Sunday, October 23, 2011

HSKU Bukan Acara Untuk Elitis

Pertama sekali, terima kasih kepada Encik Fadli al-Akiti kerana telah mengirimkan saya majalah S.O.S. Lain kali jika berkirim lagi, saya akan membelinya dan tidak mahu diberi percuma. Isi majalah ini agak tinggi bagi saya. Ia dialog sastera berbentuk offensive (menyerang bukan menjijikkan), tidak skema, tidak poyo dan saya rasa tua dan ketinggalan zaman apabila membacanya. Ini majalah sastera versi generasi pemikiran baru (tidak semestinya generasi baru. Puisi penulis berpengalaman lagi sudah diuji AGI dan Marsli N.O ada di dalamnya). Saya rasa ketinggalan kerana otak saya tidak diasah untuk berdialog dan berdebat. Saya amat menyukainya. Tahniah.


Senarai pendek tajuk-tajuk cerpen remaja yang terpilih untuk HSKU 2011 keluar di Minggu Malaysia pagi tadi. Tahniah.

Jika dihakimi melalui lokasi penganjurannya, aturcaranya, VIPnya, hiburan selingannya dan isi ucapan-ucapannya, mudah saja khalayak menganggap Hadiah Sastera Kumpulan Utusan acara yang elitis – untuk orang-orang yang sudah berada di dalam satu kumpulan yang berjaya dan kekal berjaya.

Tidak benar sama sekali. Sesiapa saja boleh menembusi HSKU. Anda tidak perlu mempunyai pedigree atau degree kesusasteraan Melayu. Anda tidak dihakimi mengikut usia kepengarangan anda. Anda tidak dihakimi berdasarkan sumbangan idea anda di blog, di majalah/ makalah sastera/ dunia akademia. Tahun 2001, saya anak petani/ pengawal keselamatan/ bekas pekerja kilang, yang pergi bekerja naik basikal! Adakah patut, budak ke sekolah naik basikal, cikgu dia pun naik basikal? Dia ingat ini negara Jepun ke? Anda boleh jadi sesiapa saja, selagi anda menulis dan menghantar karya ke mana-mana penerbitan Utusan anda ada peluang menembusi HSKU.

Satu-satunya perkara yang elitis tentang HSKU ialah yang jelas – hanya karya yang tersiar di penerbitan syarikat penerbitan ini saja yang dikira dalam penilaian. Penulis yang menulis di penerbitan-penerbitan lain, janganlah menyangka rezeki sudah tertutup. Tidak sama sekali. Untuk pengiktirafan seantero Malaya kita ada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (tapi itu cerita lain) dan anugerah negeri masing-masing (kecuali Selangor! Ha ha ha).

Adakah HSKU penting untuk jiwa anda sebagai penulis? Bergantung. Anda tetap manusia/ penulis yang baik tanpa HSKU. Entah-entah dengan HSKU anda mungkin menjadi penulis yang semakin teruk. Jika tidak dalam kualiti penulisan, mungkin dari segi perasaan. Adakah anda mengamalkan cara perhubungan baik dengan penulis, editor, dll? Adakah anda menjadi obses dengan hadiah/ anugerah? Adakah anda berbaik sangka dengan rakan-rakan penulis? Is it a gift? Or is it a curse?

Dan jika orang-orang tertentu saban tahun memenangi sesuatu anugerah adakah itu alasan untuk anda tidak terus memberi cabaran kepada orang itu? Tidak. Satu yang pasti, sebagaimana hebat pun penulis itu (itupun jika benar dia hebat, bukan kerana pencabarnya yang tak terkalahkan tidak bertanding tahun itu), lambat laun dia akan berhenti menulis juga. Seperti lirik lagu November Rain, nothing last forever and you know that hearts can change (saya membesar tahun 80-an). Pekerjaan, hidup berkeluarga, kualiti pemikiran yang semakin merosot, jari-jemari yang diserang arthritis, usia yang semakin meningkat, tidak lagi membaca, tidak lagi rasa bodoh dan merasa sudah kenyang, kematian (akhir sekali) akan menyebabkan penulis itu meninggalkan krafnya. Di masa itu, generasi pemikiran baru akan tiba dan meruntuhkan generasi pemikiran lama. Biar cerita anda yang bercakap untuk diri anda. Bukan basikal anda.

Saturday, October 15, 2011

AMARAN KEPADA PENULIS!

Kita sekarang berada di pertengahan bulan Oktober. Begitu pantas masa berlalu. Dengan itu semakin singkat masa yang tinggal untuk penulis-penulis menyiapkan karya untuk sayembara yang kebanyakannya mempunyai tarikh akhir pada November & Disember tahun ini.


Sedang semua sibuk menulis, saya ingin kongsikan satu peringatan penting:

Jangan siarkan apa-apa saja tentang karya anda di Internet sama ada di blog, livejournal, fanfiction, fictionpress, facebook, etc. Jangan siarkan idea anda, jangan siarkan working title, jangan siarkan sinopsis, sneak-preview, sebahagian atau sepenuhnya. Ini adalah kerana ahli panel sayembara sentiasa menyaring maklumat di Internet untuk sebarang karya yang dihantar untuk sayembara supaya tidak tersiar di mana-mana, waima di Internet sekalipun(terutamanya di Internet). Jika dikesan ini terjadi, karya anda akan tersingkir secara automatik walaupun perkara ini tidak dinyatakan dengan jelas lagi terperinci dalam syarat-syarat pertandingan. Lebih terkilan lagi jika karya anda dikesan terbit di Internet sedangkan karya kawan anda yang berbuat demikian tidak pula dikesan. Ini semua adalah perkara nasib dan kebarangkalian.

Ah, sebenarnya menulis itu sepi. Lebih baik lagi jika anda tidak beritahu sesiapa tentang aktiviti subversif anda. Jangan beritahu ibu anda kerana beliau adalah sasterawan yang punyai ramai kawan. Jangan beritahu suami anda kerana dia seorang pemandu forklift di gudang buku satu syarikat penerbitan. Jangan beritahu anak anda sebab dia blogger tegar dan dia pandang tinggi pada anda.

Ada hikmah jika tidak berkongsi maklumat sebegini. Jika gagal memenangi sebarang tempat dalam sayembara itu nanti, tiada siapa yang akan mengejek. Ha, itulah awak. Tak nak buatkan saya cekodok ikan bilis hari tu. Tak berkat.

Hahaha. Tak kelakar langsung.