Saturday, March 27, 2010

MERANTAU (2009): Nota Penulisan Kreatif (Bahagian 3)


Sememangnya diakui demam MERANTAU (2009) saya belum kebah. Nota penulisan kreatif yang kelima dari filem ini.


4. Kewajaran Mematikan Wira Fiksyen Dalam Karya.


Seorang mentor penulisan saya (sebenar-benarnya dia seorang sahaja) pernah menyampaikan satu peraturan buat saya - Jangan sesekali membunuh watak wira cerita anda walaupun untuk tujuan keadilan puitika. Saya telah mematikan beberapa watak utama (Jebat dalam Bukan Legasi Lalang kerana dia sudahpun mati secara harfiah, dan Kadim dalam Merdekakan Cinta Ratna kerana watak itu hanya wujud di dalam realiti drama pentas, dan mendapat bangkangan keras mentor saya). Dan saya menyangka saya cukup ekstrem sehingga saya menonton MERANTAU. Jika mentor saya menonton filem ini, apakah agaknya reaksi beliau? Adakah MERANTAU akan jadi sama hebat jika Yuda terus hidup? Kita saksikan Astri dan Yayan memetik tomato. Wulan memegang tasbih rapat di dada. Wajahnya berkerut. Adit pula mengemaskan beg sekolahnya lantas berlari ke sekolah. Wulan melihat pintu dapur yang sedikit terbuka akibat dilalui oleh seseorang untuk keluar. Dan adegan terakhir MERANTAU kita lihat Yuda kembali ke Bukit Tinggi untuk menguji pencaknya sekali lagi setelah dia pulih dari kemalangan di Jakarta. Sama seperti adegan pertama dia masuk di permulaan filem. Apakah itu akan menjadikan MERANTAU sama tidak boleh dilupakan? Apa bezanya antara hidup dan mati?


Akhirnya saya membuat kesimpulan yang penulis MERANTAU mematikan wiranya kerana filem ini sudah bersedia untuk kesudahan demikian. Dan saya belum mematikan wira cerita-cerita saya kerana perjuangan-perjuangan mereka belum berakhir. Raden Inu Kartapati (Odisi Tanah Kencana) mahu mendekati Islam. Tun Hassan Muda (Warisnya Kalbu) masih mahu melindungi Bendahara Pahang. Jaka Sulaiman (Kasih Nan Agung) masih punya ramai materilis yang dia perlu lawan.


Benarkah Yuda sudah habis perjuangannya maka sebagai manusia biasa dia akhirnya tewas kepada waktu dan kelemahan fizikal. Ini akan saya perjelaskan di dalam nota seterusnya.

No comments:

Post a Comment