Tuesday, June 1, 2010

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan datang lagi (HSKU 2009)

Kenapa seseorang penulis tertarik untuk menulis novel demi menyertai HSKU sedangkan banyak lagi syarikat penerbitan yang dapat memberi pulangan lumayan tanpa penulis memenangi sebarang pengiktirafan? Jawapannya ialah kerana pengiktirafan itu sendiri. Jika saya hanya mampu menulis satu novel untuk satu tahun, atau lebih teruk lagi menulis satu novel untuk 2 atau 3 tahun, baiklah saya menulis untuk HSKU. Jika saya ada rezeki dan menang mungkin saya akan mendapat ganjaran RM7000/ RM4500/RM3500. Kemudian saya akan mendapat royalti sebanyak 10% SEKALI sahaja pada tahun depannya, lebih kurang dalam bulan Jun, Julai. Dalam isu royalti juga suka saya memberikan petua kepada penulis-penulis dan bakal-bakal penulis yang belum pernah menulis untuk HSKU.

Petua-petua memohon royalti HSKU anda:
1. Jika anda mahu royalti dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, baiklah menulis surat rasmi kepada syarikat penerbitan empat bulan sebelum bulan Ramadan.
2. Tulis surat yang sopan, terus kepada niat dan pendek. Mereka selalu hendakkan sesuatu dalam hitam putih.
3. Royalti dibayar setahun sekali sahaja.
4. Royalti anda akan susut yang teramat apabila menjangkau tahun. Misalnya, saya pernah menang satu cerpen dan cerpen ini dimuatkan dalam antologi yang terbit pada tahun 2004. Pada tahun 2010, saya menerima royalti bernilai RM 0.40 untuk cerpen tersebut. Novel saya yang terbit pada tahun 2001, mengutip royalti sebanyak RM 13.00 pada tahun 2010.
5. Satu-satunya cara untuk meningkatkan royalti HSKU anda adalah dengan menulis dan menang HSKU setiap tahun selagi diizinkan Allah SWT dan selagi dikurniakan rezeki dalam bidang ini.

Selain dari royalti dari syarikat penerbitan, novel pemenang HSKU juga akan dibeli oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk dibekalkan ke perpustakaan desa di seluruh negara. Perjanjian dengan PNM lebih menguntungkan kerana PNM akan memberi 30% jumlah keseluruhan harga buku kepada penulis dan 70% kepada syarikat penerbitan. Rahsia yang ingin saya berikan di sini ialah, jika buku anda berharga RM 20.00 ke bawah, PNM akan beli sebanyak 1000 naskhah. Tetapi jika lebih walau satu sen pun dari RM 20.00, PNM akan beli sebanyak 500 naskhah. PNM biasanya akan menawarkan perjanjian ini dua tahun sekali melalui syarikat penerbitan.

Dan jika anda dikurniakan rezeki yang lebih oleh Allah SWT, novel anda memenangi Hadiah Sastera Perdana bagi kategori novel remaja dengan hadiah bernilai RM 5000.00.

Dan jika diizinkan Allah, dalam masa sepuluh tahun lagi, novel anda akan terpilih untuk menjadi teks KOMSAS. Dengar-dengar royalti bagi cetakan pertama bagi teks KOMSAS yang baru ialah RM 700 000 bagi seorang penulis. Kita hanya boleh berdoa untuk dikurniakan peluang ini. Namun sudah banyak novel HSKU yang terpilih untuk menjadi teks KOMSAS. Terbaru Renyah (Gunawan Mahmood, 1994), Melunas Rindu (Hartini Hamzah, 1998), Azfa Hanani (Halis Azhan Mohd Hanafiah, 1994). Yang lama Panas Salju (Talib Samat, 1994), Julia (Abu Hassan Murad).

Dan sepanjang-panjang artikel tentunya anda benci dengan taksubnya saya pada ganjaran materi. Jika ya, saya tidak taksub, tetapi setiap hasil yang kita keluarkan dengan titik peluh mestilah kita mengharapkan ganjaran yang setimpal, seumpamanya ia adalah suatu pekerjaan. Dan kedua, hidup perlu diteruskan dengan sedikit sebanyak memerlukan medium kewangan.

Tetapi sebenarnya, sewaktu menulis di atas garis-garis kertas kajang sambil menunggu ikan yang digoreng di atas dapur menjadi rangup, dan ketika mengetuk papan kekunci komputer pada jam 3 pagi, niat di dalam hati hanya supaya apa ditulis itu baik dan betul dan relevan, supaya manuskrip tidak dicampak oleh Sang Editor Makro ke sudut biliknya bersama-sama manuskrip tertolak yang lain.

(Bersambung)

1 comment: