Friday, May 7, 2010

Cabaran Menulis Novel Seni Bela Diri (Bahagian 2)

Saya rasa sudah tiba masanya saya tidak lagi bergantung kepada filem Merantau (2009) untuk membentuk pemikiran tentang topik ini. Saya akan mengupas cabaran-cabaran sebagai seorang PENULIS dan bukannya seorang pembikin filem untuk menghasilkan sebuah novel seni bela diri.

1) Cabaran memahami sejarah dan falsafah seni bela diri itu sendiri.

Terutamanya bagi seorang wanita, isteri, ibu dan guru bahasa yang sangat tidak berminat dengan aktiviti fizikal yang berdisiplin, seni bela diri itu asing. Mudahnya saya boleh mendapatkan buku-buku tentang seni bela diri dan membuat kajian dari teks-teks seni bela diri. Tetapi berapa banyakkah buku seperti ini yang dijual di pasaran? Sedangkan seni bela diri itu pada asasnya adalah seni turun-temurun yang dipindahkan dari satu generasi ke satu generasi dengan cara perwarisan mulut ke mulut dan juga perwarisan dari segi praktikal. Jika ada buku yang menggambarkan langkah-langkah seni bela diri, selebihnya seorang penulis perlu mengetahui asal-usul, tradisi, falsafah dan world view seni bela diri itu. Di manakan seseorang penulis boleh mendapatkan sumber dengan mudah? Atau sebenarnya tiada jalan mudah melainkan dari seorang penulis untuk mendaftar sebagai penuntut seni bela diri.

2) Cabaran mencipta satu watak wira yang hebat tetapi realistik.

Akhirnya akan tiba suatu masa wira seni bela diri bukan lagi Hang Tuah dan Hang Jebat atau Tun Fatimah. Wira seni bela diri akhirnya seorang manusia yang amat biasa, sama ada lelaki atau wanita. Dan apakah latarbelakangnya? Apakah motivasi perjuangannya? Apakah peranannya di dalam cerita ini? Adakah dia sentiasa perlu berada di dalam latar belakang silam di mana yang ditentang adalah penjajah dan lanun dan pensabotaj-pensabotaj politik? Adakah semestinya dia mesti berada dalam latarbelakang kontemporari menentang samseng, pendagang-pendagang manusia, pengedar-pengedar dadah? Atau berlatar belakangkan alam fantasi di mana semua orang boleh melambung terbang sambil menghunus senjata? Pilihan terakhir akan menjadikan seni bela diri itu bukan lagi asli kerana penulis boleh mengkhayalkan apa saja di dalam dunia fantasinya.

No comments:

Post a Comment