Saturday, August 11, 2012

ANDA TAHU ANDA PERLU MENULIS SEMULA APABILA…


Safe and sound. Jurnal Januari-Ogos 2012. Bakal ditutup tidak lama lagi

Seorang penulis boleh menghentikan dirinya untuk tidak menulis hanya untuk buat beberapa lama. Enam bulan, setahun, dua tuhan dan tidak lama selepas itu dia pasti akan mengalami beberapa bentuk gangguan. Pengalaman diri saya begini. Saya akan tidak menulis selama beberapa bulan dengan berbagai alasan – sibuk, kerja, puasa, dan lain-lain. Hanya sekali-sekali mencoret perasaan di dalam ‘jurnal’. (This is not a diary, this is a journal! – Diary of A Wimpy Kid). Dan saya OK. Betul.

Saya akan meneruskan hidup sehingga sampai di satu tahap di mana saya mula tidak berpuas hati dengan semua bahan yang saya tonton. Filem, walau siapapun yang mengarahkan dan menulisnya. Sehingga terfikir pula hendak membetulkan adegan-adegan drama/ filem yang ditonton (Ia sepatutnya berakhir begini!) Semua buku yang dibeli mengecewakan. Apabila terserempak dengan sesiapapun, saya akan bertanya dalam hati “What’s your story?”. Dan ini memenatkan kerana saya terserempak dengan beratus-ratus orang setiap hari. Apabila saya mendengar lagu, satu filem ciptaan sendiri akan terbentang dalam minda. Bahaya untuk pemanduan di gelap pagi. Klimaksnya ialah apabila saya bertemu dengan seseorang dan bercakap dengannnya tentang sesuatu yang mengujakan . Sehingga saya bertemu dengannya lagi dan saya menyambung semula perbualan itu dan orang yang malang ini terpinga-pinga.

Ya Allah! Perbualan itu tidak pernah berlaku!

Dan saya tahu yang sudah tibanya saya menulis sesuatu. Dan melalui setiap turun naik, mengharungi kesedihannya dan memberanikan diri menghadapi perleraiannya dan menamatkannya dengan hati yang lega.

3 comments: