Wednesday, January 16, 2013

HIKAYAT CELTIC UNTUK SETIAP GENERASI

Akhirnya, 'The Adventures of Merlin' tamat siaran setelah 5 musim. Setiap generasi mesti ada siri hikayat Celticnya sendiri dan bagi generasi anak-anak saya hikayat Celtic itu adalah 'The Adventures of Merlin' walaupun penulisan cerita ini tidak begitu cemerlang.

Hikayat Celtic saya ialah 'Robin of Sherwood'. Bagi seorang budak kampung, 'Robin of Sherwood' adalah satu pengembaraan minda ke suatu tempat lain yang tak mungkin saya capai secara rasional. 'Robin of Sherwood' mengajar saya banyak perkara. Sebutan nama 'Richard the Lionheart' membuat saya membaca buku sejarah dunia Tingkatan 5 milik bapa saya sekadar untuk mengetahui siapa dia. 'Robin of Sherwood' ada latarbelakang sejarah yang kuat berbanding 'The Adventures of Merlin'. Episod yang saya ingat sampai sekarang ialah 'Crom Cruac'. Ia mengajar saya yang realiti/ kesedaran adalah poros. Episod itu masih membuatkan saya terkenang-kenang hingga sekarang. Apabila Robin of Locksley mati bertahan di puncak bukit dengan beberapa anak panah yang terakhir dari serangan Sherif of Gisbourne, saya belajar yang wira boleh mati dalam perjuangan. Masa itu saya sekolah rendah. Apabila watak Robin Hood diganti dengan Robin Hood yang berambut kuning, saya belajar yang wira yang gugur sentiasa mempunyai pengganti. Ah! Robin of Sherwood. Kenangan!

Dan alangkah geramnya saya apabila budak-budak lelaki saya langsung tidak minat untuk menonton 'The Adventures of Merlin' padahal cerita itu lebih mudah difahami dari 'Robin of Sherwood'!

Saturday, January 5, 2013

IDEA HEBAT: TULIS SEKARANG ATAU TUNGGU DULU?

Katakanlah, tiba-tiba sahaja kita mendapat ilham yang 'ground-breaking', Idea itu besar, kompleks tetapi kita tahu yang ia rumit kerana ia adalah idea yang baik lagi benar, yang memerlukan ketangkasan dan ketajaman fikiran untuk menyampaikannya. Diri mula merasakan yang kita tidak cukup matang, tidak cukup ilmu untuk membawa idea ini menjadi karya yang panjang lagi rumit.

Adakah anda akan menunggu sehingga anda cukup matang dan cukup ilmu untuk menulisnya. Anda takut yang anda tidak akan berjumpa dengan idea yang sebagus itu. Anda mahu ia sempurna. Anda mahu ia jadi benda yang membawa anda ke zaman kegemilangan.

Saya memilih untuk menulisnya segera. Dan ia menjadi sesuatu yang tidak sempurna dan tidak serumit yang diharap-harapkan. Tetapi saya mahu belajar dengan cara melakukan kesilapan. Saya yakin yang idea yang sama jika ditangani dengan tahap kematangan yang lebih usia dan ilmu yang lebih mantap akan menjadi satu karya yang lain. Jika saya kena kutuk dengan teruk sekalipun, saya akan tetap mempelajari sesuatu.

Jadi, jangan takut dan usah khuatir untuk menggunakan idea yang didapati pada tahun semasa. Kerana idea itu bagi saya, mempunyai nilai yang hampir-hampir infiniti.

Wednesday, January 2, 2013

TIDAK MENGAPA TIDAK MENULIS: BERI DIRI ANDA PELUANG

Tahun yang baharu muncul lagi dan kita tidak boleh mengelak dari menanam azam. Secara peribadi, saya merasa rendah diri apabila melihat pencapaian orang lain yang sentiasa memajukan diri. Namun begitu, ada saat-saat yang saya akan duduk dan berfikir, itu memang sudah rezeki dan jalan hidup yang ditentukan untuk orang itu. Tidak semua manusia perlu mengejar benda yang sama. Tahun ini, saya mahu melakukan perkara yang membuatkan saya gembira. Saya akan berhenti melakukan sesuatu jika ia tidak lagi membawa kebahagian kepada saya.

Dan tentulah, insan-insan di sekeliling kita akan menggalakkan kita untuk terus menulis, tanpa mereka memahami liku-liku penulisan itu amat mencabar. Nampak pada wajah tenang/ ceria kita seperti ia kerja paling mudah tapi sebenarnya ia adalah proses yang panjang dan meruntun emosi.

Jadi, tidak salah untuk saya berkata, "saya nak berehat, hendak melihat sekeliling, hendak bercampur-gaul, hendak mula semula" dan in sya Allah, muncul dengan sesuatu yang segar, bermutu dan tidak dijangka. Itu lebih baik dari memerah sumber yang sudah kering, dan menghasilkan sesuatu yang ala kadar sahaja.

Selamat bercuti dari menulis. Selamat mengembara, membaca dan menyelami kehidupan!