Sambutan bulan kemerdekaan adalah suatu acara yang saya tunggu-tunggu setiap tahun. Dari zaman saya solo di mana saya boleh luangkan masa dari pagi sampai malam di sekolah sehinggalah zaman beranak-pinak dan masa menjadi terhad, sambutan kemerdekaan sangat penting bagi saya. Setiap sekolah menyambut kemerdekaan dengan gaya yang berbeza tetapi di hati saya, saya sukakan auranya dan semangatnya sehinggakan saya berada dalam keadaan yang amat ‘romantik’.
Ada sesuatu yang ajaib apabila menyambut Hari Kebangsaan di sekolah. Di musim ini saya akan memaksarela pelajar-pelajar untuk berlakon drama bertemakan perjuangan mencapai kemerdekaan. Kadangkala kumpulan yang terpilih ini berjaya, kadangkala kurang berjaya. Tetapi kami tidak pernah gagal. Perjalanan ke arah persembahan itu sendiri berliku dan turun-naik, setiap hari adalah ujian getir – penantian, tantrums, cemas, dan bermacam-macam lagi perasaan. Tetapi, jika saya dan pelajar tidak mahu mengambil risiko, alangkah hambarnya!
Tahun ini, sekolah saya menjemput Mejar (B) Mohd Tap bin Haider, Yang Dipertua Persatuan bekas Polis Tentera untuk berkongsi pengalaman beliau ketika berkhidmat dalam tahun 60’an. Matahari memancar terik, tetapi akibat jarang-jarang melihat ‘role model’ lelaki apatah lagi dari bidang ketenteraan, pelajar-pelajar mendengar ucapan Mejar (B) Mohd Tap tanpa komplen. Saya hanya boleh membayangkan sahaja apa yang telah dilalui oleh perajurit tanahair di zaman konflik.
Semoga sambutan kemerdekaan negara pada tahun ini memberi inspirasi kepada penulis untuk terus menulis.
No comments:
Post a Comment