Wednesday, November 17, 2010

PENGAKHIRAN CERITA: SEDIH ATAU GEMBIRA?

Saya sangka saya tahu pengakhiran cerita saya, namun setelah watak-watak jadi bernyawa, semuanya berubah. Saya umpama watak Dermott Trellis dalam At-Swim-Two-Birds karangan Flann O’ Brien tanpa perbuatan membunuh diri dengan pisau cukur kerana diugut oleh watak-watak dalam novelnya. Pengakhiran yang dirancang berubah. Tidak banyak, sedikit.


Secara am, pengakhiran terbahagi kepada dua. Pengakhiran yang sedih dan pengakhiran yang gembira. Tidak semestinya pengakhiran yang sedih akan mengecewakan pembaca. Tidak semestinya pengakhiran yang gembira akan memuaskan hati pembaca. Tapi pastinya pembaca akan marah jika anda tiba-tiba membunuh watak hero yang anda telah minta pembaca anda melaburkan komitmen terhadap watak itu. Lebih teruk, watak hero itu mati kerana penyakit (barah otak) dan kematian tidak membawa apa-apa faedah kecuali membuatkan heroin menyesal. Oh, saya harap zaman itu telah lama berakhir!

Pembaca lebih suka pengakhiran sedih atau gembira? Hm, bergantung. Saya rasa pilihan itu banyak bergantung kepada psiki pembaca. Saya suka penamat Never Let Me Go (Kazuo Ishiguro) walaupun menjadikan saya murung. Saya tidak suka penamat siri Twilight (saya mahu mereka semua mati terbakar). Penamat Twilight adalah satu pembaziran kertas. Saya suka penamat Inkheart (Cornelia Funke). Saya tidak suka penamat semua novel romance kerana penulis amat takut memperapa-apakan wiranya. Saya amat tidak suka pengakhiran novel Beastly (Alex Flinn). Saya harap watak Kyle Kingsbury dimatikan sahaja. Menyakitkan hati betul. Oh, senarai bacaan saya bukan senarai yang baik. (Saya sejenis pelajar yang malas untuk berpening-pening).

Saya suka pengakhiran sedih kerana saya boleh keluar dari bacaan tanpa satu parut pun. Kadangkala pengakhiran yang bahagia rasa terlalu palsu kerana hidup tidak begitu.

Satu lagi pengakhiran yang saya suka ialah pengakhiran misteri. Saya suka berfikir-fikir setelah novel itu habis dan merancang sekuel untuk orang lain.

2 comments: