Jadi anda sudah punyai tema yang agak-agaknya baik, indah dan relevan dengan dunia sekarang dan tema ini dijangka akan bertahan sepanjang zamannya. Apa seterusnya? Proses menulis itu kompleks. Ia bukannya boleh digariskan langkah demi langkah macam hendak menyelesaikan kira-kira. Setiap orang ada caranya sendiri. Ini menjadikan sebarang kelas penulisan kreatif sebenarnya hangus. Tapi menuntut ilmu itu masih wajib.
Saya kira bila menulis untuk remaja itu sangat mementingkan satu elemen ini iaitu WATAK WIRA UNGGUL (WWU). WWU boleh jadi perempuan atau lelaki. Seelok-eloknya biar agak muda. Jika WWU bukan usia pembaca remaja, jadikan WWU abang atau kakak kepada pembaca remaja. Jadikan WWU apa yang diimpikan oleh remaja sekarang untuk capai beberapa tahun lagi.
WWU ini wajib dijadikan seorang pejuang. Memang tidak realistik. Berapa ramai di antara kita pejuang? Saya sendiri adalah perempuan yang pengecut sebenarnya. Saya lebih rasa selamat di dalam lingkungan dunia saya yang kecil ini.Tapi kita bukan menulis tentang homo sapiens, tapi homo fictus. Jika boleh, saya mahu tebus semua kelemahan saya di dalam dunia fana dengan dunia fiksyen.
WWU akan membawa kepercayaan saya, prinsip saya, suara saya. Apa yang saya percaya akan disuarakan oleh WWU. Dengan ini, mesej akan sampai lebih jelas. Kenapa mesti 'channel'kan diri menjadi watak sampingan apabila anda boleh bersuara melalui WWU? Optimumkan kebebasan ini.
WWU mesti kuat dalam serba serbi. Boleh dikatakan amat waja. Namun, WWU tidak boleh dijadikan sempurna kerana apabila WWU sempurna, terlalu kuat, tiada langsung cacat cela, maka hilang tarikannya kepada remaja. Kerana remaja mahu lihat seseorang yang boleh dicontohi, namun punya kelemahan yang mereka boleh kongsikan. Ingat lagi zaman remaja anda? Perasaan tak tentu arah. Rasa canggung sepanjang masa. Kadangkala gembira, kadangkala sedih. Kalau kawan tak bercakap dengan kita rasa bagai tak boleh hidup lagi. Kalau jenis yang tak ramah dan tak de rupa, pasti kena pulau dan dilabel 'toye', 'loser', 'weirdo'. Been there, done that. Macamana nak wujudkan role model untuk golongan yang volatile perasaannya ini?
Mudah untuk memberi kekuatan kepada WWU tapi apabila memberi kelemahan kepada WWU agak rumit.
Kelemahan yang tidak boleh diterima:
* Berkhalwat dengan kaum berlawanan walau untuk tujuan dakwah
* Mencuri, menipu, jenayah berat, langgar undang-undang, dengan kerelaannya sendiri tanpa diugut oleh pihak-pihak yang amat jahat
* Suka bergosip, mengumpat, memfitnah
* Derhaka pada ibu bapa sedang ibu bapa cuba sedaya upaya mereka memberi kehidupan yang baik kepada WWU
* Derhaka dan biadap dengan orang tua yang tidak mendatangkan mudarat kepada watak (guru, saudara-mara, orang di sekeliling)
* Pendera
* Ingkar suruhan agama dan tidak pernah sesal di dalam sebahagian besar cerita
Kelemahan yang boleh diterima:
* Mengelak dari bergaduh maka dianggap pengecut
* Tidak dapat menjalinkan hubungan yang rapat dengan orang lain kesan ditinggalkan/ diabaikan
* Obses dengan pencarian sesuatu sehingga lupa keselamatan diri
* Sentiasa cuba untuk gembirakan orang lain/ fix everything/ be everything sehingga dia hilang dirinya sendiri
Selain itu boleh saja di adakan kelemahan fizikal seperti tidak tahu seni mempertahankan diri (tak semua orang juara silat peringkat negeri), takut tempat tinggi, takut ular, penyakit (walaupun ia agak tidak popular sekarang, tiba-tiba WWU mati di akhir cerita akibat barah otak - I want my money back. Atau sebarang penyakit yang disebabkan oleh kerana tidak bijak mengatur pemakanan - absolute no-no for WWU). Ketidakupayaan fizikal yang berlaku semenjak lahir atau akibat tragedi juga menarik apatah lagi ketika hendak mengutarakan isu hak OKU. Kesimpulannya WWU anda walaupun adalah Homo fictus, masih tetap manusia biasa, bukannya adiwara. (Saya lebih suka Batman, dibandingkan dengan Superman)
Dari segi rupa luaran, tidak perlu katakan yang WWU kacak atau cantik. Sebaliknya, gambarkan dengan jelas - warna kulitnya, bentuk hidung dan matanya, tinggi rendahnya, suaranya, rambutnya, pakaiannya. Dan jangan jadikan dia campuran Mat Salleh kerana hendak jadikan dia kacak dan cantik - please don't. It's just lame! Kerana akhirnya, yang cantik itu ialah budi bahasa, kelakuan dan akhlak.
Ambil masa untuk buat pembaca melihat cerita/ situasi dari mata WWU. WWU adalah sauh yang mengikat pembaca dengan cerita. Jika WWU anda melakukan kesilapan yang tidak boleh diterima oleh pembaca, mereka akan tutup buku.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment