Sunday, November 21, 2010

ADAPTASI SEJARAH: Risiko dan cabaran

Polemik adaptasi sejarah ke dalam bentuk seni tiba-tiba muncul kerana Natrah. Semua orang tahu apa yang terjadi. Jarang-jarang berlaku, satu konflik berbau sastera tiba-tiba masuk dalam media arus perdana.


Seperti mana sebuah peristiwa sejarah, tiada siapa akan tahu apa sebenarnya berlaku. Kerana tiada siapa mempunyai pandangan omnisien. Segala apa yang kita dengar, baca, lihat dipersembahkan oleh sumber-sumber yang ada agenda tersendiri. Sumber perdana sendiri mempunyai agendanya. Bagi saya, tiada wujud kebenaran jika ia berkenaan hal-hal yang bukan berkaitan hidup dan mati. Yang wujud hanyalah perspektif.

Pada mulanya saya sangkakan ia mengenai wang, seperti mana dalam kebanyakan hal. Mungkin ada pihak yang tidak mendapat ganjaran setimpal. Selepas itu saya menyangka ia mengenai pengiktirafan. Mungkin ada pihak yang tidak diiktiraf seperti yang dia layak. Kemudian, saya menyangka yang ia adalah mengenai sifat suka membuat kacau. Memang sesetengah orang suka buat hal. Dalam apa-apa situasi pun akan membuat kacau – dalam forum, selepas majlis, dalam akhbar, dalam blog. Saya namakan orang sebegini sebagai seorang ‘heckler’. Sebaik-baik ‘heckler’ menghidupkan majlis. Seteruk-teruk ‘heckler’ membuatkan orang rasa menyampah. Lebih teruk lagi jika si heckler menganggap yang dia adalah tuan punya sejarah sedang memburu sejarah itu adalah kehendak dalam diri yang dipacu oleh perspektif dan pemikiran masing-masing. Jantina anda, bangsa anda, agama anda, umur anda, latar belakang anda mempengaruhi cara anda melihat sejarah.

Sebagai penulis yang suka menggunakan bahan-bahan sejarah, kita masih selamat. Takkan lah sekadar saya tulis novel 160 mukasurat saya terpaksa melantik seorang konsultan. Malahan, tidak pernah lagi saya baca buku cerita yang mempunyai nota kaki (nota kaki sebenar bukan rekaan) dan bibliografi di muka surat belakang.

Mungkin masalah berlaku kerana bentuk naskhah itu ialah skrip teater yang telah dipentaskan. Ia tidak jadi masalah jika ia sebuah cerpen, sebuah sajak, syair, atau novel. Ada apa dengan teater sehingga ia menjadi sasaran. Jika ia sebuah skrip yang hanya tersiar di Dewan Sastera ia takkan jadi sasaran seperti ini.

Akhirnya, saya membuat keputusan yang ianya adalah tentang sifat ego dan sifat naif. Seseorang merasakan yang dia tuan punya sejarah. Dan seorang lagi menyangka yang tuan punya sejarah akan diam sahaja.

Nasihat saya kepada diri sendiri: Pertama, tulis tentang sejarah yang betul-betul terlalu lama sehingga tidak boleh dikenalpasti asal usulnya. Mungkin dalam lingkungan 200 hingga 500 tahun dahulu. Kedua, jangan tulis sejarah yang terlalu popular kerana ditakuti tuan punya sejarah bersuara dan saya tak dapat menanganinya. Tapi, selagi anda boleh, tanganilah!

6 comments:

  1. Assalamualaikum Puan Sri Rahayu, mohon bertanya dan meminta pandangan. Bagimana pandangan puan berkenaan dengan tulisan Tuan Abdul Latip Talib?

    ReplyDelete
  2. Ahmad Zahiruddin,

    Saya belum membaca tulisan Tuan Abdul Latip Talib yang berunsur sejarah. Saya hanya membaca karya beliau di HSKU. Dengan rendah hati, saya tidak boleh memberi pandangan. Namun sebab saya tidak tertarik kepada karya sejarah beliau ialah kerana saya BERANGGAPAN yang ia adalah satu penceritaan semula dari pelbagai sumber yang beliau baca maka saya tidak membeli buku-buku tersebut. Saya mungkin silap.

    ReplyDelete
  3. Puan Sri,

    Saya ada jumpa buku cerita yang meletakkan nota kaki, tapi tidak bibliografi, iaitu The Tales of Beedle The Bard karangan JK Rowling. Buku cerita dongeng ini disebutkan dalam The Deathly Hallows, maka ia seperti cerita dalam cerita.

    ReplyDelete
  4. Nana,

    Terima kasih. Seperti juga 1515 Faisal Tehrani.

    ReplyDelete
  5. Puan Sri: Saya kira, masalahnya bermula tatkala sebuah karya yang lain dihasilkan dengan alur, kisah dan judul yang hampir serupa, sebaik sahaja sebuah karya sebelumnya telah muncul.

    Misalnya Puan telah terbitkan sebuah novel berjudul "Bukan Legasi Lalang", kemudiannya saya menulis dan terbitkan pula sebuah drama berjudul "Bukan Legasi Lalang" yang kisah, alurnya juga serupa.

    Walau tidak seratus peratus persis ayat demi ayat di dalam karya saya itu, yang membolehkan saya disaman atas nama peniruan.

    Juga, katanya judul tidak tertakluk di bawah akta hakcipta. Jadi bisa jadi sama judulnya. Jadi bisa bebas disalin atau ditiru seenaknya.

    Ini manusia yang serakah dan sanggup berbuat tanpa sedikit pun rasa malu.

    Rasa saya di situlah permulaan masalahnya.

    MARSLI N.O

    ReplyDelete
  6. Tuan Marsli NO,

    Saya pun merasakan yang serakah akan wang/ganjaran lain adalah punca utama.

    Selamat mengembara ke Timur Jauh dan semoga selamat kembali.

    ReplyDelete