Sunday, October 14, 2012

PETUA MEMBERI NAMA WATAK

Adakah anda sedang menulis fiksyen? Jika ya, biarlah saya menemankan anda dengan satu petua memberi nama watak.


Dalam era globalisasi, lambat laun cerita kita akan memerlukannya dibawa oleh watak-watak dari negara asing, dan tiba masanya kita hendak menamakan watak kita dengan nama ‘orang putih’. Jika kita tinggal tetap di Malaysia, kita mengenali mat salleh (asalnya ‘mad sailor’) melalui TV dan filem. Apabila membayangkan watak orang Melayu sekalipun kita akan menggunakan wajah pelakon filem Melayu sekadar untuk membantu kita membina imej dalam minda. Tiada salahnya, kerana tiada sesiapapun tahu apa yang anda sedang imaginasikan.

Masalah timbul apabila memberi nama. Apabila kita sudah terlalu biasa dengan imej seseorang pelakon/ model/ tokoh dalam kepala kita, kita mahu namakan dia dengan nama itu. Katakan watak saya bertemu dengan seorang tua yang bekerja menjual aiskrim di Hawaii dan saya namakannya Ernest Borgnine (siri TV Airwolf, tahun 80-an)masih tidak mengapa kerana saya akan memanggil lelaki tua ini sebagai ‘Pakcik Ernest’ dan tidak memanggil nama penuhnya ‘Ernest Borgnine’. Lagipun, watak itu terlalu kecil.

Tetapi jika saya mahu memberi nama kepada primadona cerita saya dengan nama ‘Lindsay Lohan’ saya akan menemui masalah kerana nama itu terlalu terkenal, hanya kerana saya suka wajah tirus Lilo. Pembaca akan mempunyai imej yang tertentu yang dikaitkan dengan nama Lindsay Lohan dan ia sesuatu yang amat mengganggu pembacaan. Melainkan anda ingin mencapai sesuatu tujuan yang disengajakan. Contohnya anda menulis cerita parody, pastiche atau sejenis cerita lucu yang bertujuan menyindir. Novel ‘Tangisan Bulan Madu’ nukilan Samsiah Mohd Nor menggunakan nama ‘Bogart’ untuk watak heronya (yang akhirnya mati! Novel ini juga bersalah kerana menyebabkan saya mengedarkan kad kahwin saya lima hari sebelum kenduri kerana ‘fobia takdir’!) dan teknik ini menjadi kerana ia sebuah novel popular yang mahu pembacanya membina imej hero yang ada ‘swagger’ dan karisma seperti Humphrey Bogart. Tetapi untuk sebuah fiksyen serius, yang mempunyai wawsan dan ideologi yang lebih tinggi dari membina angan-angan, penulis dinasihatkan supaya memberi nama watak dengan cara yang lebih teliti dan di dalam sedar.


The Complete Book of Baby Names - RM 40 di Popular

Mencari nama pelbagai bangsa boleh dilakukan dengan mudah di Internet. Tetapi saya suka menggunakan buku nama bayi (dan membuat suami saya tertanya-tanya). Siapa tahu yang nama Peter membawa maksud ‘sekeras batu’ dalam bahasa Greek? Siapa tahu Channary membawa maksud ‘bulan penuh’ dalam bahasa Cambodia?

Selamat menulis!

4 comments:

  1. Suatu perkongsian yang menarik Puan Sri. Seringkali juga, nama watak menjadi kekuatan sesebuah karya hingga diangkat menjadi judul. Watak yang diberi nama juga haruslah bersesuaian dengan tema, latar tempat, masyarakat agar karya itu terasa lebih jujur dan logik.

    ReplyDelete
  2. Helmi,

    Terima kasih atas penambahan idea.

    ReplyDelete
  3. Selamat Hari Raya Aidiladha, Puan Sri.

    ReplyDelete
  4. Terima kasih cikgu kerana sudi berkongsi pengalaman memberi nama kepada watak dalam cerita :D!

    ReplyDelete