Friday, October 1, 2010

MENULIS: DI MANA & BILA?

A room of her own - Jane Austen had it easy.
Apabila idea telah terbentuk dan kajian telah dibuat, saya akan menyediakan peralatan menulis. Semuanya saya letak dalam satu beg kecil yang kini menjadi 'beg tangan' saya. Saya bawa ke tempat kerja, saya letak di satu slot rak buku yang masih kosong apabila saya balik ke rumah. Tiada siapa boleh alihkan beg ini tanpa kebenaran saya. Oleh kerana saya tidak mempunyai ruang peribadi (tiada bilik yang boleh dikunci lama, tiada kubikel di tempat kerja), saya terpaksa menulis di mana-mana. Sebaik saja jumpa kerusi, sepatutnya saya boleh menulis. Namun, ada beberapa tempat yang perlu di manfaatkan sepenuhnya, iaitu:

1. Meja makan
Suatu tempat di mana saya boleh memantau semua orang. Oleh kerana saya tidak menggunakan komputer, saya tidak menarik perhatian sesiapa.

2. Bilik Mesyuarat
Pernahkah anda berada di dalam suatu mesyuarat yang dihadiri oleh 100 orang yang sedang rancak berbual sesama sendiri dan waktu itu sudah 2 jam selepas waktu tamat kerja? Saya selalu. Saya tidak suka mengambil peluang di waktu kerja kerana saya tahu rezeki saya perlu diberkati Tuhan, namun apabila saya mendapati apabila saya sudah jelas dengan apa yang perlu dibuat dalam sesuatu projek, saya boleh menggunakan masa mesyuarat yang terlalu panjang untuk menulis. Itu lebih baik dari berbual kosong.

3. Masa rehat di tempat kerja
Selepas makan, selalunya kita akan berbual dengan rakan-rakan sekerja. Saya perasan perbualan dengan rakan sekerja akan berputar tentang perkara-perkara ini: Pertama, tidak puas hati dengan si polan/ organisasi. Kedua, hal rumahtangga. Ketiga, ulang semula perkara 1 dan 2. Jarang-jarang kita berbual tentang perkara yang menjana pemikiran. Saya mesti pergi ke sudut yang agak jauh dari sudut tumpuan (di mana watak 'life-of-the-party' akan datang dan menarik semua orang ke arahnya seperti magnet) dan menulis. Jangan menulis hampir dengan sudut tumpuan kerana nanti ada orang menegur "Buat apa tu?" dan anda terpaksa menjawabnya! Sama ada anda menjawab atau tidak menjawab anda akan tetap di anggap PELIK.

3. Di bilik komputer
Akhirnya, apabila semua telah ditulis dalam buku nota Camel 100 helai itu (draf pertama), barulah ia boleh ditaip ke dalam komputer. Ini adalah draf kedua. Masa menaip lebih kurang setengah jam untuk sesuatu masa sebelum saya dipanggil untuk membuat sesuatu. Sampai masa, saya siap menaip dan saya akan mengedit. Ini adalah draf ketiga. Cerita yang paling asas ialah draf ketiga. Cerita yang paling baik akan mengambil sehingga draf kelima atau keenam.

Jadi, jika ada yang diluar sana mempunyai banyak masa peribadi dan ruang peribadi, gunakanlah sebaiknya. Ia takkan kekal selama-lamanya begitu.

4 comments:

  1. Kak Sri,

    Pencerahan yang baik. Ruang masa yang lapang tidak akan selamanya luas. Disiplin dan ketegasan terhadap diri sendiri adalah tunjang utama kak. Terima kasih untuk perkongsian ini!

    ReplyDelete
  2. Sdr. Tahniah atas kerja kerasnya. Dan juga hasil yang dituai. Saya kagum.

    ReplyDelete
  3. Faizah Azaman,

    Sama-samalah kita memeriahkan suasana. Persaingan yang sihat amat diperlukan.

    Tuan Marsli N.O,

    Terima kasih kerana sudi berkunjung ke sini dan meninggalkan jejak. Saya amat berbesar hati.

    ReplyDelete
  4. Ilham itu sesuatu yang amat sukar untuk dimengertikan. Jika mahu diceritakan, boleh jadi seperti Hikayat 1001 Malam. Syukur kepada Allah, kerana menganugerahi kita ilham yang baik.

    ReplyDelete