Friday, November 2, 2012

MENULIS ITU SATU PERJUDIAN

November bermula dengan berita menggemparkan. Saya tidak akan kenangkan lagi berita itu, tetapi ia membuatkan saya berdendam lagi dan saya perlu menulis. Dan setiap kali menulis, saya dihantui perasaan yang saya tidak akan dapat menyiapkan projek yang saya mulakan. Semasa saya kanak-kanak, saya tidak pernah menyiapkan apa yang saya buat, dan saya merasa amat tidak berguna. Perasaan teruk itu terbawa-bawa sehingga sekarang. Tetapi saya mesti percaya yang saya boleh menghabiskan sesuatu projek walau bagaimana sukar pun ia kerana ini sahaja perkara yang saya boleh lakukan dengan teratur.


Memulakan sesuatu projek penulisan adalah seperti satu perjudian. Jika saya berjaya menyiapkan sesuatu manuskrip, tidak bermakna yang manuskrip itu akan berjaya mendapat tempat di hati penerbit, apatah lagi dijamin akan mendapat tempat dalam senarai pemenang sayembara X. Tetapi begitu juga dengan apa juga yang saya lakukan dalam hidup ini. Hanya kerana saya berkahwin tidak bermakna yang saya dijamin mendapat zuriat 2 lelaki 2 perempuan dan hidup bahagia sehingga umur 90 tahun dengan pasangan. Tetapi jika betul pun impian untuk bahagia tidak tercapai dan segala-galanya hancur, adakah ia satu pembaziran masa, tenaga dan emosi? Maka hanya kerana saya ingin melindungi diri saya dari disakitikan maka saya tidak mahu berbuat apa-apa dalam hidup ini? Saya tidak mahu menulis kerana takut karya gagal diterbitkan. Saya tidak mahu keluar bekerja kerana takutkan konfrontasi. Saya tidak mahu berkomunikasi dengan orang lain kerana takut dikecewakan. Saya tidak mahu lakukan apapun kerana tidak mahu gagal. Jika begitu caranya, apakah makna sebenar kehidupan ini?

Jadi menulislah jika anda ada impian sebegitu. Sekurang-kurangnya, suatu hari nanti, peluang akan datang untuk anda menerbitkan karya anda dan anda sudah ada manuskrip. Itu jauh lebih baik dari hanya berkhayal sahaja dan tidak melakukan apa-apa.

Selamat menulis!

Every endeavour in life is a gamble. We pray to Allah to decide what is best for us. Amin.

4 comments:

  1. Saya bersetuju, Puan Sri. Menulis perlukan keberanian. Seperti saya, penulis eceran, jika takut untuk menghantar karya ke media tidak kiralah media segah manapun, penungguan itu hanya sia-sia. Sebaliknya, jika berani untuk hantar, pasti berasa puas-jika tersiar, jika tidak boleh mencuba di media lain.

    ReplyDelete
  2. Tetamu Istimewa,

    Betul tu. Jika gagal, memang sentiasa boleh cuba lagi.

    ReplyDelete
  3. Salam ..kak Sri boleh saya bertanya..bagaimana nak hantar karya untuk HSKU? saya ingin mencubanya...=)

    ReplyDelete
  4. Salam, Puan Sri. Senyap je. Tengah menyiap dan memurnikan manuskrip novel ke?

    ReplyDelete