Monday, November 7, 2011

Tanggapan: BUMI LESTARI karya Rebecca Ilham

BUMI LESTARI adalah novel penulis tempatan pertama yang saya coretkan buah fikiran saya tentangnya. Saya tidak pernah menulis tentang novel-novel penulis tempatan kerana berasa diri tidak layak dan takut jika terserempak dengan penulis itu, ia akan jadi janggal. Rupa-rupanya, itu semua adalah sangkaan paranoid saya. Sedang saya sendiri tidak ambil hati jika novel saya dikritik (Hey, Sri Rahayu, orang dah baca novel kau pun dah cukup bagus tau. Apatah lagi jika pembaca itu buka komputer dan MENAIP tentang novel kau, itu sudah kira terlalu hebat, walau apapun tanggapannya), sudah tentu satu ulasan daripada rakan penulis amat dialu-alukan.


Rebecca Ilham wajar dipuji atas dua perkara. Beliau seorang ahli akrobat bahasa. Bahkan beliau bagaikan penari ballet yang menggunakan bahasa sebagai gerak tari. Ayat-ayatnya, patah perkataannya indah belaka dan tidak ada satu kesalahan pun yang saya kesani. Dan saya tahu ini bukan kerja editor kerana novel saya juga diedit namun ‘pria’ jadi ‘peria’ (sungguh memalukan). Ini memang tahap kualiti penggunaan bahasa yang Rebecca Ilham letakkan pada dirinya sendiri. Sungguh hebat.

Kedua, Rebecca Ilham membawa isu yang jarang dipaparkan dalam kesusasteraan remaja negara ini iaitu isu tentang hak kaum peribumi dan kapitalisme menentang kemanusiaan. Untuk percubaan pertama, Rebecca Ilham sepatutnya mencuba isu-isu yang ringan sahaja – bercinta di kampus, keluh-kesah pencarian jodoh (jangan lupa sertakan dalil-dalil naqli), atau cerita perjalanan mengharung dunia kerjaya bagi seorang graduan (idealisme lawan realiti).Namun kita tahu yang penulis ini meletakkan satu piawai yang tinggi bagi dirinya. Syabas.

Namun begitu, terhadap dua kelemahan dalam BL. Pertama ialah latar tempat luar negara yang agak mengganggu pembacaan. Watak-watak bergerak melalui banyak tempat dalam masa yang amat singkat, menjadikan fokus terhadap cerita terganggu. Latar tempat ini sekadar menjadi tempat watak-watak berdialog. Tidak salah menggunakan latar luar negara jika ia menjadikan cerita lebih efisien. Contohnya, latar luar negara untuk menjadi tempat watak menjalani pengasingan diri, mempelajari sesuatu yang membawa kematangan diri, mencari sesuatu yang berharga (orang atau barang) atau menunjukkan perbezaan nilai antara dunia tempatan dan dunia luar negara. BL sebenarnya akan lebih berkesan tanpa latar luar negaranya.

Kedua, ialah begitu banyak kali watak-watak dalam BL makan dan minum. Jelas jenis kopinya, pai, dan menu luar negaranya. Bagi cerita yang singkat, eloklah jika deskripsi tentang makanan dikurangkan atau ditiadakan, apatah lagi apabila watak Amira mengalami masalah kesihatan akibat malnutrisi.

Walaubagaimanapun, BL adalah novel sulung yang menjanjikan penambahbaikan dan kematangan dalam novel-novel Rebecca Ilham yang seterusnya.

9 comments:

  1. Kak Ayu,

    terima kasih atas tanggapan yang bermakna ini.
    Inshaallah, akan memperbaiki diri dan karya! :)

    ReplyDelete
  2. please ask becky to post my latest rebuttal should she desire to be professional over the intellectual debate. :P

    ReplyDelete
  3. Salam, saya belum sempat menjamah Bumi Lestari ini. Harap-harap adalah peluang.

    ReplyDelete
  4. Sempoi thinker,

    I think you are officially Rebecca Ilham's biggest fan!

    Tetamu Istimewa,

    Tidak rugi membacanya.

    Rebecca,

    20 hari lagi sebelum SFT tutup. Kalau-kalau berminat, teruskan pulun. (Panel hakim, ini hanya galakan peribadi penulis, bukannya 'teaser' karya Rebecca Ilham)

    ReplyDelete
  5. Insyaallah, sekarang sedang menelaah IMPULS/ROH.

    ReplyDelete
  6. salam...

    tahniah atas kemenangan di HSKU 2010...

    sekadar pertanyaan, bagaimana novel-novel untuk HSKU dihantar? bagaimanakah salurannya?

    ReplyDelete
  7. M. Fakhai MD,

    Terima kasih banyak.

    Hantarkan manuskrip anda ke alamat
    Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2011
    Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
    1 & 3, Jalan 3/91A, Taman Shamelin Perkasa, Cheras 56100 Kuala Lumpur. Sebelum/ pada 31 Disember 2011. Jangan letak nama pada manuskrip. Sertakan surat iringan yang menyatakan yang manuskrip bertajuk ____ adalah karya anda. Dalam surat iringan sertakan alamat & nombor telefon anda. Font Garamond point 12/14, langkau 2 baris, dicetak sebelah muka, jilid sesikat, plastik depan belakang, jumlah perkataan minimum lebih kurang 20 000 (150 ms A4).

    ReplyDelete
  8. terima kasih atas bantuan.. insya Allah akan diusahakan...

    ReplyDelete
  9. "I think you are officially Rebecca Ilham's biggest fan!"

    lol.

    i dont even read english novels. i think they're a waste of time :P

    what possessed you to assume that i'd read malay novels?

    it'd be quite interesting to understand what form of reasoning you have employed in reaching the conclusion.

    or maybe, you're just being highly cynical whereby the word "fan" implies the exact opposite.

    ReplyDelete