Thursday, June 24, 2010

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan: Boleh Ditembusi Penulis Baru (Bahagian 3)

Sekali diingatkan bahawa tulisan saya ini hanya menggambarkan pengalaman saya dalam HSKU dan bukan di tempat-tempat lain. Tulisan saya belum teruji sebegitu. Ada infiniti banyaknya gaya penulisan yang boleh ditulis, dan cadangan saya hanyalah salah-satu daripada pilihan yang berinfiniti.

Jadi, anda ada tema yang anda yakin boleh bawa, dan anda terbayangkan WWU yang mantap. Sekarang mungkin anda perlu berfikir untuk merangka PLOT/ JALAN CERITA yang kemungkinan boleh menarik minat panel hakim agar memberi peluang kepada manuskrip anda.

Saya suka membaca cerita/ filem yang plotnya "GO GO GO". Tiada masa untuk makan, tidur atau membeli-belah. Mungkin plot sebegini memberi tarikan kepada remaja yang begitu mudah terganggu tumpuannya. Cuba tulis plot go go go ini. Setiap perbuatan watak merupakan suatu pengejaran untuk sesuatu. Setiap perbuatan mempunyai natijah yang berat. Setiap perkataan yang diucapkan akan menentukan nasib seseorang.

Tapi janganlah sampai terlalu berorientasikan aksi sehingga lagak-lagak ngeri yang dilakukan tidak mempunyai sebarang nilai emosi. Ia akan jadi seperti filem aksi gred B. Letupan demi letupan, adegan kejar mengejar berturut-turut, tetapi pembaca tidak peduli dengan natijahnya atau lebih teruk lagi, tiada natijah langsung.

Mungkin plot go go go ini akan membuatkan cerita lebih dinamik, maka mempunyai nilai tarikan. Namun perlu dirancang dengan indah supaya ia berseni dan bukan akhirnya sekadar menjadi keganasan semata-mata.

No comments:

Post a Comment