Thursday, December 11, 2014

HADIAH SASTERA PERDANA MALAYSIA (HSPM) 2013 & QALAM KALBU

Alhamdulillah syukur nikmat! Qalam Kalbu telah diumumkan sebagai pemenang HSPM 2013 untuk Kategori A (Buku). Dan majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh superboss saya YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Pendidikan pada 21 November 2014 di sebuah hotel di Bangsar, Kuala Lumpur. Terima kasih kepada Sayembara Penulisan Novel ITMB-PENA-BH kerana telah memberi peluang kepada manuskrip ini.

Mengimbas kembali pengalaman novel ini, pernah terlintas dalam fikiran saya yang mungkin Qalam Kalbu boleh dicalonkan dalam Kategori Buku Umum, yang hanyalah suatu wishful thinking. Saya gusar jika ada pembaca menganggapnya novel remaja kerana ramai watak novel ini remaja atau orang muda dan angst yang gunakan untuk menulis novel ini adalah angst remaja (itulah masalah saya - saya terperangkap di sekolah menengah. Life is high school. I'm stuck in high school. Tetapi OK agaknya keadaan ini, kerana sekolah menengah adalah sumber tenaga ilham yang tidak pernah lesu atau kering).Tetapi ada bahagian-bahagian sensitif dalam novel ini yang mungkin lebih sesuai untuk pembaca dewasa. Namun kategori umum atau remaja ini sebenarnya tidak penting, kerana ada buku kanak-kanak yang cukup kompleks untuk dibaca secara kritis oleh orang dewasa. Bagi saya, kategori UMUM/ REMAJA adalah kategori yang dicipta untuk memudahkan pekerja kedai buku. 

Novel ini terpilih atas beberapa faktor - tandingannya apa, bilangannya ada berapa, tahun terbitnya, kriteria pemilihannya, agenda yang perlu diwar-warkan, dan sebagainya, jadi saya tidaklah berasa obses gembira. Menang HSPM pun tiada gunanya kalau selepas ini saya tidak berkarya. Saya akan dilupakan juga sedangkan saya tiada traction yang kuat pada awalnya pun. Jadi, HSPM adalah penggalak untuk saya menulis. Tetapi saya risau kerana saya nampak HSKU, ruang utama bagi saya sudah lesu. (Saya masih mencari-cari novel HSKU 2013 tapi tak jumpa. Tiada di Goodreads, tiada di mana-mana. Tolong beritahu saya jika saya seorang yang tak jumpa koleksi HSKU 2013. Dah nak masuk tahun baru ni.) 

Apabila benda yang melancarkan karya saya pada mulanya kelihatan seperti nyawa-nyawa ikan, bayangkan kesannya pada saya. Adakah aktiviti karya saya juga akan nyawa-nyawa ikan? Saya juga gusar kerana sebagai seorang penulis sayembara, dan sayembara semakin berkurangan, ke mana saya mahu pergi selepas ini? Seperti kata Axl Rose dalam lagu November Rain, "nothing last forever and we both know hearts can change" (sepatutnya buat kuotasi Kant atau Plath atau Hamka di sini tapi saya tak tahu), tiada apa akan kekal dan saya terima fakta ini. Saya tidak perlu menulis buat selama-lamanya betul tak? Tak semestinya saya mesti relevan sepanjang masa. Ada penulis yang tulis satu atau buku sahaja dalam hayat mereka dan itu adalah OK.

Tapi sekurang-kurangnya, dengan Qalam Kalbu saya sudah lunaskan dendam saya terhadap Ophelia. Keluarlah dari sistem! Nyahlah engkau dari sini! Out, out damn spot!

Kali pertama bawa anak-anak ke majlis, nasib baik tak kena halau.

Bersama Rebecca Ilham, yang memenangi Kategori Umum: Kumpulan Cerpen bertajuk 'Hujan Hujung Januari'

Sunday, January 12, 2014

QALAM KALBU: ANCESTOR TEXTS

Tajuk: Qalam Kalbu
Tempoh penulisan: November – Disember 2012
Tempat lahir: Apartmen keluarga
Lagu tema: Never Let Me Go – Florence & the Machine, Born To Die – Lana Del Rey
Ancestor Texts: The Wounded Cavalier – William Shakespeare Burton, The Aura of the Alif :The Art of Writing in Islam - Jurgen Wasim Frembgen (Ed.)

Friday, January 10, 2014

PENGURUSAN MASA: LOG 168 JAM

Tahun yang baharu telah pun tiba. Dan setiap orang mempunyai impian yang cuba digapai untuk tempoh masa 12 bulan yang akan datang. Namun impian itu dengan mudah akan tertimbus oleh pelbagai urusan kehidupan. Tahu-tahu sahaja tahun 2014 akan tamat dalam masa beberapa hari dan semua tingkap yang kita sangka seperti baru semalam luas terbuka sudahpun tertutup.

Tahun ini saya mahu amalkan satu amalan baru. Saya dapat idea ini dari buku Laura Vanderkam, 168 Hours: You Have More Time Than You Think. Beliau cadangkan kita membuat log 168 jam bagi setiap hari untuk tahun semasa, dan mencatatkan dengan ringkas apa yang kita lakukan selama seminggu. Ini adalah tempoh percubaan sekadar melihat bagaimana kita menghabiskan masa. Berapa banyak untuk perkara wajib, dan berapa banyak untuk perkara sia-sia. Saya tambah sedikit format buku log ini dengan mencatatkan tarikh tamat projek penulisan untuk menambah rasa keterdesakan. Selepas kita mengesan amalan seharian kita, baharulah kita 'trim' jadual kehidupan - buang aktiviti yang tidak perlu dan beri masa untuk sasaran tahun ini. Saya juga tambah ruang untuk 'rancangan' selain dari 'apa yang sebenarnya berlaku'. Jadi satu hari ada 2 kolum. Kalau rancangan dilaksanakan, saya akan tanda 'rait' pada ruangan 'apa yang sebenarnya berlaku'.
Warna merah tanda projek penting

Tak tulis apapun lagi dalam log ni...

Ini adalah tahap percubaan. Saya cuba dahulu. Setahun lagi baru tahu berjaya atau tidak.


Thursday, January 9, 2014

QALAM KALBU & CATAN PRE-RAPHAELITES

Arwah embah saya seorang Jawa kuno yang naik sampan dari Pulau Jawa. Sampai di Tanjong Karang dengan tulang empat kerat dia tebang hutan yang pokok-pokoknya sebesar pemeluk untuk jadi sawah. Sawahnya berelung-relung dan sampai pada saya, sawah entah ke mana, dijual, hilang, kosong. Tapi itu cerita lain. Zaman kanak-kanak saya selalu pergi ke rumahnya. Rumah kayu besar, hitam dan gelap. Sehingga sekarang rumah itu datang dalam mimpi saya, dalam pelbagai bentuk. Walaupun kunonya embah saya, arwahnya ada tampal satu salinan/ poster potret Mona Lisa di ruang tamunya. Ia tidak masuk akal. Tapi itulah permulaan minat saya dengan catan yang realistik. Apabila bersekolah menengah, saya mula mencari-cari catan-catan serupa ini di dalam ensiklopedia catan dan terjumpa dengan catan Pre-Raphaelites. Saya paling suka 3 catan dalam tradisi ini, dan catan-catan ini menjadi tema kepada saya – The Wounded Cavalier oleh William Shakespeare Burton (semua cerita saya mesti ada seorang 'wounded cavalier', The Lady of Shallot oleh John William Waterhouse dan Ophelia oleh John Everett Millais. Saya tahu suatu hari nanti, saya mesti tulis tentang catan-catan ini untuk mengeluarkannya dari sistem pemikiran saya. Maka lahirlah Qalam Kalbu tetapi itu bukan cerita sepenuhnya. Saya mungkin telah melepasi tahap ‘fangirl’ apa menjadikan catan-catan ini musuh dalam Qalam Kalbu.

The Wounded Cavalier 


Ophelia

The Lady of Shallot

Wednesday, January 8, 2014

QALAM KALBU & SAYEMBARA PENULISAN NOVEL, CERPEN DAN PUISI ITBM-PENA-BH

Syukur alhamdulillah. Manuskrip yang saya tulis selama dua bulan pada tahun 2012 telah mendapat tempat kedua dalam Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-PENA-BH. Di sebalik kejayaan ini, saya sentiasa sedar yang hanya penulis berusia 45 tahun dan ke bawah sahaja yang boleh menyertai sayembara ini. Jadi sebenarnya, kami yang berjaya ke peringkat akhir (seramai 10 orang) sudah banyak diberi ruang oleh para senior. Dan jika dikira-kira, saya ada masa 7 tahun sahaja lagi untuk musim-musim seterusnya sayembara ini sebelum ‘tingkap tertutup’ (jika panjang umur!)

Berikut adalah senarai penuh pemenang Sayembara Penulisan Novel, Cerpen Dan Puisi ITBM-PENA-BH:
KATEGORI NOVEL:

Hadiah Pertama
Wan Nor Azriq Wan Mokhtar
D.U.B.L.I.N
Hadiah Kedua
Sri Rahayu Mohd Yusop
Qalam Kalbu

Hadiah Ketiga
Zubaidah Ishak
Pertemuan Musim Semi

Hadiah Sagu hati
• Ruhaini Matdarin (Anatomi Rupert)
• Abd Razak Adam (Tujuh Keturunan)
• Ariff Mohamad (Semenanjung Menangis)
• Md Nizar Parman (Jajahan Bonda)
• Neor Muhammad Azri Neor Razak (Hari-hari Yuda)
• Sharazi Mohd Sheriff (S.P.Q.R)
• Mohd Fadzli Yusof (Nuansa Cita)

KATEGORI KUMPULAN CERPEN:

Hadiah Pertama
Ruhaini Matdarin
Melawan yang Mustahil

Hadiah Kedua
Moh Azam Rezali
Sayang Perahu, Mudik Hilir

Hadiah Ketiga
Radzemah Bolhassan
Sagu, Ikan Salai

Hadiah Sagu hati
• Mawar Shafie (Narasi Gua dan Raqim)
• Nazri Hussein (Konflik di Hati Enrique)
• Roslan Jomel (Serangga dalam Kepala)
• Mohammad @ Mohd Hafezin Khadiri (Kuda-kuda Lembah Patagonia)
• Dk Mastura Pg Ismail (Langit Runtuh)
• Sharifah Aisiah Syed Mahazar (Sekapur Sirih daripada Teja)
• Noridah Md Noor (Hanya Beberapa Minit)

KATEGORI KUMPULAN PUISI:

Hadiah Pertama
Mohd Ridzuan Harun
Negeri Kunang-kunang
Hadiah Kedua
Rahimidin Zahari
Laut Tujuh Gelombang Buih

Hadiah Ketiga
Shamsudin Othman
Taman Maknawi

Hadiah Sagu hati
• Siti Raihani Mohamad Saaid (Sidang Kultus)
• Ahmad Fadhlil Mohamad Pakarul-Razy (Kota Subuh)
• Ariff Mohamad (Titik Ke Titik, Hujan)
• Ramlah Abd Rasid (Perahu)
• Hani Salwah Yaakup (Tentang Pertanyaan)
• Zulfazlan Jumrah (Mandala Sukma)
• Sahrunizam Abdul Talib (Suara Bukit Kepada Langit)



Tahniah!

P/S: Ruhaini Matdarin is a lean, mean writing machine. Macam mana beliau lakukannya? Dia berkata dia menulis setiap lepas subuh. Dari jam 6.30 sehingga 9.00 pagi sebelum beliau mula bekerja. Aduh. Itu namanya disiplin.
Muka berkilat: Baru lepas mengajar!

Buku dalam kaca