Sunday, October 3, 2010

MENULIS: SUSAH HENDAK MULAKAN AYAT PERTAMA

Baiklah. Anda sudah ada semuanya – ilham (terima kasih Cikgu Nizar), bahan kajian, peralatan dan akhirnya anda mendapat ruang dan peluang untuk bersendirian dan menulis. Namun, anda sukar hendak memulakan ayat yang pertama. Apa yang anda fikir semuanya tidak kena – tidak gramatis, tidak tepat faktanya, tidak mantap wataknya. Macam-macam kesilapan sudah menakutkan anda sebelum anda boleh menulis ayat pertama. Ini terjadi kerana anda berfikir tentang novel anda yang telah siap. Anda teragak-agak hendak memulakan kerana tidak mahu melakukan kesilapan, maka tidak jadilah novel anda seperti yang diidamkan.


Saya mesti keluar dari kepompong takut buat silap seperti di atas. Saya akan melakukan kesilapan yang banyak. Namun, ini adalah draf pertama. Mestilah ada yang silap. Yang penting saya mesti tulis dan merealisasikan babak –babak dalam minda saya. Saya akan gunakan langkah-langkah ini:

1. Tulis apa yang saya nampak dalam fikiran saya.
Ayat yang saya tulis akan berbunyi lucu, bahkan hanya seperti catatan sebuah diari. Contohnya. “Aku nampak sekumpulan budak-budak duduk di lereng bukit. Ada lima belas orang semuanya. Semua budak sekolah rendah. Ada tiga orang dewasa dengan mereka. Mungkin itu adalah cikgu mereka.Oh ya, budak-budak kecil tu semua datang dari Sweden.” Memang biasa. Bukan ayat-ayat tulisan sastera. Macam pemerhatian biasa saja. Cuma yang tak biasanya, itu adalah catatan khayalan saya. Terus buat macam ini sehingga anda rasa anda takkan berhenti menulis.

2. Mula dari babak penting.
Kadangkala kita hanya satu babak penting. Itulah satu-satunya imej yang bermain dalam fikiran. Katakanlah, saya terbayangkan seorang pemuda yang tiba-tiba terbangun dari tidak sedarkan diri dan berada di satu tempat ganjil. Saya akan tulis ke belakang dan ke depan dari babak tersebut. Kebelakang: Siapa budak tu? Kenapa dia kat situ? Tadi dia tidur ke dia pengsan? Macamana dia boleh ada kat situ? Siapa bawak dia? Ke depan: Macamana keadaan tempat tu? Lepas ni dia nak buat apa? Dia nak pergi mana? Dia suka ke tak tempat tu?

3. Tulis dialog dulu.
Tulislah perbualan watak-watak tanpa menulis gambaran tempat dan orang. Plot mungkin dapat berkembang melalui dialog, insyaAllah.

Sekali sahaja anda termasuk dalam dunia baru ini sedang anda menulis, insyaAllah anda takkan berhenti.

2 comments:

  1. Saya setuju dengan ini. Tulis apa yang terlintas di kepala. Tak perlu fikir dahulu tentang tatabahasa, langgan bahasa, ayat yang cantik, penjodoh bilangan....

    Biasanya karya akan melalui proses penyuntingan berkali-kali sebelum ia menjadi karya yang cantik. Menulis tidak susah tetapi bila mahu menyunting, mahu makan satu tahun juga. Malah lebih sukar dan memelahkan.

    ReplyDelete
  2. Norziati,

    Betul tu. Tulis secara terus memang mudah. Tapi bahagian mengedit yang susah.

    Tinggal 77 hari lagi. Apa kata anda?

    ReplyDelete