Saturday, November 19, 2011

PENULIS 'KATAK BAWAH TEMPURUNG' VS PENULIS PENGEMBARA KELILING DUNIA

Sudah menjadi satu kebiasaan pula di zaman global ini, fiksyen menggunakan latar tempat luar negara.


Tidak ada masalah sebenarnya. Tiada masalah langsung.

Tapi bagaimana pula dengan penulis yang tiada pengalaman berada di tempat lain selain dari kampungnya, daerahnya, negerinya dan negaranya? Terbelakangkah penulis yang sebegini?

Saya ada satu petikan dari penulis Australia bernama Henry Lawson (1867-1922). Siswa-siswi yang belajar di sekolah menengah di dalam Malaysia dari tahun 2000 hingga 2009 pastinya ingat cerita pendek ‘The Drover’s Wife’ yang dipelajari dalam KOMSAS Bahasa Inggeris Tingkatan 4. Dalam biodata pendek Henry Lawson, penulis ini telah berkata:

“The first seventeen years of my life were spent on the goldfield and, therefore, I didn’t need to go back, in imagination, to a time before I was born and to a country I have never seen, for literary material.”

Henry Lawson berkata yang negara tanah tumpah darahnya adalah sebuah ‘lombong emas’ dan dia tidak perlu pergi ke negara lain, atau ke masa lain untuk dia menggali bahan ceritanya.

Melainkan anda ingin menulis sebuah travelog, anda sebenarnya tidak perlu terlalu rungsing kerana tidak menulis fiksyen anda berlatarbelakangkan negara lain, atau budaya lain. Di mana-mana latar tempat pun, isu yang anda bawa boleh berdialog di peringkat antarabangsa.

Tapi kalau ada peluang melancong atau belajar di negara orang nanti, janganlah sengaja lepaskan peluang pula!

5 comments:

  1. Ya saya sangat setuju dengan Hendry Lawson. Dan saya juga amat kecewa dengan seorang penulis yang pernah saya baca artikelnya mengatakan bahawa karya yang berlatarkan sawah padi sudah tidak relevan lagi masa kini. Seolah-olah karya itu karya 'budak kampung'. Bagi saya latar itu kadang-kadang hadir untuk menjelaskan lagi sesuatu suasana. Tetapi ingat jangan pula perincian latar itu lebih dominan hingga menenggelamkan segala gagasan utama.

    ReplyDelete
  2. Karya yang bagus bukan tentang angan-angan, tetapi kehidupan dan pemahaman kita di dalamnya. Jangan tulis cerita seperti cerita Hindi, tetapi harus lebih banyak gaya cerita Tamil/Malayalam (atau daerah India Selatan yang lain). Hanya dengan memasukkan unsur2 latar luar negeri tapi dengan gaya plastik, karya akan jadi tidak nyata. Sedang, jika latar paling buruk bersifat kampungan seperti Srengenge atau Bukit Tinggi, kesannya lebih masuk ke dalam cerita dan diri pembaca itu sendiri.

    Immanuel Kant, tokoh filsuf Jerman tidak pernah keluar dari daerahnya (Koenigsberg?), tapi menghasilkan filsafat tahan zaman, melangkaui sempadan.

    Persoalan paling besar bukan terletak pada jalur2 di peta dunia, tetapi dalam dunia kecil diri manusia, iaitu pada hati dan akalnya.

    -Encik Anon-

    ReplyDelete
  3. Tetamu Istimewa & Encik Anon,

    Input yang bernas. Terima kasih kerana sudi berkongsi.

    ReplyDelete
  4. Saya setuju sangat dengan entri ini. Dalam novel pertama saya yang berjudul JERAT, terbitan FIXI, latarbelakangnya ialah Kelana Jaya, Putrajaya, Damansara dan Seri Kembangan. Ada beberapa pembaca yang memberi pendapat bahawa kejadian-kejadian di dalam cerita itu seolah-olah berlaku di dunia nyata kerana pembaca sangat biasa dengan tempat-tempat yang disebutkan.

    ReplyDelete
  5. DNAS,

    Eloklah jika anda percaya dan praktikkan yang demikian. Namun tidak dinafikan suatu hari nanti, cerita-cerita kita akan perlu ke tempat di luar negara, hanya kerana ia sepatutnya berada di sana, dan bukannya kita sengaja nak memenuhi tuntutan 'trend'.

    ReplyDelete