Thursday, October 7, 2010

KATEGORI NOVEL REMAJA HSKU 2010: RENUNGAN & MENUNGAN

Kategori Novel Remaja HSKU adalah suatu sayembara yang pelik. Tahun ini misalnya, saya belum lagi melihat sebarang siaran di akhbar atau di Internet yang mempromosikan pertandingan ini. Sebenarnya, jarang-jarang ada iklan tentang KNR HSKU di media. Kategori ini seperti kategori mistik – tiada pengumuman tetapi ia ada. Pengetahuan mengenai sayembara ini seolah-olah adalah pengetahuan yang diturunkan dari generasi ke generasi, dari orang-orang tertentu kepada orang-orang yang dikenali. Saya tidak rasa pelik apabila bilangan manuskrip yang masuk saban tahun semakin kurang.


Pertama kali
Pertama kali saya menghantar manuskrip untuk HSKU pun bukan kerana iklan. Saya ingat lagi, tahun 1999, saya masih belajar lagi di Kuala Lumpur. Hujung minggu, jalan-jalan seorang diri dan naik bas ke Bukit Bintang Plaza. Niat di hati (setelah membaca buku Writer’s Guide) nak buat market research. Tahun 1999, tak banyak novel Melayu. Tidak macam sekarang. Saya singgah ke MPH dan selak-selak buku di rak Melayu. Saya ingat menyelak novel Wira Pesona Avatari, Pia, Ekspedisi dan Harga Luka. Saya suka lukisan di kulit dalam dan saya dapat rasakan novel-novel ini terkeluar dari lingkungan popular tapi istimewa. Sudah jadi kebiasaan, saya membawa pensel dan kertas A4 dilipat dalam poket dan saya mencacat alamat penerbit di dalam novel tersebut.

Manuskrip
Setelah manuskrip saya siap pada tahun 2000, saya bungkus ia dan tulis alamat penerbit. Saya tambah saja ‘Ketua Editor Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.’ Setelah saya poskan, saya terus tidak tahu apa nasib manuskrip itu sehinggalah pertengahan tahun 2001.

Demi masa
Renungan dan menungan ini sengaja saya ketengahkan untuk menggalakkan penulis-penulis di luar sana memeriahkan KNR HSKU 2010. Ada 83 hari lagi. Mari menulis.

10 comments:

  1. Di mana ye saya boleh dapatkan maklumat lanjut?

    ReplyDelete
  2. salam puan sri,
    saya juga pernah tercari-cari iklannya sewaktu pulang belajar dari Jordan dulu. novel-novelnya ada terbit, tetapi bagaimana/bila pertandingan itu dilaksanakan menjadi misteri.

    saya agak bernasib baik kerana mengambil Diploma Pendidikan di UIAM dan sempat tinggal selama setahun di KL seterusnya bergaul dengan kelompok sastera. Namun KNR HSKU ini hanya saya dapat tahu menerusi seorang teman yang pernah mengikuti Klinik Novel Remaja Utusan dan sempat menghantar satu penyertaan pada tahun 1999 namun tidak berjaya.

    Apabila saya menghadiri Klinik Novel Remaja Utusan 2000 (yang diiklankan di akhbar) di PWTC tatkala Pesta Buku 2000 berlangsung barulah saya jelas tentang peraduan ini.

    ReplyDelete
  3. Salam Zaid,

    Terima kasih kerana berkongsi pengalaman. Ustaz bertuah kerana dapat menyertai klinik tersebut. Tapi nampaknya sejak kebelakangan ini, tiada lagi klinik untuk HSKU. KNR HSKU memang salah satu misteri terbesar dunia sastera Malaysia!

    Salam Ibnu Jamaludin,

    Malangnya, sangat sedikit maklumat rasmi boleh didapati di Internet. Cuba Utusan Melayu online. Ada satu heading untuk HSKU. Maklumat-maklumat tidak rasmi boleh didapati di blog-blog penulis yang menang KNR HSKU. Carilah di enjin carian sepuas-puasnya!

    ReplyDelete
  4. Lalu atas sifatnya yang sangat misteri itu, hanya penulis yang benar-benar bersungguh-sungguh akan menyertainya. Saya setuju dengan pendirian pihak penganjur yang membiarkan penganjurannya terus menjadi misteri. Lantas, ini secara tidak langsung akan menyaring lambakan novel yang oleh penulis yang sekadar 'mencampakkan' manuskrip dan mengharapkan untung-untung sabut. Namun, penulis yang bersungguh-sungguh biasanya prihatin dan mengikuti perkembangan sastera tanah air. Seperti apa yang Ayu lakukan - dengan menyalin nama dan alamat penerbit - itu suatu sikap ambil tahu yang amat bersungguh-sungguh.

    Masuk lagi tahun ini? 83 hari tu memang sempat siap jika setiap hari menulis!

    Kepada sdr Ibnu Jamaludin, membaca blog ini dari mula hingga akhri juga sdr akan dapat banyak maklumat tentang KNR HSKU. Kasihanilah tuan punya blog. Takkan mahu biarkan dia mengulang entri-entrinya yang terdahulu.

    ReplyDelete
  5. Salam Kak Nisah,

    Puan telah memberikan pandangan yang tidak pernah saya jangka. Ya jugak, kan?

    Tinggal 78 hari lagi, Kak Nisah!

    ReplyDelete
  6. Hmm,
    memang jodoh Puan Sri pun bermula dengan KNR HSKU kot.

    hihihi.
    misteri... misteri

    ReplyDelete
  7. Wah, Zaid Akhtar yang terkenal itukah yang menulis di sini??? Shrey! Shoulders with rich and famous !!!
    -youknowwhowearekid, 122FredSt-

    ReplyDelete
  8. Jules, Yoose, Jyss, Has,

    Please follow me, kids. As you can see I lack fans!

    Salam Ustaz,

    Jodoh jangan ditolak. Musuh jangan dicari. Yang misteri biar terus misteri.

    ReplyDelete
  9. Salam Puan Rahayu. Teruskan menulis. Saya telah membaca karya terkini Puan-Impuls/Roh. Sedikit kekurangan saya dapati dlm novel itu. Harap Puan Rahayu blh baikinya dlm sayembara akan datang. Saya amat menggemari hasil tulisan Puan kerana ia bersifat segar dan Puan punyai bnyk isu yg ingin diketengahkan. Teruskan menulis.

    ReplyDelete
  10. Anonymous,

    Terima kasih. Saya akan cuba memperbaiki kelemahan supaya tidak mengecewakan pembaca dengan karya yang seterusnya. InsyaAllah ada umur, kesihatan dan kelapangan.

    ReplyDelete