Sunday, October 23, 2011

HSKU Bukan Acara Untuk Elitis

Pertama sekali, terima kasih kepada Encik Fadli al-Akiti kerana telah mengirimkan saya majalah S.O.S. Lain kali jika berkirim lagi, saya akan membelinya dan tidak mahu diberi percuma. Isi majalah ini agak tinggi bagi saya. Ia dialog sastera berbentuk offensive (menyerang bukan menjijikkan), tidak skema, tidak poyo dan saya rasa tua dan ketinggalan zaman apabila membacanya. Ini majalah sastera versi generasi pemikiran baru (tidak semestinya generasi baru. Puisi penulis berpengalaman lagi sudah diuji AGI dan Marsli N.O ada di dalamnya). Saya rasa ketinggalan kerana otak saya tidak diasah untuk berdialog dan berdebat. Saya amat menyukainya. Tahniah.


Senarai pendek tajuk-tajuk cerpen remaja yang terpilih untuk HSKU 2011 keluar di Minggu Malaysia pagi tadi. Tahniah.

Jika dihakimi melalui lokasi penganjurannya, aturcaranya, VIPnya, hiburan selingannya dan isi ucapan-ucapannya, mudah saja khalayak menganggap Hadiah Sastera Kumpulan Utusan acara yang elitis – untuk orang-orang yang sudah berada di dalam satu kumpulan yang berjaya dan kekal berjaya.

Tidak benar sama sekali. Sesiapa saja boleh menembusi HSKU. Anda tidak perlu mempunyai pedigree atau degree kesusasteraan Melayu. Anda tidak dihakimi mengikut usia kepengarangan anda. Anda tidak dihakimi berdasarkan sumbangan idea anda di blog, di majalah/ makalah sastera/ dunia akademia. Tahun 2001, saya anak petani/ pengawal keselamatan/ bekas pekerja kilang, yang pergi bekerja naik basikal! Adakah patut, budak ke sekolah naik basikal, cikgu dia pun naik basikal? Dia ingat ini negara Jepun ke? Anda boleh jadi sesiapa saja, selagi anda menulis dan menghantar karya ke mana-mana penerbitan Utusan anda ada peluang menembusi HSKU.

Satu-satunya perkara yang elitis tentang HSKU ialah yang jelas – hanya karya yang tersiar di penerbitan syarikat penerbitan ini saja yang dikira dalam penilaian. Penulis yang menulis di penerbitan-penerbitan lain, janganlah menyangka rezeki sudah tertutup. Tidak sama sekali. Untuk pengiktirafan seantero Malaya kita ada Hadiah Sastera Perdana Malaysia (tapi itu cerita lain) dan anugerah negeri masing-masing (kecuali Selangor! Ha ha ha).

Adakah HSKU penting untuk jiwa anda sebagai penulis? Bergantung. Anda tetap manusia/ penulis yang baik tanpa HSKU. Entah-entah dengan HSKU anda mungkin menjadi penulis yang semakin teruk. Jika tidak dalam kualiti penulisan, mungkin dari segi perasaan. Adakah anda mengamalkan cara perhubungan baik dengan penulis, editor, dll? Adakah anda menjadi obses dengan hadiah/ anugerah? Adakah anda berbaik sangka dengan rakan-rakan penulis? Is it a gift? Or is it a curse?

Dan jika orang-orang tertentu saban tahun memenangi sesuatu anugerah adakah itu alasan untuk anda tidak terus memberi cabaran kepada orang itu? Tidak. Satu yang pasti, sebagaimana hebat pun penulis itu (itupun jika benar dia hebat, bukan kerana pencabarnya yang tak terkalahkan tidak bertanding tahun itu), lambat laun dia akan berhenti menulis juga. Seperti lirik lagu November Rain, nothing last forever and you know that hearts can change (saya membesar tahun 80-an). Pekerjaan, hidup berkeluarga, kualiti pemikiran yang semakin merosot, jari-jemari yang diserang arthritis, usia yang semakin meningkat, tidak lagi membaca, tidak lagi rasa bodoh dan merasa sudah kenyang, kematian (akhir sekali) akan menyebabkan penulis itu meninggalkan krafnya. Di masa itu, generasi pemikiran baru akan tiba dan meruntuhkan generasi pemikiran lama. Biar cerita anda yang bercakap untuk diri anda. Bukan basikal anda.

7 comments:

  1. As-salam Pn Rahayu. Tahniah diucapkan atas kemenangan novel Bimasakti Menari untuk HSKU 2010. Teruskan menulis.

    ReplyDelete
  2. Salam Cikgu Sri,
    Tahniah atas kemenangan "Bimasakti Menari". Ternyata Cikgu Sri berada dalam kelas yang tersendiri.

    ReplyDelete
  3. Tahniah juga dari saya. Cikgu benar-benar penulis novel yang prolifik. Ghazali Lateh

    ReplyDelete
  4. Pak Ghazali, Cikgu Nizar & anonymous,

    Terima kasih banyak!

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah. Kita banyak berkongsi tentang HSKU, Puan Sri :-)
    Tahniah.

    ReplyDelete
  6. Tahniah, Kak Ayu!

    Jumpa malam esok inshaallah :)

    ReplyDelete
  7. Ah Kak Ayu, saya mempelawa utk masuk Dewan Sastera :)

    ReplyDelete