Tuesday, June 1, 2010

Debaran Bermula: Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2009 (HSKU 2009)

Dengan tersiarnya artikel tulisan Nisah Haron dalam akhbar Utusan Melayu (21 Mei) & Rozlan Mohd Noor dalam Mingguan Malaysia (30 Mei) maka bermulalah debaran menunggu keputusan HSKU 2009. Samada anda penulis atau tidak, menulis atau tidak, jika anda mempunyai sekelumit minat dengan dunia kesusasteraan Melayu di Malaysia samada sebagai pembaca, pengkritik, penonton, penggosip di blog, pengutuk bertopengkan blog dan sebagainya, anda pasti tertunggu-tunggu dengan keputusan HSKU saban tahun. Sehingga meng'google' HSKU bagaikan satu kebersalahan yang lazat bagi anda.

Jadi musim HSKU datang lagi.

Saya pernah menulis untuk HSKU beberapa kali. Pernah menang, pernah kalah, pernah beberapa tahun tidak menulis kerana urusan keluarga. Namun saya menyokong pemenang-pemenang HSKU. Saya ternanti-nanti hendak membeli set antologi dan semua novel-novel remaja. Saya akan baca laporan panel hakim walaupun saya memang tidak menghantar karya. Saya suka mengetahui apa rahsia kejayaan orang. Walaupun tidak berpeluang bersua muka, namun saya seboleh-bolehnya hendak tahu tips dengan cara pembacaan. Maklumlah, jarang-jarang penulis mahu membuka rahsia penulisan di blog. (Seperti mana kata Joker dalam The Dark Knight "When you're good at something, don't do it for free") Bahkan di buku panduan penulisan sekalipun, penulis tidak akan mendedahkan rahsia magnum opusnya. Yang ada hanyalah teaser akan kehebatan yang sedang dirahsiakan melalui karya-karya kecil. Itu adalah lumrah. Kita terimalah kenyataan.

"When you're good at something, don't do it for free"

Kenapalah HSKU amat terkenal walaupun ia penuh dengan kelemahan? Sebenarnya golongan sastera negara ini semacam ada hubungan cinta-benci dengan HSKU. Ada saja yang tidak kena. Asyik pemenang yang sama saja naik pentas. Aturcara majlis tak lancar. Persembahan kurang sesuai. Perasmi tidak digemari. Ada insiden wardrobe malfunction ala Janet Jackson. Makanan tidak sedap. Tempat duduk tidak kena dengan geng. Tiba-tiba ada genre bahasa asing. Ada pemberontakan terhadap aturcara. Dan lagi dan lagi.

Tapi ini semua perkara kecil. Di dalam kelemahannya, hanya HSKUlah yang paling konsisten dalam banyak segi dan itu menyebabkan ia menjadi begitu penting. Ada pertandingan yang menghadiahkan untuk novel remaja RM 3000! Berbaloikah? HSKU seboleh-bolehnya menambah hadiah setiap tiga-empat tahun. HSKU 1999, hadiah novel remaja tempat pertama RM 5000. HSKU 2000 naik RM 6000. HSKU 2007 naik RM 7000. Memangkah sedikit tapi HSKU dilaksanakan oleh syarikat akhbar, yang peruntukannya mereka kena cari sendiri. Tidak mengira ekonomi gawat atau tidak, HSKU tetap ada. Tidaklah sekejap tenggelam, sekejap timbul.

Dan di tengah-tengah kehebatan 'meletup'nya syarikat-syarikat yang jualannya deras, anda pasti tertanya-tanya kenapa ada juga yang masih setia menulis untuk HSKU terutamanya untuk kategori novel. Dan saya hanya boleh bercakap untuk diri sendiri. Saya mengajar Bahasa Inggeris di sekolah menengah, mempunyai dua anak kecil. Kehidupan saya amat sederhana. Saya memandu kereta Kancil yang tidak lagi dikeluarkan oleh kilang Perodua. Jadi saya tidak mengharapkan apa-apa untuk hidup ini kecuali dari mengajar budak sekolah untuk mencari rezeki, dan perkara-perkara kecil yang lain. Masalahnya, saya suka menulis. Menulis novel sajalah di mana saya tidak menyakiti orang lain dan tidak membuat kesilapan-kesilapan besar. Di tempat lain, saya selalu membuat masalah. Jadi saya tulislah. Apabila saya menulis, saya malas hendak buat promosi di blog. Biarlah. Maka saya mahu impak paling maksima dengan usaha paling minima. HSKUlah tempatnya. Promosi, jualan semua diuruskan oleh syarikat yang mengambil 90% hasil dan 10% diberi kepada saya. Cukuplah, lagipun Kancil saya dah habis bayar. Kalau saya nak 100%, saya kenalah reka kulit sendiri, cetak buku sendiri, binding sendiri, dan bina gerai tepi jalan untuk jual buku saya.

(Bersambung)

6 comments:

  1. Ziati,

    Harap info di sini boleh membantu. Hehe.

    ReplyDelete
  2. Tabik pada Kak Ayu yang sentiasa ada prinsip diri,tenang menghadapi situasi dan sangat komited menggalas tugasan yang diberi. Seorang yang sangat merendah diri tanpa mengambil tahu diri disanjungi. Kak Ayu merupakan antara mentor, idola dan tauladan saya sebagai seorang guru, ibu dan wanita. Syukur, saya bertemu dengan individu seperti Kak Ayu :)

    ReplyDelete
  3. Dinda,
    Mengapa tak maklum yang dinda ada blog? (Atau mungkin ada beritahu, tapi saya yang tak sedar?) Tahniah atas tulisan ini. Satu sentimen yang sama dirasakan oleh para penulis HSKU khusunya, yang pernah menyertai kategori novel.

    ReplyDelete
  4. Sulhaniza,

    Terima kasih. Majalah sekolah OK, insyaAllah. Silap sikit-sikit tu, kasi can le.

    Kak Nisah,

    Jumpa Sabtu ni. InsyaAllah.

    ReplyDelete
  5. "Kalau saya nak 100%, saya kenalah reka kulit sendiri, cetak buku sendiri, binding sendiri, dan bina gerai tepi jalan untuk jual buku saya..."

    Pembahagian yang saksama untuk semua tenaga kerja terlibat. Ye tak ye jugak

    az

    ReplyDelete