Tuesday, March 23, 2010

MERANTAU (2009): Nota Penulisan Kreatif (Bahagian 2)


Sesekali sekala, akan muncul filem yang berjaya membangkitkan saya dari koma pemikiran. MERANTAU (2009) adalah salah-satu dari filem tersebut. Melalui pandangan sebagai penulis, selain dari seorang peminat, saya dapat beberapa nota untuk menulis fiksyen kreatif yang lebih baik dari filem ini:

3) Wira yang baik adalah orang yang baik dengan kesilapan yang berbahaya.

Yuda dijadikan penulis filem ini sebagai seorang yang hampir sempurna. Dia seorang pengamal silat yang mahir, anak yang taat, adik yang selalu mengalah, manusia yang punyai simpati dan keprihatinan yang tinggi. Tapi wataknya menjadi menarik dan tidak membosankan kerana dia juga melakukan kesilapan yang akhirnya membawa kepada pengakhiran yang mengejutkan.


Kesilapan pertama, Yuda mempunyai ego yang tinggi. Dikondisikan oleh masyarakatnya untuk tidak membawa malu kepada keluarga(walaupun telah diberi amaran oleh ibunya sebelum pergi merantau), dia tidak mahu pulang ke kampung tanpa sebarang pencapaian walaupun sudah tinggal sehelai sepinggang dan bergelandangan selama dua malam.


Kesilapan kedua, dia jatuh cinta pada gadis yang salah.


Kesilapan ketiga, dia tidak tahu apakah tahap dia boleh menghadapi tentangan. Berapa ramai yang Yuda boleh tewaskan? Satu? Dua? Dua belas? Dua puluh? Mestilah ada garis di antara keperwiraan dan kekhilafan membuat perhitungan.


Kesilapan keempat, dia terlalu berbelas kasihan. Sepatutnya, Yuda patahkan saja kaki dan tangan si Ratger.


Jadi, apa gunanya jika seorang itu penuh dengan kelemahan? Elok saja sebenarnya kerana wira itu juga manusia. Cerita tentang manusia lebih baik dari cerita dewa-dewi, jika adalah yang cuba menulisnya dalam bentuk manusia yang tidak boleh terkalahkan.

No comments:

Post a Comment