Bulan Ramadhan al-Mubarak dengan segala keberkatan yang dikurniakan Allah SWT membawa saya lebih rapat dengan tangungjawab saya sebagai seorang penghuni alam yang baik. Ingin saya katakan bahawa Ramadhan ialah bulan yang mesra alam. Sebagai seorang yang mempunyai kesedaran mesra alam pada skala 6/10, saya mahukan senaraikan sifat-sifat Ramadhan yang mesra alam.
1. Bulan Ramadhan adalah bulan penjimatan.
Konsep mesra alam yang paling mudah dan sepatutnya di war-warkan adalah penjimatan. Konsep kitar semula dan guna semula dilakukan selepas konsep penjimatan tidak dapat dilakukan lagi. Manakala pembaziran adalah perbuatan syaitan. Orang yang membazir adalah sahabat syaitan. Ramadhan menuntut saya memasak sepenuhnya, sehingga air untuk berbuka juga saya buat sendiri – cincau, cendol, air nanas, semuanya dimasak sendiri. Jika saya tergoda untuk ke bazaar Ramadhan, saya akan merana kerana terpaksa memasak dari mula jam 4 pagi. Apabila memasak sendiri semuanya jimat. Dan lebih baik, tiada sampah plastik dari gerai.
2. Bulan Ramadhan bukan bulan untuk berlibur.
Pada bulan Ramadhan kita mengajar anak-anak untuk duduk di rumah, membaca buku, buat kerja sekolah, menonton TV cerita yang baik-baik, mengaji, melukis dan tidur. Tiada lagi desas-desus hendak pergi ke kolam mandi, taman, kedai mainan. Penggunaan petrol dapat dikurangkan. Kenderaan digunakan untuk ke tempat kerja, mengambil anak dan dua kali balik kampung.
3. Bulan Ramadhan adalah bulan untuk bersedekah.
Bersedekah adalah amalan yang mendatangkan ketenangan jiwa. Jiwa yang tenang tidak akan mengkehendakkan benda-benda duniawi seperti pakaian yang cantik, kasut dan beg tangan baru, set langsir baru, perabut baru. Apabila kita banyak memberi dengan ikhlas, kita akan dapati kita tidak perlukan benda-benda yang tiada makna itu semua. Tapi ingat, jika mahu bersedekah, sedekahkan benda-benda yang baik. Bukannya benda-benda yang kita pun tidak suka menggunakannya lagi. Jika kita tidak suka menggunakan sesuatu, apa pula perasaan orang yang menerimanya? Contohnya baju yang telah terpakai. Janganlah diberikan kepada orang. Buat kain buruk supaya rumahtangga tidak menggunakan kertas tisu. Sedekahkan jika anda membeli baju baru, tapi tiba-tiba tidak kena pada tubuh kerana anda telah menjadi semakin kurus kerana berpuasa. Ataupun anda telah belikan anak gadis anda tudung sebanyak 3 helai, dan anak gadis anda berkata 2 helai sudah cukup. Sedekahkanlah satu tudung manik Swarovski yang cantik itu. Percayalah, apabila kita boleh berpisah dengan nikmat kebendaan, kita tidak akan perlu lagi benda-benda untuk tatapan deria di dunia fana ini.
Catatan: Sri Rahayu Mohd Yusop adalah seorang pekerja institusi dan pengurus rumahtangga yang berjiwa mesra alam. Beliau menyokong usaha-usaha pengurusan hubungan manusia dan alam yang lebih baik dan lebih cekap.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
aye Shrey tis but true what you have scribbled! I concur and I second every motion in motion!
ReplyDelete