Monday, November 8, 2010

DATA: JANGAN SAMPAI HILANG!

Pulang saja dari kampung mertua, saya pun menyelongkar beg tangan yang isinya pelbagai. Ubat demam anak, ubat demam ibu bapa, sikat, mainan, semua keluar. Dan yang paling mengejutkan thumbdrive saya yang dipenuhi pelbagai kerja profesional dan hobi saja-saja sedang melekat dengan 'fridge magnet' yang dibeli di Menara Taming Sari. Hati berdebar-debar. Apa akan jadi dengan segala kerja saya? Saya masukkan segera thumbdrive ke komputer dan memeriksa.

Data masih ada. Namun dalam bentuk Read-Only. Saya salin dan tampal semua fail tersebut. Kemudian saya cuba guna thumbdrive tadi semula. Boleh digunakan. Tetapi setiap kali masuk ke komputer lain, ia akan jadi Read Only. Memang semua orang tahu yang yang benda data tidak boleh hampir dengan bahan-bahan magnetik. Selama ini saya berhati-hati dengan tanda nama bermagnet yang tidak merosakkan tudung. Tapi akhirnya, terkena dengan magnet peti sejuk.

Namun, saya bernasib baik. Jadi, saya akan ambil langkah-langkah ini supaya data terpelihara, terutamanya di saat-saat genting.

1. Jangan bagi anak main komputer orang dewasa.  Kalau hendak cari masalah bolehlah berkongsi komputer dengan budak-budak.

2. Draf pertama dalam tulisan tangan adalah jaminan yang paling selamat. Melainkan ada seseorang nak sabotaj anda dan mengambil buku tulisan anda. Dan itu adalah mustahil kerana siapalah nak sabotaj penulis yang menulis sekali-sekala?

3. Buat banyak salinan. Salin di thumbdrive lain. Salin dalam laptop, desktop. Cetak setiap draf. Kita tak tahu apa yang mungkin berlaku kepada data itu. Namun, kadangkala terlalu banyak salinan juga mengambil masa hendak diurus. Tak ingat dah salin ke belum. Ini draf yang ke berapa? Dan sebagainya.

4. Jangan lupa, setahun sekali perbaharui anti-virus.

Di waktu kepala memang sudah sedia pening, janganlah pening dek kerana kehilangan data!

7 comments:

  1. cara paling mudah, buka akaun e-mail kedua dan hantarkan data tersebut ke akaun tersebut. Biarkan sahaja tersimpan di internet. Cara ini paling efektif kerana kita akan tahu tarikh mana awal dan mana terkemudian. Satu perkara lagi, anti virus memang menjamin tapi belum terjamin semua. Ada yang berjaya ditembusi virus trojan. Tetapi yg paling utama jika tumb drive atau laptop hilang. Saya pernah mengalami sebuah laptop yang mengandungi skrip-skrip drama yg mencapai ratusan jumlahnya hilang ketika pejabat dipecah masuk pencuri. Rasa hendak menangis ketika itu...

    ReplyDelete
  2. penulis kehilangan buku catatan ibarat si buta kehilangan tongkat.
    :-)
    memang menyakitkan.

    ReplyDelete
  3. Salam.

    Selain simpan dalam emel, puan boleh juga gunakan Document Management System percuma macam Scribd. Dokumen boleh disetkan privacy-nya, dan boleh juga muat naik versi dokumen yang terkini dalam fail yang sama.

    ReplyDelete
  4. Nana & Mohammad Kholid,

    Terima kasih berbanyak untuk info berguna tadi. Simpan pada emel/ DMS! Penyelesaian simple yang paling bernas yang pernah saya fikirkan!

    Ustaz,

    Memang betul. Buku catatan memang mempunyai sentimental yang mendalam.

    ReplyDelete
  5. Salam, Cikgu Sri,
    Saya baharu sahaja kehilangan sebuah thumbdrive yang penuh dengan maklumat (ROSAKKKKK!!!!!).

    ReplyDelete
  6. Simpan di dalam e-mel memang antara cara yang saya lakukan. Lagipun kalau guna Gmail, ada google doc. Boleh simpan di situ dan boleh akses dari mana-mana komputer yang ada internet.

    Kalau menulis novel, saya simpan satu bab dalam e-mel yang berlainan. Mudah untuk dicari semula. Kalau simpan dalam dalam pendrive atau komputer, saya biasa menulis satu bab dalam satu fail. Apabila sudah siap, baru saya pindahkan kesemua bab di dalam satu fail. Amat berguna apabila sudah sampai ke bab yang ke-27 (misalnya), tiba-tiba nak baca semula bab 11. Jadi terus sahaja ke fail yang ditandakan, tak perlu nak scroll up/down mencari bab. Jimat masa sikit.

    Kalau pendrive rosak atau laptop hilang, redha dan berfikiran positif : Allah mahu kita lupakan yang sudah hilang itu, dan mahu kita menulis sesuatu yang lebih baik daripada itu.

    ReplyDelete
  7. Kak Nisah,

    Ehm. Dah sampai bab 27 tu... !

    Cikgu Nizar,

    Macamana boleh sampai jadi macam tu? Terkena nametag bermagnet ke? Saya rasa sudah masanya cikgu-cikgu mengupdate cara penyimpanan data!

    ReplyDelete