.

Maka saya tanam azam untuk siapkan yang ini. Apabila kita menanam azam, Tuhan akan mengaturkan alam semesta ini untuk menolong kita mencapai azam tersebut. Saya berjalan-jalan di KLCC hanya untuk baca blurb novel-novel remaja paranormal dan menikmati kulit buku yang cantik tetapi saya diketemukan dengan buku bertajuk ‘The 90-day novel’ karya Alan Watt. Harganya hampir mencecah RM100 dengan ketebalan ibu jari saya, tetapi saya beli juga. Dan kita tahu bagaimana buku-buku di Kinokuniya dibalut dengan plastik. Malas hendak meminta bantuan staf saya kata ‘gamble’ ajelah dan membeli buku itu.

Alhamdulillah buku itu tidak mengecewakan. Saya hanya perlu melaksanakan satu latihan satu hari (Macam budak sekolah) dan saya dijamin akan ada novel selepas 90 hari. Padahal, masa itu saya ada lebih kurang 50 hari sahaja. Apa lagi, saya pun ‘speed’ buat latihan dalam buku itu. Satu hari saya buat 3 hingga 4 latihan sehingga saya siap dan akhirnya dalam masa 15 hari saya ada plot yang lengkap. Buku ini adalah panduan penulisan yang berlandaskan kesedihan dan kemarahan dan ketidakcukupan semata-mata. Alhamdulillah, ketiga-tiga unsur saya ada banyak, saya simpan dalam kotak-kotak macam Pandora. Bayangkan, pada hari ke 56 saya mesti jawab soalan-soalan ini:

1. Apalah dosa hero anda?
2. Apakah kegembiraan dan belas kasihan antagonis anda?
3. Apakah penyesalan hero anda?
4. Apakah kelemahan hero anda?
5. Bilakah masa hero anda jadi orang yang kejam, tidak terurus, berfikiran sempit, mementingkan diri sendiri, lemah semangat, remeh, memanipulasi dan jahil?

Di akhir buku ini, saya jadi keretapi yang tergelincir. Jika tidak kerana saya ada agama dan Tuhan, saya rasa saya sudah letak kepala saya dalam ketuhar.

OK. Memang saya penuh dengan ‘angst’. Tetapi saya juga ada strategi. Saya mahu bina dunia yang sukar tetapi logik dari segi saintifik. Jadi saya berazam hendak menulis berlatar belakangkan dunia di bawah permukaan laut. Saya tidak suka latarbelakang ini kerana ia sangat terkekang.  Tiada deru angin meniup rambut/ tudung  heroin. Tiada sinar mentari membakar kulit hero yang sedang berlari. Segala-galanya akan terkepung kanan-kiri atas bawah. Siapa yang mahu kira psi? Siapa? Siapa? Tapi strategi tetap perlu dilaksanakan. Lagipun salah satu siri TV kegemaran saya sepanjang zaman ialah Seaquest DSV.

Seterusnya saya kumpul playlist untuk novel saya. Saya dapati saya masa itu ada ‘crush’ dengan Imagine Dragons. Saya dapati kebanyakan lagu dalam album Night Visions membawa perasaan cerita ini. Lagu Demons dan Monsters meluahkan perasaan seseorang yang membenci dirinya sendiri. Lagu Drive menceritakan bagaimana melihat orang bermain layang-layang adalah memori hero tentang satu tempat di mana semuanya suci dan indah. Lagu Lost Cause menceritakan tentang hero yang merasakan dirinya tidak boleh diselamatkan lagi. Lagu 30 Lives adalah tentang hero yang diberi banyak peluang tetapi dia tetap mensia-siakan peluangnya. Lagu Bleeding Out adalah lagu klimaks yang penuh suspen.
Saya memulakan penulisan apabila dipanggil berkursus untuk menjadi pentaksiran peperiksaan selama 4 hari di Melaka. Saya makan seorang diri kerana mahu masuk bilik hotel cepat. Saya tidak berbual dengan sesiapa kerana mahu menyiapkan kerja saya. Nasib baik teman sebilik adalah kakak-kakak yang memahami penjelasan mudah saya, “ Saya sedang kejar deadline”. Dan ada di antara mereka yang pernah tulis buku latihan bahasa Inggeris, jadi mereka faham sangat.

Apabila cuti pertengahan tahun bermula , saya menulis dengan bersungguh-sungguh. Tapi keadaan menjadi sukar apabila apartmen kami sekeluarga ini terpaksa direnovasi kerana lantai, pintu, jenang pintu dimakan anai-anai. Buku-buku rujukan saya berselerak entah ke mana. Banyak barang-barang saya tidak boleh ditemui ketika itu. Renovasi apartmen saya teruk kerana ruang sempit, ke mana hendak dialihkan barang-barang. Hanya komputer saya yang saya tidak hilang.

Di tengah kesibukan itu, saya telah melupakan keperluan anak-anak dan suami saya. Mereka hendak balik kampung. Kedua-dua ibu saya adalah ibu tunggal jadi sebagai anak sulung dan suami saya yang juga anak lelaki sulung, kami punya tanggungjawab besar. Saya tidak mahu balik kampung. kerana keadaan genting sungguh ketika itu antara hero dan antagonis. Saya tidak boleh tinggalkan dia berseorangan untuk menghadapi pertempuran terakhir. Jika saya tidak teruskan saya mungkin hilang momentum. Jadi saya nekad tidak ikut pulang ke kampung.

Hilang saja anak-anak dan suami dari pandangan, saya menyesal. Kerana rumah direnovasi semua bilik tiada pintu kecuali bilik air. Siang hari 2 orang tukang bekerja di rumah saya. Saya bertudung lengkap setiap masa, dengan telefon di sisi dan tingkap dibuka luas. Bila pakcik tukang keluar makan, saya tidur sekejap. Bila saya dengar pintu depan berbunyi saya bangun dan sambung menulis. Pakcik tukang berkerja dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. BIla malam tiba, satu masalah lagi timbul. Bilik tidur tidak berpintu! Cuba tidur seorang diri dalam rumah yang tiada pintu bilik. Segala bunyi menakutkan didengar. Segala bayang saya nampak. Lebih teruk, pintu depan masuk ke apartmen pun adalah makeshift dari plywood sebab pintu yang diorder belum sampai. Seriau betul! Saya makan di kedai seorang diri, balik seorang diri. Saya tidak berjogging, saya hidup macam zombie untuk menulis apabila saya tiada anak-anak. Sunyi dan sedih tidak dapat dibayangkan. Tapi saya tak sanggup nak halang mereka dari menikmati kehidupan mereka hanya kerana saya perlu siapkan satu cerita!


Selepas 3 hari, yang seperti sebulan mereka balik. Saya lega. Beberapa hari kemudian, tarikh tamat pun sampai. Saya cetak dan saya hantarkan. Penyeksaan saya telah tamat. Tetapi saya takkan lupa pengalaman yang ini. Mungkin saya tidak menulis novel dalam parit-parit peperangan Perang Dunia Kedua atau di atas belakang seorang kekasih atau di emper sebuah chateu di pedalaman Perancis atau dari bangku di sebuah taman di kotaraya sebuah negara asing, tapi ini pun sudah dikira OK!

TRANSGENIK SIFAR: SAYEMBARA FIKSYEN SAINS & TEKNOLOGI UTM-KUMPULAN UTUSAN MUSIM KETIGA



Alhamdulillah syukur nikmat! Manuskrip yang saya tukangi tahun lepas berjaya memenangi tempat pertama dalam Sayembara Fiksyen Sains & Teknologi UTM-Kumpulan Utusan. Majlis penyampaian hadiah dan pelancaran karya diadakan di Dewan Besar, Utusan Melayu (M) Berhad, Jalan Chan Sow Lin pada 19 Mac 2015.

Menerima hadiah dari YB Datuk Mary Yap Kain Ching (Timbalan Menteri Pendidikan 1)

TAJUK: TRANSGENIK SIFAR
TEMPOH PENULISAN: Mei – Jun 2014
ANCESTOR TEXTS: Mary Shelley’s Frankenstein, Seaquest DSV (siri TV)
LAGU TEMA: Imagine Dragons’ Demons, Drive, Bleeding Out, Monster; Blue October’s Hate Me

TEMPAT LAHIR: Apartmen keluarga

Pemenang-pemenang musim ini:
Tempat kedua: LEKSIKON LEDANG oleh Nor Azida Ishak & Fadli Al-Akiti
Tempat ketiga: KLON oleh Idris Boi
Hadiah Sagu Hati: AJAL oleh Ruhaini Matdarin
                             KRONIKEL ETANOL oleh Hafizul Othman
                              PERANG MIKROB oleh Wan Salmah Wan Hassan
                               PURANAKILA oleh Sa'adiah Hj. Ibrahim

Pertama kali dalam sejarah bawa pelajar ke majlis. Juara bertahan 4 tahun berturut-turut Semarak Teater Sekolah Menengah Daerah Hulu Langat: Katarsis Jaya.
Keluarga saya - ibu mertua, suami, adik ipar & anak-anak.

Bersama pemenang-pemenang musim ini