Monday, September 17, 2012
MENCARI BAHAGIA SEBAGAI GURU (BAHAGIAN 1)
Jiwa Hampir Berkarat
Setelah mengajar selama berbelas tahun, sampai di satu tahap saya memerlukan sesuatu untuk membuatkan jantung saya berdenyut semula, kerana terlalu lama melakukan perkara yang rutin boleh menjadikan kita berasa seperti jiwa sudah mati. Saya tahu saya hanya mempunyai satu aktiviti yang membolehkan saya berasa seperti saya hidup semula, iaitu menulis skrip drama pentas bertema patriotik dan seterusnya memburu pelajar untuk dijadikan pelakon. Saya memulakan aktiviti ini semenjak tahun 2001 dan diteruskan sehingga tahun 2002 dan 2003. Kemudian saya berpindah sekolah dan memulakannya kembali pada tahun 2008 dan 2009. Kemudian sambutan bulan patriotik bertindih dengan Ramadhan dan Syawal, menjadikan saya sukar untuk menahan pelajar untuk latihan.
Kelas Baru, Pengalaman Baru
Tahun ini lebih kurang sama keadaannya. 31 Ogos disambut seminggu selepas 1 Syawal. Tetapi saya dihantui sesuatu yang tidak boleh saya lupakan. Tahun ini, saya mengajar sekumpulan pelajar yang istimewa. Istimewanyanya bagaimana? Mereka ketawa ketika saya membuat lawak, walaupun saya ini bukanlah orang yang kelakar. Mereka tidak segan silu melaksanakan cabaran-cabaran di dalam kelas. Mereka pandai mengambil hati guru dengan tutur kata yang baik. 98% pelajar menghantar esei / kerja rumah. Mereka juga tidak terlalu ber’klik’ dan pandai menyesuaikan diri. Mereka ini tidaklah sempurna kerana pelajar remaja itu penuh kerenah dan tidak boleh diramal namun saya tidak pernah merasa kepuasan mengajar seperti mengajar mereka sebelum ini. Kelas ini bernama 4 Alfa, class of 2012. Tetapi saya tahu sebaik sahaja saya menulis perkara ini, esok pasti ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku kepada saya dan 4 Alfa, percayalah. (Begitulah kehidupan! Bersedia untuk kelas 8.05 hingga 9.15 pagi)
Jadi, hati ini berdetik. “Aku ada budak-budak yang berpotensi. Aku nak mereka merasai salah satu pengalaman paling berharga dalam hidup mereka.”
Ketika ini, saya masih bercakap seorang diri lagi. Ramadhan belum pun tamat. Namun 31 Ogos terlalu hampir. Saya simpan perasaan meluap-luap dalam hati kerana saya merasakan yang sekolah tiada ruang untuk sebarang persembahan patriotik pada tahun ini. Tapi, oh budak-budak itu!
Tamatnya cuti Aidilfitri, hidup diteruskan. Seorang rakan guru tiba-tiba meminta saya menulis skrip untuk persembahan patriotik yang tarikhnya belum ditetapkan lagi. Apalagi! Saya melompat dan menawarkann diri untuk memberi pakej percuma kepada Panitia Sejarah – ditanggung beres dari mula sampai akhir. Akhrinya tarikh ditentukan pada 14 September 2012 dan saya tahu saya tidak boleh memandang ke belakang atau was-was lagi walaupun saya patah kaki sekalipun.
Adam?
Seorang pelajar 4 Alfa, Adam Putra (Adam Ricco - nama twitter) namanya, menawarkan diri menjadi tekong. Adam Putra ini pelakon hebat. Adam sudah memenangi anugerah pelakon lelaki terbaik peringkat daerah dan bakal mewakili daerah Hulu Langat di suatu tarikh yang belum ditentukan lagi.
Selain dari mesti bersedia untuk meluangkan masa setiap hari dari jam 1.30 sehingga 4.15 petang selama dua minggu, semuanya nampak sempurna. Tetapi cerita ini belum lagi berakhir… kerana saya akan kehilangan tekong saya dan tekong ini akan membawa pergi seorang lagi pelajar yang saya memang sudah impikan watak untuknya. Apakah yang akan berlaku seterusnya?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment