Thursday, August 30, 2012

MERDEKA DI JIWA PENULIS/ GURU


Sambutan bulan kemerdekaan adalah suatu acara yang saya tunggu-tunggu setiap tahun. Dari zaman saya solo di mana saya boleh luangkan masa dari pagi sampai malam di sekolah sehinggalah zaman beranak-pinak dan masa menjadi terhad, sambutan kemerdekaan sangat penting bagi saya. Setiap sekolah menyambut kemerdekaan dengan gaya yang berbeza tetapi di hati saya, saya sukakan auranya dan semangatnya sehinggakan saya berada dalam keadaan yang amat ‘romantik’.

Ada sesuatu yang ajaib apabila menyambut Hari Kebangsaan di sekolah. Di musim ini saya akan memaksarela pelajar-pelajar untuk berlakon drama bertemakan perjuangan mencapai kemerdekaan. Kadangkala kumpulan yang terpilih ini berjaya, kadangkala kurang berjaya. Tetapi kami tidak pernah gagal. Perjalanan ke arah persembahan itu sendiri berliku dan turun-naik, setiap hari adalah ujian getir – penantian, tantrums, cemas, dan bermacam-macam lagi perasaan. Tetapi, jika saya dan pelajar tidak mahu mengambil risiko, alangkah hambarnya!

Tahun ini, sekolah saya menjemput Mejar (B) Mohd Tap bin Haider, Yang Dipertua Persatuan bekas Polis Tentera untuk berkongsi pengalaman beliau ketika berkhidmat dalam tahun 60’an. Matahari memancar terik, tetapi akibat jarang-jarang melihat ‘role model’ lelaki apatah lagi dari bidang ketenteraan, pelajar-pelajar mendengar ucapan Mejar (B) Mohd Tap tanpa komplen. Saya hanya boleh membayangkan sahaja apa yang telah dilalui oleh perajurit tanahair di zaman konflik.

Semoga sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini memberi inspirasi kepada penulis untuk terus menulis.

Saturday, August 25, 2012

TELEVISYEN DI DALAM KERETA

Selamat menyambut Syawal diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadan yang telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu kebaikan dan Syawal yang sedang kita lalui memberi seribu lagi rahmat.

Pemanduan jauh menjadi kelaziman apabila tiba musim cuti perayaan. Sesuatu yang ketara di zaman mewah lagi canggih ini ialah kenderaan yang dipasang dengan sistem hiburan pandang-dengar iaitu pemain cakera padat filem ataupun unit televisyen. Rasionalnya ialah untuk menghiburkan anak-anak yang kebosanan sewaktu pemanduan yang jauh dan memakan masa sehingga lebih dari 10 jam.

Tetapi bukankah anak-anak sudahpun mempunyai ipad/ telefon pintar/ permainan video pegang yang sentiasa berada di dalam genggaman mereka? Sebenarnya alat pemain filem/ televisyen dipasang di dalam kenderaan kerana pemilik kenderaan berkemampuan untuk memasang alatan yang sebegitu. Duit banyak, pasang sahajalah. Kalau bukan untuk tidak dipasang di dalam kenderaan, maka tiadalah alat itu dijual di kedai.

Saya takut alatan pandang-dengar di dalam kenderaan mengganggu tumpuan pemandu kerana pemandu masih boleh menoleh/ memanjangkan leher untuk melihat skrin, berbanding dengan sistem yang dipasang di dalam bas (terletak jauh dari bidang pemandangan pemandu).

Selain dari itu, anak-anak sepatutnya menggunakan pengalaman mengikuti pemanduan yang jauh ke kampung sebagai peluang untuk membina imaginasi. Saya ingat lagi, ketika zaman tidak boleh memandu/ tiada kereta, saya menaiki bas persiaran dari KL balik ke Tanjong Karang. Dengan bertemankan muzik dari walkman dan sebuah mixed tape buatan sendiri saya berfantasi sepanjang 3 jam. Sewaktu zaman remaja, saya menaiki keretapi mel percuma dari JB ke KL selama 9 jam. Semuanya adalah peluang untuk berfantasi. Apabila menjadi ibu, saya tahu anak-anak memang selalu bergaduh di dalam kereta. Tetapi sebagai ibu saya akan gunakan kuasa untuk memarahi mereka.

Ada juga aktiviti-aktiviti menarik untuk kanak-kanak di dalam kereta. Jika memandu di waktu malam kita boleh menyuruh mereka melihat bintang dan lampu kapal terbang. Jika waktu siang, mereka boleh melihat bukit-bukau, ladang kelapa sawit dan langit terbentang luas. Kadangkala ada juga patung mekanikal pekerja lalulintas yang kita boleh adakan kuiz “Orang atau patung?”

Sedang anak-anak sudah kita hadiahkan dengan pelbagai alatan yang melumpuhkan imaginasi dan menjadikan mereka tidak peka dengan interaksi dunia sebenar, kita curi dari mereka satu-satunya peluang untuk menggunakan imaginasi apabila mereka berada di dalam kenderaan. Hanya kerana kita berkemampuan untuk membeli gajet yang tidak kita perlukan.

Saturday, August 11, 2012

ANDA TAHU ANDA PERLU MENULIS SEMULA APABILA…


Safe and sound. Jurnal Januari-Ogos 2012. Bakal ditutup tidak lama lagi

Seorang penulis boleh menghentikan dirinya untuk tidak menulis hanya untuk buat beberapa lama. Enam bulan, setahun, dua tuhan dan tidak lama selepas itu dia pasti akan mengalami beberapa bentuk gangguan. Pengalaman diri saya begini. Saya akan tidak menulis selama beberapa bulan dengan berbagai alasan – sibuk, kerja, puasa, dan lain-lain. Hanya sekali-sekali mencoret perasaan di dalam ‘jurnal’. (This is not a diary, this is a journal! – Diary of A Wimpy Kid). Dan saya OK. Betul.

Saya akan meneruskan hidup sehingga sampai di satu tahap di mana saya mula tidak berpuas hati dengan semua bahan yang saya tonton. Filem, walau siapapun yang mengarahkan dan menulisnya. Sehingga terfikir pula hendak membetulkan adegan-adegan drama/ filem yang ditonton (Ia sepatutnya berakhir begini!) Semua buku yang dibeli mengecewakan. Apabila terserempak dengan sesiapapun, saya akan bertanya dalam hati “What’s your story?”. Dan ini memenatkan kerana saya terserempak dengan beratus-ratus orang setiap hari. Apabila saya mendengar lagu, satu filem ciptaan sendiri akan terbentang dalam minda. Bahaya untuk pemanduan di gelap pagi. Klimaksnya ialah apabila saya bertemu dengan seseorang dan bercakap dengannnya tentang sesuatu yang mengujakan . Sehingga saya bertemu dengannya lagi dan saya menyambung semula perbualan itu dan orang yang malang ini terpinga-pinga.

Ya Allah! Perbualan itu tidak pernah berlaku!

Dan saya tahu yang sudah tibanya saya menulis sesuatu. Dan melalui setiap turun naik, mengharungi kesedihannya dan memberanikan diri menghadapi perleraiannya dan menamatkannya dengan hati yang lega.

Wednesday, August 1, 2012

KRONIKEL KELAWAR: KECEWA




Seringkali saya mengalami keadaan di mana personaliti yang saya hormat akan berubah menjadi seseorang yang teruk, orang yang saya sayang akan mengecewakan saya, kedai yang saya selalu kunjungi ditutup, sesuatu yang saya minat berubah kualiti menjadi terlalu rendah, benda yang saya selalu beli akan naik harga. Sama dengan kes yang ini.

Tidak puas hati:


1. Adegan pembukaan yang hebat milik si penjahat.

2. Wayne jatuh cinta dengan Tate tanpa sebarang motivasi selain terperangkap dalam hujan lebat.

3. Kumbang kelapa penyek yang boleh terbang.

4. Sudah bersara, kemudian bangkit, kemudian cedera parah, kemudian bangkit, kemudian mati, kemudian bangkit. Berapa kali hendak bangkit da? Oop, lupa. Itukan tajuk filem.

5. Prosedur membetulkan ‘slipped disc’ yang melampau tidak logik.

6. Kena tikam dengan pisau 3 inci tapi elok sahaja. (Penulis/ pengarah memang tidak pernah pandai menangani adegan kecederaan)

7. Talia-Bane. Tidak meyakinkan langsung.

8. Sekali lagi (dan sekali lagi & lagi), letupan ‘payload’ nuklear bajiliontan berlaku tanpa sebarang kesan mudarat.

9. Adakah Alfred hanya berkhayal? Satu ‘wish-fulfillment’? Delusi? Saya boleh terima kematian wira dari dipermainkan sebegini teruk.

10. Mana falsafahnya? Mana pemikirannya? Hanya kesedihan, kesedihan, kesedihan. Alfred menangis? Oh tidak!

Dibandingkan dengan yang dahulu:

1. Operasi penculikan melalui udara yang ‘awesome’.

2. Maggie G.

3. Orang gila pakai sut ungu.

4. Akrobatik udara.

5. Bat-pod.

6. Baik lawan baik. Neurotik lawan gila.

7. Falsafah gula-gula getah.


Pengajaran: Mahu cerita yang memuaskan hati? Jangan harapkan orang lain. Tulislah sendiri. Kemudian mainkan dalam kepala.