Friday, November 12, 2010

SANGSI AKAN KARYA SENDIRI: Apa ikhtiar penulis?

Pernahkah anda sangsi akan karya anda sendiri? Saya akan menghadapinya setiap kali hampir siap menulis sesuatu cerita. Terutamanya ketika dalam proses melakukan penyuntingan ejaan dan tatabahasa.


SUDUT
Apa yang menyebabkan saya sangsi ialah apabila munculnya bahan-bahan baru yang saya terjumpa di suratkhabar atau Internet. Apabila saya membaca bahan baru ini tadi, saya mendapati yang sudut, ideologi dan falsafah yang saya bawa dalam cerita saya tidaklah seperti bahan baru yang saya baca. Saya pun mula mempersoalkan sudut yang saya bawa. Adakah sudut saya ini cukup penting untuk diketengahkan? Adakah sudut saya ini betul dan tidak menyeleweng? Ditakuti jika sudut saya ini terlalu popular sehingga ia kelihatan dipengaruhi oleh unsur-unsur kebaratan atau unsur-unsur komersil yang sebenarnya akan merendahkan kualiti ideologi cerita saya. Jika saya mahu mengubah sudut cerita saya, mampukah saya melakukannya hanya dengan apa yang saya tiba-tiba saya dapat itu? Bolehkan saya mengubah sudut cerita dengan jayanya setelah saya menulis begitu banyak dengan sudut yang saya mesra pada permulaannya? Atau saya mesti teruskan dengan apa yang saya ada kerana saya yakin dengan sudut falsafah yang pada mulanya saya tulis. Tidak semestinya saya perlu mengubah cerita saya hanya bersandarkan satu bahan bacaan yang tiba-tiba muncul dan saya tidak yakin langsung dengan potensi bahan tersebut. Lagipun saya rasa sudut yang saya bawa itu tidaklah menyeleweng dari segi akidah dan dari segi pemikiran manusia rasional. Cuma yang saya takut ialah ia tidak diterima oleh panel hakim sebagai karya yang membawa sudut yang paling baik. Dengan erti kata lain, ditakuti saya mempunyai bahan yang bagus, tapi cara saya membawanya tidak cukup baik.

TEKA-TEKI
Inilah cabaran menulis untuk sayembara. Penulis sentiasa berteka-teki tentang apa yang dikehendaki oleh panel hakim. Memanglah tiada isu yang dimestikan untuk ditulis, tapi kita trertanya-tanya apa yang baik untuk sayembara tersebut. Dan bayangkan apa pula yang ditulis oleh pesaing kita. Adakah mereka lebih maju, lebih segar, lebih mencabar minda? Laporan panel hakim pula hanya bersifat retrospektif. Ia memberi kritikan tentang apa yang telah ditulis, dan bukannya apa yang panel hakim harap akan ditulis.

IKHTIAR
Dalam menguruskan kesangsian dalam fikiran ini, saya terkenangkan apa yang diceritakan oleh Editor Gaban UP&D, Pn. Nor Azah Aziz. Beliau menceritakan yang sasterawan Azizi Hj Abdullah menguruskan perasaan sangsinya ketika menulis novel Kawin-Kawin dengan selalu melakukan solat istikharah. Siapa kata solat istikharah hanya untuk soal jodoh sahaja? Di kala sangsi menulis juga bermanafaat. Menulis novel juga bagai hendak mencari jodoh, bahkan lebih berat dari isu mencari jodoh. Apatah lagi karya yang kita tulis kekal bersama kita sepanjang hayat dan membawa sehingga ke mati. Manakala jodoh dengan manusia pula mungkin putus dengan bercerai hidup ataupun akhirnya putus jua dengan bercerai mati. Novel yang ditulis, selagi manusia membacanya, kebaikan atau keburukan yang dibawa akan kekal bersama kita sehingga ke akhirat!

7 comments:

  1. Usah bayangkan tentang pesaing ... :-)
    Saya selalu bayangkan mahu segera siap saja.
    Tersiksa sekian lama.
    Mahu tidur lena.

    ReplyDelete
  2. Salam Ustaz,

    Jika begitu hangatlah sayembara tahun ini!

    ReplyDelete
  3. Puan Sri,
    memang hangat.
    Tapi saya sudah menyejukkan diri awal-awal lagi.
    :-)

    ReplyDelete
  4. Salam.

    Wah, sungguh terseksa menulis untuk sayembara, ya?

    Puan, kalau boleh, puan tulislah secara konsisten selain untuk sayembara juga. Saya penatlah menunggu karya puan setiap tahun :-( Betul-betul macam pungguk rindukan bulan. Kadang-kadang macam ketagih pun ada juga (nasib baik puan dah ada blog ni, kuranglah sikit ketagihan tu).

    ReplyDelete
  5. Ustaz Zaid,

    Ustza dah nak sejuk dah. Saya belum sejuk lagi. Lagipun cuti sekolah baru mula!

    Nana,

    Hajat di hati memanglah hendak menulis secara prolifik. Namun, jika membaca bahan kajian saja mengambil masa berbulan-bulan, saya mesti realistik. Tapi jika masa depan jadual saya akan menjadi lebih lapang, siapa yang tahu? Mungkin...

    ReplyDelete
  6. Menulis sambil mengkaji memang melelahkan. Banyak yang perlu di rujuk dan di baca. Itupun ada yang kata karya picisan. Lebih letih melayan manusia begini berbanding menukang karya...

    ReplyDelete
  7. Norziati,

    Oleh itu saya harapkan pengkritik lebih spesifik. Nyatakanlah karya mana yang picisan selepas membacanya. Jangan main hentam saja. Padahal baca pun tidak. Jika saya tidak baca sesuatu karya, saya takkan buka mulut. Diam sajalah. Biar apa orang nak kata. Dah tak baca, nak buat macam mana?

    ReplyDelete