Tuesday, January 11, 2011

AIR MATA SASTERAWAN

Saya tiada pengetahuan yang cukup dan tiada kuasa untuk bercakap tentang dunia sastera Melayu, tetapi apabila saya melihat foto wajah sayu SN Abdullah Hussein di muka depan akhbar, saya rasa jadi bagai hendak gila.


Saya pernah ke rumah SN Datuk Abdullah Hussein pada tahun 2009. Dan sudah tentu, saya tidak berkata apa-apa kerana saya terlalu kerdil untuk berkata apa-apa. Tapi saya tahu yang Datuk perlu tidur kerap kerana beliau mudah letih. Beliau juga makan amat sedikit. Beliau menjawab soalan dari tetamu dengan menulis pada kertas.

Saya marah kepada wartawan yang mengganggu ketenteraman fikiran beliau. Saya kecewa kenapa beliau perlu diseret ke dalam kemelut ini. Saya berkeras bahawa seorang sasterawan tidak perlu meminta maaf atau kesal atas apa yang ditulisnya, melainkan dia sukarela hendak melakukan demikian. Jika seorang penulis perlu meminta maaf kerana setiap patah perkataan yang ditulis, baiklah jadi cikgu sekolah. Minta maaf cikgu lambat, tadi cikgu hantar pelajar ke hospital (Naik ambulan tu!). Minta maaf cikgu terlupa menanda buku latihan kamu, mungkin cikgu terlepas pandang. Minta maaf kerana terlupa hendak membawa kertas lebih untuk kamu, cikgu lupa yang kamu tidak hadir semalam. Ada perkerjaan kita perlu minta maaf setiap hari, ada pekerjaan yang saya pilih kerana saya tidak mahu minta maaf. Dan jadi penulis adalah salah satu dari pekerjaan ini.

Saya sudah baca novel Interlok. Saya tidak mahu SN Abdullah Hussein menjawab apa-apa soalan. Panel yang memilih novel ini pasti mempunyai laporan bagi pemilihan tersebut. Jika perlu, panellah yang sepatutnya membentangkan laporan dan bukannya beliau. Kerana hanya ahli panel yang tahu rasional pemilihan sesebuah novel untuk teks KOMSAS. Nyatakan kriteria-kriteria yang telah dipenuhi, dan kriteria ini berdasarkan dasar kerajaan yang mana satu?

Semuanya mudah. Tapi janganlah diganggu SN Abdullah Hussein. Beliau tidak perlu kesal atas karya beliau sendiri.

7 comments:

  1. Sdr Srirahayu: Saya sangat menyenangi buah fikiran Sdr ini. Jernih dan menyenangkan.

    MARSLI N.O

    ReplyDelete
  2. saya berasa simpati dengan kejadian yang menimpa SN Abdullah Hussain... saya sebagai seorang pelajar Pengajian Melayu dan minat kepada dunia kesusasteraan Melayu, terasa seperti dipermain-mainkan kerana karya yang sedemikian dijadikan sebagai bahan tohamahan...

    Menjadi persoalan, kenapa tidak sahaja 40 tahun lalu dibangkitkan, dan kenapa perlu dibangkitkan selepas 40 tahun dinobatkan sebagai pemenang saguhati pada pertandingan itu? Kenapa perlu dipolitikkan?

    ReplyDelete
  3. Betullah, kenapalah pergi ganggu dan kacau SN tu. Keluarga SN sendiri pun patut halang wartawan daripada berjumpa beliau. Jangan duk ikut sahaja.

    ReplyDelete
  4. Kak Ayu,

    saya setuju! Menjelaskan kepada pihak yang telah keras hati membina tembok 'kebodohan' sendiri seumpama mencurah air ke daun keladi sahaja.

    Perasaan saya sebetulnya berbaur, saya lebih rasa numb dari marah. Agaknya ada kesedihan yang di bawah sedar, yang belum mahu keluar.

    ReplyDelete
  5. Tuan Marsli NO, M Fakhai MD, mxyplk, Rebecca Ilham,

    Tarikan kuat ke arah novel Interlok yang dijana dengan kemelut ini pun tidak berbaloi untuk menjadi sebab untuk wartawan mengganggu hidup SN Abdullah Hussein yang lazimnya tenang.

    ReplyDelete
  6. Ya, setuju juga. Beliau tidak bersalah. Kita yang harus meminta maaf kepadanya kerana teralu bebal untuk belajar dan telalu pandai untuk mendengar.

    Kalau pun beliau dikatakan memetik sumber yang salah, maafkanlah beliau. Janganlah bukunya dibakar, karyanya di hina, pandangannya di caci. Bukankah ada jalan yang baik untuk membetulkan?

    ReplyDelete
  7. Cikgu Sri,
    Saya bersetuju dengan pendapat ini. Bagi saya, hanya kerana seekor nyamuk berdesing di telinga, kita yang kelam-kabut membeli segala racun nyamuk yang ada di pasaran....

    ReplyDelete