Selamat menyambut Syawal diucapkan kepada semua muslimin dan muslimat. Semoga Ramadan yang telah berlalu meninggalkan kita dengan seribu kebaikan dan Syawal yang sedang kita lalui memberi seribu lagi rahmat.
Pemanduan jauh menjadi kelaziman apabila tiba musim cuti perayaan. Sesuatu yang ketara di zaman mewah lagi canggih ini ialah kenderaan yang dipasang dengan sistem hiburan pandang-dengar iaitu pemain cakera padat filem ataupun unit televisyen. Rasionalnya ialah untuk menghiburkan anak-anak yang kebosanan sewaktu pemanduan yang jauh dan memakan masa sehingga lebih dari 10 jam.
Tetapi bukankah anak-anak sudahpun mempunyai ipad/ telefon pintar/ permainan video pegang yang sentiasa berada di dalam genggaman mereka? Sebenarnya alat pemain filem/ televisyen dipasang di dalam kenderaan kerana pemilik kenderaan berkemampuan untuk memasang alatan yang sebegitu. Duit banyak, pasang sahajalah. Kalau bukan untuk tidak dipasang di dalam kenderaan, maka tiadalah alat itu dijual di kedai.
Saya takut alatan pandang-dengar di dalam kenderaan mengganggu tumpuan pemandu kerana pemandu masih boleh menoleh/ memanjangkan leher untuk melihat skrin, berbanding dengan sistem yang dipasang di dalam bas (terletak jauh dari bidang pemandangan pemandu).
Selain dari itu, anak-anak sepatutnya menggunakan pengalaman mengikuti pemanduan yang jauh ke kampung sebagai peluang untuk membina imaginasi. Saya ingat lagi, ketika zaman tidak boleh memandu/ tiada kereta, saya menaiki bas persiaran dari KL balik ke Tanjong Karang. Dengan bertemankan muzik dari walkman dan sebuah mixed tape buatan sendiri saya berfantasi sepanjang 3 jam. Sewaktu zaman remaja, saya menaiki keretapi mel percuma dari JB ke KL selama 9 jam. Semuanya adalah peluang untuk berfantasi. Apabila menjadi ibu, saya tahu anak-anak memang selalu bergaduh di dalam kereta. Tetapi sebagai ibu saya akan gunakan kuasa untuk memarahi mereka.
Ada juga aktiviti-aktiviti menarik untuk kanak-kanak di dalam kereta. Jika memandu di waktu malam kita boleh menyuruh mereka melihat bintang dan lampu kapal terbang. Jika waktu siang, mereka boleh melihat bukit-bukau, ladang kelapa sawit dan langit terbentang luas. Kadangkala ada juga patung mekanikal pekerja lalulintas yang kita boleh adakan kuiz “Orang atau patung?”
Sedang anak-anak sudah kita hadiahkan dengan pelbagai alatan yang melumpuhkan imaginasi dan menjadikan mereka tidak peka dengan interaksi dunia sebenar, kita curi dari mereka satu-satunya peluang untuk menggunakan imaginasi apabila mereka berada di dalam kenderaan. Hanya kerana kita berkemampuan untuk membeli gajet yang tidak kita perlukan.
Saturday, August 25, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment