Monday, December 23, 2013

CABARAN MENULIS FIKSYEN SAINS & TEKNOLOGI JENAMA MALAYSIA

Pada 21 Disember 2013, saya dan bersama lebih kurang 60 peserta lain telah mengikuti Bengkel Penulisan Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM-UP&D Musim Ketiga. Suami saya bertanya kenapa saya mesti hadir bengkel ini setiap musim ia diadakan, apatah lagi tiada jaminan yang saya akan menghasilkan apa-apa produk kerana tarikh tutup sayembara adalah pada pertengahan tahun yang amat sibuk dengan aktiviti sukan, peperiksaan, dan lain-lain. Jawapan saya: Inilah satu-satunya peluang saya mendengar orang yang ahli dalam bidang ini bercakap tentang penulisan fiksyen sains. Jika saya pernah pergi bengkel di New Zealand sekalipun, ilmunya tidak akan sama dengan apa yang saya dapat di sini.
Sesi bengkel amat padat. Saya rasa terlalu banyak makan. Setiap kali disuruh makan, saya rasa oh tidak, tolonglah prof, teruskan syarahan tuan. Sepanjang sesi saya berasa amat seronok, disuntik idea dan semangat – oh saya tak mahu ia berakhir. Bila waktu solat, saya power-walk ke masjid dan power-walk balik ke dewan kuliah, seorang diri, kerana power-walk saya amat laju. Bila semuanya berakhir, saya rasa amat puas, tetapi boleh diteruskan lagi esok pagi! Kita boleh bercakap sampai esok tentang perkara ini.
Jadi, saya telah membuat beberapa kesimpulan untuk apa yang dicari oleh panel pada musim ini, sekadar untuk perkongsian agar penulisan musim ini lebih rancak dan membijaksanakan.

1. Tema, pemikiran & ideologi mesti selari. Tiga serangkai yang susah untuk difahami, apatah lagi ditulis dan digubah. Saya akan ambil pendekatan buat dan lihat.

2. Fiksyen sains & teknologi di Malaysia lain dari apa yang ada di Barat. Jadi jika teringin hendak copy-paste The Matrix dan ubah lokaliti, minta maaf – formula ini tidak boleh digunakan. Prof Lim Swee Tin berkata yang fiksyen sains di Malaysia adalah berteraskan nilai-nilai Islam/ agama yang menyembah Tuhan Pencipta/ percaya akan takdir dan juga menunjukkan nilai-nilai bangsa Malaysia (unsur yang subjektif, tapi penulisan yang memberi harapan dan mempercayai kebijaksanaan pembaca untuk menilai mungkin membantu).

3. Fiksyen berteraskan sains dan teknologi yang disampaikan dengan metod kesusasteraan yang baik. Muatan sains yang lengkap tetapi tidak ditulis sebagai cerita yang indah adalah sia-sia. Cerita yang baik tetapi lemah muatan sainsnya adalah membuang masa.

4. Tulis out-of-the-box. Menulis cerita yang lain dari yang lain. Senang cakap, susah nak buat. Menonton wayang dan siri TV mempengaruhi penulisan. Apa yang orang sudah buat kita tidak mahu ulang. Cuba fikir yang lain, tapi seolah-olah itu sahaja yang ada. Kalau boleh, hendak keluar dari kerangka pemikiran sedia ada, bagaimana? Bagaimana?

Tambahan: Saya tidak berapa setuju dengan beberapa konsep fiksyen sains sedia ada yang saya tidak berapa sesuai untuk digunakan. Saya tidak suka parallel universe, saya tidak suka time travel, atau teleportation, atau spontaneous existence, atau astral projection. Kapal angkasa Enterprise menggunakan warp speed pun saya tak suka. Saya rasa yang konsep-konsep sedia ada ini tidak ada penjelasan saintifik, sekadar permainan kata-kata/ fantasi. Saya lebih suka sains aplikasi atas bumi.

Equilibria dikritik/ 'jadi bahan'. Entah kenapa saya terlalu seronok bila dikomen (komen tak best) sebab dalam kepala saya, saya asyik berkata - Wow, Equilibria/ EquiliBRA (kata Prof Hashim Ismail! I can't believe it. OMG!), masih ada yang sudi membaca, wow, what is my life? idk, idk...

Menulis fiksyen sains & teknologi Malaysia adalah kerja yang mencabar. Tetapi amat seronok, macam naik roller-coaster. Turun  naik, bergerak laju. Tetapi nak bayar tiket dan duduk atas kerusi gerabak itulah yang sukar. Tetapi sekali dah masuk, ia takkan lepaskan kita sampai ke akhirnya.Ok, saya perlukan ‘muse’ baru dan lagu tema baru (Dan Reynolds Imagine Dragon/ Demons? dan seorang ‘muse’ lelaki Melayu, rahsia). Lepas itu, tengoklah apa yang terjadi. Tahun akademik yang baharu pula nak mula. Tak tahulah apa nasib 2014.


8 comments:

  1. Tahniah, atas kejayaan dan menyahut cabaran menulis Fiksyen Sains. Saya suka berkongsi pengalaman dengan saudara...(saudari?)...
    Selamat menulis dengan keikhlasan demi masa depan anak bangsa dan negara

    ReplyDelete
  2. Salam Pn Rahayu, sekadar hendak bertanya, Pn ada novel barukah berjudul Qalam Kalbu?

    ReplyDelete
  3. Haha, sebenarnya para khalayak perlu sedar (dan alhamdulillah Kak Rahayu sedar hal ini) bahawa kritikan yg sebenar bukan bermaksud "mengutuk" kerana kritikan ialah suatu analisa positif dan negatif, dan jika ada sesuatu yang dapat disampaikan kepada khalayak tentang karya itu sebagai nilai tambah (macam mempromosi juga) yang juga sampai kepada pembaca untuk dibicarakan (betapa benar/palsu kritikan tersebut). Masalah di Malaysia ialah, kritikan itu sudah terjerumus dalam kefahaman "negatif", lantas perkataan itu amat ditakuti. Jadi sekarang, ramailah penulisan "kritikan" jenis mengangkat bakul sahaja, sudah kurang yang betul-betul menelitinya. Saya kagum dgn kakak dan Amer Hmzah yg tidak ambil pot, itulah penulis yg sepatutnya :)

    ReplyDelete
  4. Fadli al-Akiti,
    Saya amat menghargai penulis kritikan kerana penulisan kritikan terlalu tenat sejarang ini. Ini disebabkan tiada sesiapa yang mahu membayar penulisan kritikan. Di zaman penulisan karya diberi ganjaran, penulisan kritikan diketepikan sehingga lebih banyak karya berbanding pembaca. Saya juga kesal kerana diri saya ini tidak banyak ilmu untuk mengkritik karya orang lain. Penulisan kritikan Fadli membuka mata, tajam dan bernas. Jika tiada ganjaran di dunia, di akhirat pasti ada. Tapi jangan lupa untuk menulis karya juga, kerana kebijaksanaan itu perlu dikongsi!

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Anonymous,

    Benar. Novel terbaru saya QALAM KALBU diterbitkan oleh ITBM.Baru dilancarkan 7 Januari.

    ReplyDelete
  7. Insya-Allah saya cuba menulis dan sambung berkarya, tak senang jadi editor dan penulis dlm satu masa, haha :D

    ReplyDelete
  8. Wah! Sungguh bertuah saya terjumpa dengan post ini. Saya kagum dengan semangat Puan dalam menulis novel. Karya Equilibria Puan menjadi telaah buat saya dan pasukan saya dalam menyertai sayembara ini.

    Saya ucapkan semoga maju jaya puan. Harap dapat bertemu sama semasa upacara penyampaian hadiah nanti. =)

    ReplyDelete