Di tengah kemeriahan Aidilfitri di mana kita semua terdedah dengan segala bentuk pembaziran, saya ingin memberi petua-petua mesra alam sempena Adilfitri.
1. Jangan beli baju raya.
Sungguh. Jika anda guna baju ke tempat kerja, pakcik dan makcik anda takkan tahu. Saya juga tidak tahu budaya boria satu keluarga dimulakan oleh siapa.
2. Jangan beli kasut raya.
Tidak seperti orang Barat yang memakai kasut ke dalam rumah, kita akan meninggalkan kasut di luar rumah orang yang diziarahi. Tiada siapa tahu itu kasut tumit baldu Manolo Blahnik anda. Lebih teruk lagi, Manolo anda akan dipijak oleh puluhan budak kecil yang berlari keluar setelah mendapat duit raya. Pakai sandal murah pun sudah cukup elok sebenarnya.
3. Jangan beli baru, tapi bersihkan.
Ini untuk sarung kusyen, permaidani, langsir, pelbagai jenis ambal, perabut, dinding. Saya percaya kawan-kawan anda tidak secetek yang anda sangka untuk menilai anda berdasarkan dekor kediaman anda.
4. Jangan guna sampul duit raya.
Membazir saja. Jika hendak beri sepuluh ringgit, hulur sepuluh ringgit, tapi lipat kecil sikit supaya tidak nampak bermegah-megah. Sampul itu pun akan dibuang di tangga rumah. Sakit hati melihatnya.
5. Kongsi kereta apabila menziarah sanak-saudara.
Jika kereta kita besar – MPV, SUV, apa salahnya tawarkan pada sanak-saudara pergi menziarah bersama. Penuhkan kereta ikut kapasiti penumpang yang sepatutnya – jangan terlebih pula sehingga boleh menyebabkan kemalangan. Semoga dijauhkan Allah! Apabila kita membawa saudara-mara kita melatih diri kita supaya tidak risau bayi kakak kita muntah atas kulit lapik kusyen. Apa salahnya ada tompok muntah di atas kulit lapik kusyen. Duniawi, duniawi semata-mata. Kereta besar tapi tiada siapa mahu naik kerana kebengkengan anda adalah seperti rumah besar dan indah yang tidak mendatangkan keberkatan.
6. Kurangkan belanja, banyakkan sedekah.
Semua penjimatan yang kita lakukan akan membawa kepada kemampuan kita untuk lebih banyak bersedekah. Saya suka membezakan wang belanja dengan wang sedekah. Sedekah bukan dikira wang belanja. Kadangkala sedekah tidak perlu jauh-jauh – Pakistan, New Zealand. Tapi di kalangan ahli keluarga kita sendiri. Kita tahu ada di kalangan adik-beradik kita yang selepas raya belanja mereka akan jadi lebih ketat kerana rezeki mereka tidak sama dengan apa yang anda ada. Janganlah berkira sangat. Jangan dikira sebagai pinjaman. Semoga Allah SWT murahkan lagi rezeki kita, kurniakan kita kesihatan yang baik dan panjangkan usia kita.
Catatan: Penulis berkongsi petua untuk juga mengingatkan dirinya sendiri supaya tidak terjerumus ke lembah pembaziran dan kesombongan dengan rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Kak Sri, pesanan yang sangat bermanfaat. Kurangkan berbelanjan dan banyakkan bersedekah!
ReplyDeleteSalam Faizah,
ReplyDeleteTerima kasih kerana sudi membaca. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri. Semoga selamat pulang dan selamat kembali.
Salam Puan Sri,
ReplyDeleteSaya juga tidak tahu budaya boria satu keluarga dimulakan oleh siapa.
Haha! Saya pun sama, kerana agak rimas dengan budaya ini. Nasib baik suami pun sekepala :-p
Selamat menyambut Aidil Fitri 1431H. Dengan ingatan tulus ikhlas, saya memohon maaf zahir dan batin sekiranya (ataupun sememangnya) telah melukakan perasaan puan selama ini.