Saturday, October 30, 2010

KRITIKAN & KUTUKAN: PERLU LEBIH SPESIFIK

"Buku idaman terbaru walaupun tak tahu macamana isinya."
Jika anda masih menulis, teruskan. Anda mungkin sedang mengalami momentum yang cukup laju sekarang, menaip lima muka surat pada hari-hari biasa dan dua puluh muka surat ketika hari minggu dengan bersengkang mata pada malam Sabtu dan malam Ahad. Anda akan merasa yang badan tidak berapa sihat selepas itu. Pergelangan tangan kanan akan sakit membawa sehingga ke bahu jika memegang tetikus dengan tangan kanan. Jika ada ibu, abang, kakak, anak atau pasangan rumahtangga yang bersimpati, bolehlah minta diurut. Jika tinggal seorang diri bolehlah tampal koyok. Selepas itu, rasa ada semacam kemurungan kerana sudah terlalu lama melupakan televisyen, kawan-kawan dan dunia luar.


OK. Anda kena berhenti.

Pergilah berjogging, bersiar-siar di taman awam, telefon kawan atau kalau ada wang lebih pergilah tengok-tengok kedai buku. Cari buku yang menarik. Bawa balik dan simpan dengan berkata “Aku nak baca buku ni sebaik saja manuskrip aku ni siap.” Sambil boleh tengok isu-isu seputar dunia sastera yang anda begitu ingin ceburi.

Ketagih Kritik
Saya suka membaca kritikan. Kadangkala kena batang hidung, kadangkala tidak. Dulu, pakar-pakar akan mengkritik novel popular, sekarang mereka mengkritik novel pop Islami. Lepas ini, kita tengok siapa yang kena. Secara jujur, saya rasa semua orang merasa karyanya sendiri hebat (apatah lagi apabila disokong dengan bukti jualan yang kencang).Jadi apabila sesuatu kritikan membina yang ditulis secara am merujuk kepada novel popular atau novel pop Islami, kritikan itu akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Masing-masing berkata ‘Eh, novel aku bukannya macam tu. Novel aku betul-betul Islamik. Cuma rupa kulitnya saja yang klise’. Sama dengan novel popular, pengarangnya akan berkata ‘Hanya kerana tajuk novelku Mahligai Asmara dan kulitnya memaparkan seorang teruna dan dara tidak bermakna ia novel popular. Ia sebenarnya memaparkan tema yang berat.’ Saya faham yang semua pengarang ada hak mempertahankan karya masing-masing.

Betul-betul teruk
Tapi, kalau dalam novel ‘Demi Kasih Khisa’ yang ada adegan pasangan kekasih merakam adegan ranjang dengan video kamera, walau untuk tujuan menasihat sekalipun, saya tidak boleh terima. Sama seperti pengarang, pembaca juga ada hak mempertahankan intergriti mindanya.

Kawan tolong kawan
Jadi, jenis kritikan bagaimana yang boleh memberi manafaat kepada pengarang? Saya cadangkan kepada pakar sastera supaya mengkritik dengan khusus. Jangan kerana takut mempopularkan novel saingan anda maka anda tak sudi mengkritik novel tersebut. Hentam saja sebab novel itu memang teruk. Misalnya begini,

‘Novel 'Istikharah Cintaku' mengisahkan Nurul Huda yang tidak percaya dengan amalan berdoa walaupun dia seorang Muslimah yang patuh. Namun setelah mengalami kesukaran memlilih antara dua jejaka yang sama warak, berilmu dan budiman, Nurul Huda akhirnya tunduk kepada fitrah seorang manusia yang perlu akan Tuhannya. Novel ini masih berputar di dalam lingkungan soal pencarian jodoh. Nurul Huda yang berada di Universiti ____ sepatutnya mempunyai perjuangan yang lebih besar dari pencarian jodoh kerana dia sendiri sedang terlibat di dalam projek ______ yang mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak yang tidak sedar akan kebenaran. Tetapi pengarang memilih untuk memberatkan tema pencarian jodoh di sebalik potensi novel ini membawa tema global yang lebih mendesak’.

Ini contoh sahaja, jika ada novel bertajuk begini, ia secara kebetulan.

Pukul sampai rata
Pakar-pakar lebih baik mengkritik secara khusus. Ini menunjukkan pakar telah membaca novel tersebut dan bukannya main pukul rata sahaja. Di samping itu, pengarang ini tadi yang suam-suam kuku karyanya bolehlah memperbaiki diri. Jika tidak dia akan sentiasa hidup dalam penafian sepanjang hayatnya berkarya. ‘Ini bukan kerja aku, ni!’ Selain itu, kritikan pukul rata juga akan memukul rata kategori yang lain selepas itu. Contoh, ‘novel HSKU membosankan’, ‘karya diiktiraf HSPM tidak mencapai piawai’, ‘Karya klasik Melayu sukar difahami’. Spesifiklah sikit – karya yang mana satu? Bab mana yang bosan? Apakah piawaian itu? Tak faham atau kau tak pernah baca?

Inilah yang dinamakan kawan
Dan jika memuji, lakukan juga secara khusus, bukannya copy and paste sahaja dari laporan panel hakim. Jika tidak mahu mengkritik dan memuji dengan berhemah, tidak perlulah melakukannya. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi mengkritik karya saya secara khusus di goodreads dan di blog mereka. Mereka tidak dibayar dan tidak dipujuk, namun mereka telah membuatkan saya belajar dari kritikan mereka.

Sunday, October 24, 2010

KAJIAN: JANGAN TUNGGU TAHUN DEPAN

Malas atau bebas

Sebenarnya, apabila draf pertama karya sudah siap, saya sudah melepasi saat-saat genting. Saat-saat genting antara rasa malas dan bertindak menulis. Dengan adanya draf pertama, draf kedua hanya perlu kesihatan tubuh badan saya dan orang-orang di sekeliling saya untuk dijadikan sebuah manuskrip.

Apa lagi lepas ini?
Dalam pada itu, minda sudah lega. Seelok-eloknya, waktu ini saya sudah memikirkan apa yang nak ditulis seterusnya. Hendak berada di takuk lama, atau hendak maju setapak lagi. Allah saja yang tahu ke mana perginya semua orang. Tapi yang penting mesti berusaha selain dari bermimpi.

Kajian
Kajian itu penting. Kajianlah yang menjalankan cerita. Jika tidak cerita hanyalah mainan perasaan sahaja – gembira, kecewa, dendam, nostalgia, marah, pusing balik.

Internet sebagai permulaan
Saya nasihatkan adik-adik yang menulis, terutamanya untuk HSKU, mulalah membaca di luar bidang anda. Taipkan sesuatu yang tak pernah anda baca di enjin carian dan biarkan maklumat itu membentangkan dirinya di depan anda. Fokuskan kajian anda kepada sesuatu dan simpan halaman-halaman berguna di ruang ‘favourite’. Bulan depan misalnya, anda sudah tahu hendak beli buku apa sebagai sumber kajian selain di Internet. Kumpulkan bahan sambil berfikir-fikir tentang plot yang seiring dengan bahan kajian.

Jadi, jangan tunggu tahun depan baru nak mula membaca topik/ isu baru. Masa senggang, gunakan untuk membaca dan membentuk idea, seterusnya ideologi. Plot akan datang dengan sendiri. Apa ditunggu lagi? Siapkan draf kedua sambil membuat kajian untuk karya seterusnya!

Friday, October 22, 2010

PASCA-POLEMIK: KEMBALI MENULIS

Selepas puas berpolemik dan akhirnya mencapai peleraian dan juga mendapat nasihat dari pelbagai pihak, seseorang yang hendak bergelar penulis mesti balik ke asal kerjanya iaitu menulis.


Draf kedua
Katakanlah, dengan izin Allah SWT draf pertama sudah siap, yang merupakan tulisan tangan dalam buku nota Camel 100 mukasurat. Selama ini, saya hanya dapat menulis di tempat-tempat terbuka – kantin, dewan, bilik mesyuarat, dalam kereta. Setelah siap draf pertama, saya mesti meminta tolong. Minta tolong orang lain untuk saya dapatkan masa paling singkat 1 jam supaya saya boleh kunci pintu dan menaip di computer. Pastikan ada makanan untuk orang-orang dalam rumah siap dalam periuk. Broadband mesti dicabut dan diletak jauh-jauh supaya saya tak sambil-sambil main Internet. Muzik dipasang supaya ada feel (light up, light up! As if you have a choice, even if you cannot hear my voice - I’ll be right beside you dear! - Snow Patrol, Run)

Penyuntingan tahap 1
Menaip akan jadi kerja pantas kerana saya sudah menulis terlebih dahulu di atas kertas. Tidaklah saya termangu-mangu di depan skrin dan meletihkan mata. Namun, menaip ini sebenarnya lebih memakan masa dari menulis draf pertama. Secara automatik saya akan membuat pembetulan gramatis mengikut kemampuan saya. Ayat-ayat yang janggal sepatutnya saya licinkan sebutannya. Fakta-fakta yang saya tak pasti saya akan kosongkan dan cari di waktu lain di Internet.

Semakin tebal
Proses ini secara automatik akan menambah jumlah perkataan dari draf pertama. Jika draf pertama berjumlah 15000 patah, sepatutnya draf kedua akan bertambah menjadi 25000 jika saya bersungguh-sungguh. Draf kedua memang sukar dan mengambil masa. Kadangkala plot boleh bertukar kerana suatu fakta baru yang dijumpai. Saya perlu berfikiran terbuka dan jangan rasa berat hati hendak buat perubahan.

Jadi, adik-adik dan muda-mudi di luar sana – tulislah! Kerana akhirnya karya itu akan bercakap mewakili tuan punya cerita, bukan hujahnya di suatu forum yang hanya terbang melayang dibawa angin dan akhbar.

Wednesday, October 20, 2010

PENANGAN D.O.M: Penulis Wanita: Realiti versus Idealisme

DOM Penulis Wanita: Realiti versus Idealisme ialah DOM yang pertama saya sertai. Saya tidak pernah menyertai forum sepertinya jadi saya tidak boleh buat perbandingan. Tapi pada hari itu, tingkat atas Rumah PENA penuh. Semua kerusi ada yang duduk. Ada juga yang berdiri di belakang. Saya yakin tarikan DOM kali ini adalah tajuknya yang demikian rupa itu.


Dua Isu
Balik dari DOM, saya diterjah oleh 2 isu penting: Pertama, kuasa wang lawan kebebasan kreativiti dalam penerbitan yang seterusnya mempengaruhi karya seseorang penulis. Kedua, penulis wanita tidak pernah sehebat penulis lelaki maka kerana itulah belum seorang pun penulis wanita dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Pertama, wang lawan penulis sastera: siapa akhirnya akan tewas? Kedua: Penulis lelaki lawan penulis wanita: Siapa tewas?

Buntu
Saya tiada jawapan untuk persoalan-persoalan tadi. Saya tulis entri ini sekadar untuk mengamankan pemikiran saya yang sebelumnya berkecamuk.

Di persimpangan
Yang saya tahu, DOM yang ini membawa saya ke persimpangan jalan. Sampai bila saya mesti jadi penulis sayembara yang menulis karya dianggap sastera tapi untuk bacaan remaja? Yang jika dijual di luar tak tentu arah nasibnya. Suatu hari nanti saya terpaksa menulis novel untuk pembaca dewasa, membincangkan isu-isu orang dewasa dan masih mengekalkan keseriusan tema dan ideologi. Ke mana saya mahu pergi? Ada lagikah Hadiah Sako? Sayembara apakah yang ada ketika itu? Hendak terbit di DBP sangatlah saya takut kerana saya selalu pergi jualan gudang DBP dan melihat nasib novel-novel yang tidak dipasarkan dengan baik. Jika mahu ke penerbit komersial adakah ia diterima? Atau akan diterima jika saya melakukan perubahan-perubahan seperti yang diminta mengikut kriteria penerbitan tersebut? Saya cuba berpening-pening kepala tentang hal ini, dan timbul penyelesaiannya. Iaitu, saya mesti yakin dengan rezeki Allah untuk saya. Yang penting, saya mesti berusaha dahulu dengan menulis novel tersebut dahulu dan mencari penerbit. Jika tak laku, tulislah lagi dan lagi dengan penuh gigih.

Feminis pengemis
Tentang isu kedua pula, saya ada jawapannya. Saya tahu kenapa penulis lelaki sentiasa jadi lebih hebat dari penulis wanita. Jawapannya berasaskan statistik (umur lelaki dan wanita berkahwin, jangka hayat lelaki & wanita yang menjadi pasangan dalam perkahwinan) dan juga pemikiran-pemikiran penulis feminis Barat (Simone de Beauvoir, Virginia Woolf). Saya tidak suka rujukan-rujukan saya termasuklah statistik. Tetapi setelah mendapati yang penilaian karya sastera itu adalah suatu yang amat subjektif, saya perlu sedar yang karya dinilai mengikut kaca mata siapa. Kaca mata siapa itu sendiri ditentukan oleh keadaan sedia ada yang telah wujud sejak lama dahulu. Akhirnya, saya balik ke tahap perasaan yang asas. Saya jadi marah dengan ketidakadilan pandangan dunia termasuk pandangan dunia untuk kesusasteraan.

Sublimasi
Tapi, marah saya takkan sia-sia. Kemarahan jika disublimasikan dalam karya akan memberi kesan hebat. Jadi,tulis dan terus menulis!

Monday, October 18, 2010

D.O.M: Penulis Wanita: Realiti versus Idealisme

Aidil Khalid
Apabila membaca entri blog Aidil Khalid ‘Fahaman Ainonisme’, saya rasa kagum akan keberaniannya mengkritik dan mengamankan perasaan pada waktu yang sama. Saya memang tidak pandai mengkritik. Saya selalu mengambil jalan tengah. Memang ‘wimpy’ tapi itu mungkin akan berubah.


Datang dari luar angkasa
Saya terkejut juga dengan pandangan Pn. Ainon. Kerana it came out of nowhere. Kerana selama berforum itu tiada sesiapa pun bercakap tentang wang. Ada sebutan tentang JK Rowling dan Stephenie Meyer, tapi semua orang ambil endah tak endah saja. Kerana kami bukan bercakap tentang wang. Bukannya panel tidak suka wang atau tak perlu wang atau tak dapat wang dari hasil karyanya, cuma sama seperti pandangan panel tentang seksualiti, wang adalah sesuatu yang peribadi. Panel tidak pernah merana tentang wang. Bukannya kami tak dapat royalti. Bukannya kami sengkek sangat. Kalau boleh saya nak tanya Dr. Hj. Faisal Tehrani berapa banyak royalti yang dia dapat setahun dan adakah dia pernah diberitahu oleh sesiapa supaya jangan gagalkan/ bunuh hero/ heroin beliau di akhir cerita, atau ada sesiapa suruh beliau tukar point-of-view cerita? Tentunya tidak. Beliau takkan terima semua tu. Jika beliau nak lakukan apa yang orang suruh beliau lakukan, mesti beliau tidak jadi penulis hebat. Mungkin beliau jadi operator kilang buat transformer (komponen elektrik, bukan permainan).

Royalti
Dan kalau boleh saya nak tanya Cikgu Amer Hmzh L Kadir, berapa banyak royalti yang beliau terima untuk cetakan pertama novel Kembara Amira yang menjadi teks KOMSAS Tingkatan 5 di beberapa negeri tahun ini. Saya pasti Cikgu Amer tak payah nak guna teknik Surah Yusuf.

Menulis di dalam sebuah kilang
Apa yang menakutkan ialah penulisan menjadi sesuatu yang keluar dari satu assembly line yang besar. Penulis sejati paling tak suka disuruh tulis apa yang dia tak nak tulis. Wira saya akan mati berkubur dalam paya di Kuala Selangor, biarkanlah. Wira saya akan gagal. Biarkanlah. Semua orang akan mati dalam satu malapetaka besar. Biar saya tulis. Heroin saya takkan jumpa cinta sejati. Biar saya tulis. Satu-satunya sebab saya menulis ialah saya nak buat sesuatu cara saya. Saya dah ada satu karier di mana saya mesti dengar cakap lebih kurang 20 orang bos dan saya tak perlu 20 orang bos lagi masa saya menulis. Kalau saya boleh terima kemengarutan ini, saya akan cari satu kerja lain lepas pukul 3 petang.

Saya pasti ramai penulis di luar sana boleh buktikan yang cerita yang tidak diformulakan juga boleh laku. Saya hendak dedahkan tapi wang umpama penulisan hal-hal seksualiti dalam sastera bagi saya. Ia cuma wang dan saya tidaklah sengkek. (Ia cuma isu seksualiti dan saya tidaklah merana kerana tidak menulis tentangnya).

Saya tak tahu. This really makes me upset. I hope to reconcile this knowledge with reality, someday.

Friday, October 15, 2010

TOKOH NILAM SEKOLAH MENENGAH DAERAH HULU LANGAT 2010: RUBENDRAN A/L ARUMUGAM

Congrats, Ruben!

A strong presence in the school. Even the Principal won't deny that.


"Come on, kids. Say something!"


Ever the excellent sports man.


Ever the good sport. He is the one as a yellow Optimus Prime.


Always someone the teachers can count on.


An all-round pet student.

You make us proud. SMK Pandan Jaya is behind you all the way.

Sunday, October 10, 2010

TORONTO, OH TRONOH!

Kreatif?
Malam Isnin, ada dua perkara yang menghiburkan saya. Pertama, replika roket dan angkasawan ‘wedding of the year’ dan kedua, berita tentang penipuan kreatif beberapa orang pelajar IPT untuk memasuki ruangan ucapan sempena Aidilfitri di sebuah akhbar tempatan.


'Spoof'
Saya jarang-jarang hendak berkata sesuatu tentang isu semasa di akhbar. Tapi kali ini, saya benar-benar hendak berkata sesuatu kerana ianya sungguh lucu dan menyedihkan dalam masa yang sama. Aktiviti yang dilakukan oleh beberapa pelajar IPT ini saya gelarkan ‘spoofing’ ataupun ‘parody’. Kenapa ‘parody’ atau ‘spoofing’ wujud dalam media samada filem, televisyen dan penulisan? Ia selalunya adalah reaksi yang menunjukkan pemberontakkan atau rasa tidak puas hati atau pun secara kasarnya, perasaan mual, muak dan mungkin juga iri hati terhadap seseorang atau sesuatu.

Isi hati
Contohnya, kerana berasa benci atau tidak puas hati atau dengki/ iri hati dengan kejayaan francais Twilight Saga, sekumpulan orang menghasilkan satu filem ‘spoof’ atau ‘parody’ bertajuk Vampires Suck. Ia dibuat ala-ala Twilight tetapi mempunyai unsur-unsur kebodohan melampau. Sama dengan kumpulan pelajar tadi, ia membuat foto ala-ala sekumpulan pelajar sedang berbaju raya dan didakwa mereka adalah pelajar dari universiti luar negara. Tujuannya ialah untuk menunjukkan rasa muak, mual, benci atau iri hati(?) dengan pelajar yang belajar di luar negara.

Ekstrem
Di mana filem-filem spoof/ parody menamakan diri mereka dengan tajuk yang lain, tidak sama apa yang berlaku dengan foto ini. Untuk mencapai apa yang dicapai oleh pelajar ‘spoofers’ ini, filem Vampires Suck perlu memuatnaikkan tarilernya ke Internet dengan tajuk The Twilight Saga: Midnight Sun dan mengundang kemarahan puak’Twiharders’ kerana mereka betul-betul menyangka yang novel yang belum ditulis itu telah diterbitkan dan difilemkan! Membazir masa mereka sahaja menunggu video itu stream ke dalam komputer!

Tidak perlu
Saya tidak mahu menghakimi pelajar-palajar ‘spoofers’ ini. Tapi saya hendakkan nyatakan di zaman teknologi ini di mana semua orang boleh menelefon, mengemel, berfacebook dan bertwitter dan berkongsi foto-foto yang ditangkap jauhnya beribu kilometer dengan ahli keluaraga dan teman-tema, saya rasa ruangan seperti yang saya sebutkan pada awal entri tadi sudah tidak perlu lagi. Saya yakin spoofing ini akan terus berlaku samada diakui atau tidak oleh orang yang melakukannya. Dan sangat ditakuti denganmempamerkan foto-foto di luar negara yang berunsur santai adalah disebabkan oleh perasaan riak di dalam hati pengirim dan untuk berbangga di kalangan ahli keluarga di Malaysia (manalah tahu!)

Berkhidmat untuk agama, bangsa, negara dan kemanusiaan sejagat
Jika mahu diteruskan, buka kepada golongan bukan pelajar yang bekerja sebagai tentera, pasukan perubatan, pekerja pelantar minyak, pengurus jemaah haji dan sebagainya. Supaya seluruh Malaysia tahu jasa mereka dan beraspirasi untuk mencontohi pengorbanan personel-personel ini yang mungkin bekerja di dalam keadaan bahaya dan berisiko tinggi. Jika gambar orang bermain salji dan berdiri di depan Stonehenge sahaja, tiada apa yang dapat diceritakan.

Lebih ruang untuk sastera
Atau lebih baik, dua muka surat itu lebih baik dibuka untuk ucapan bermadah, puisi tentang sambutan Ramadhan dan Syawal yang saya pasti sukar dipertikaikan keasliannya. Dan pasti bulan Ramadhan dan Syawal mengundang lebih banyak karya dari sasterawan-sasterawan kita.

Thursday, October 7, 2010

KATEGORI NOVEL REMAJA HSKU 2010: RENUNGAN & MENUNGAN

Kategori Novel Remaja HSKU adalah suatu sayembara yang pelik. Tahun ini misalnya, saya belum lagi melihat sebarang siaran di akhbar atau di Internet yang mempromosikan pertandingan ini. Sebenarnya, jarang-jarang ada iklan tentang KNR HSKU di media. Kategori ini seperti kategori mistik – tiada pengumuman tetapi ia ada. Pengetahuan mengenai sayembara ini seolah-olah adalah pengetahuan yang diturunkan dari generasi ke generasi, dari orang-orang tertentu kepada orang-orang yang dikenali. Saya tidak rasa pelik apabila bilangan manuskrip yang masuk saban tahun semakin kurang.


Pertama kali
Pertama kali saya menghantar manuskrip untuk HSKU pun bukan kerana iklan. Saya ingat lagi, tahun 1999, saya masih belajar lagi di Kuala Lumpur. Hujung minggu, jalan-jalan seorang diri dan naik bas ke Bukit Bintang Plaza. Niat di hati (setelah membaca buku Writer’s Guide) nak buat market research. Tahun 1999, tak banyak novel Melayu. Tidak macam sekarang. Saya singgah ke MPH dan selak-selak buku di rak Melayu. Saya ingat menyelak novel Wira Pesona Avatari, Pia, Ekspedisi dan Harga Luka. Saya suka lukisan di kulit dalam dan saya dapat rasakan novel-novel ini terkeluar dari lingkungan popular tapi istimewa. Sudah jadi kebiasaan, saya membawa pensel dan kertas A4 dilipat dalam poket dan saya mencacat alamat penerbit di dalam novel tersebut.

Manuskrip
Setelah manuskrip saya siap pada tahun 2000, saya bungkus ia dan tulis alamat penerbit. Saya tambah saja ‘Ketua Editor Kategori Novel Remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan.’ Setelah saya poskan, saya terus tidak tahu apa nasib manuskrip itu sehinggalah pertengahan tahun 2001.

Demi masa
Renungan dan menungan ini sengaja saya ketengahkan untuk menggalakkan penulis-penulis di luar sana memeriahkan KNR HSKU 2010. Ada 83 hari lagi. Mari menulis.

Wednesday, October 6, 2010

TIDAK DAPAT MENULIS: MAAFKAN DIRI

Menulis itu amat penting kepada seseorang yang bercita-cita untuk menghasilkan sesuatu karya. Namun adakalanya saya mesti memaafkan diri saya jika saya tidak dapat menulis – mungkin tidak dapat menulis sehari, seminggu, sebulan atau setahun. Ini adalah kerana ada perkara-perkara yang tidak boleh ditinggalkan walaupun saya perlu menulis.


1. Keluarga
Semua orang mempunyai peranan dalam institusi keluarga. Mungkin sebagai seorang anak kepada ibu bapanya, kakak atau abang kepada adik-adiknya, ibu atau bapa kepada anak-anaknya, suami atau isteri kepada pasangannya. Kadangkala ada individu dalam keluarga kita yang memerlukan perhatian istimewa dan kita mesti menunaikan tanggungjawab tersebut seperti menjaga ibu atau bapa yang sakit dan sebagainya. Tunaikanlah tanggungjawab tanpa rasa sesal. Suatu hari nanti, anda akan menulis jua, dan suatu kematangan yang diperolehi dari pengalaman anda akan terpancar di dalam karya.

2. Hubungan silaturahim
Semua orang mempunyai peranan di dalam masyarakat. Paling jelas sekarang, sebagai jiran atau saudara kita perlu menghadiri jemputan jiran dan saudara-mara kita. Penuhilah jemputan itu, kerana ia tidaklah lama.

3. Projek penting di tempat kerja
Kadangkala majikan anda mahukan sesuatu dilaksanakan dengan jayanya dalam tempoh masa tertentu. Oleh kerana saya telah membuat pilihan hidup untuk bekerja selain dari menulis, saya mestilah terima yang saya mesti memberi keutamaan kepada kerja makan gaji itu. Saya juga perlu ingat yang saya menggunakan duit gaji saya untuk membeli peralatan menulis. Jika gaji saya tidak berkat, maka penulisan saya juga tidak berkat.

4. Peperiksaan penting
Menulis kebiasaannya akan memakan masa yang panjang dan tumpuan yang hebat. Anda terpaksa membuat kajian, menyemak dan menulis semula draf. Jika ada adik-adik di luar sana yang akan menjalani peperiksaan penting, maafkanlah diri anda kerana terpaksa menangguhkan penulisan buat sementara waktu. Lepas peperiksaan, tulislah puas-puas.

Jadi, teruskan menulis di mana ia tidak mendatangkan kesusahan kepada anda. Kadangkala, anda perlu memaafkan diri anda jika tidak dapat menulis atas sebab-sebab tertentu. Tetapi, selesai saja tanggungjawab anda, kembalilah ke bidang ini.

Monday, October 4, 2010

MENULIS: DISIPLIN

Dengan izin Allah SWT anda sedang menulis ‘full swing’. Sedar tak sedar sudah sampai Bab 3. Tapi Bab 3 itu sebenarnya hanya sedikit sebab anda tidak tahu berapa lama lagi cerita anda akan terus berjalan. Jadi, mengejar masa amat penting. Amalkan beberapa perkara supaya anda berjaya menggunakan masa dengan sepenuhnya:
1. Tinggalkan sembang di laman sosial.
Saya kenal seseorang yang berfb dan ia mengambil masa 2 jam setiap hari. Malangnya, saya tidak ada 2 jam setiap hari. Jika saya berfb, habislah cita-cita saya ini. Bagaimana pula dengan berblog? Bagi seseorang yang mengemaskini blog seminggu 3 kali dan dengan isi sedikit tanpa foto, saya ambil masa setengah jam sahaja. Lagipun, berblog mempunyai unsur-unsur terapi di mana saya menyusun pemikiran dan menanam azam. Sama ada tulisan saya diterima atau tidak, ia bukanlah sesuatu yang terlalu menekan perasaan. Bayangkan jika saya berfb dan tiada siapa yang mahu bersembang dengan saya? Pasti saya akan mengalami trauma.

2. Tonton TV secara berjadual.
Jangan hidupkan televisyen dan duduk di depannya sambil melayari stesen-stesen tanpa arah tujuan. Jika anda hidupkan TV, pastikan anda tengok rancangan yang anda sudah tahu waktu siarannya.

3. Masak di rumah.
Percaya atau tidak, memasak di rumah lebih menjimatkan masa jika anda telah membeli bahan mentah pada hujung minggu? Saya yakin begitu dibandingkan dengan masa yang diambil untuk bersiap, memandu ke restoren/ gerai, memesan, menunggu, memandu pulang, memasukkan lauk ke dalam mangkuk dan akhirnya makan.

Saya kira ini sajalah ruang-ruang penjimatan masa yang ada, kerana tidak semua benda boleh ditinggalkan hanya kerana saya hendak siapkan sebuah cerita.

Sunday, October 3, 2010

MENULIS: SUSAH HENDAK MULAKAN AYAT PERTAMA

Baiklah. Anda sudah ada semuanya – ilham (terima kasih Cikgu Nizar), bahan kajian, peralatan dan akhirnya anda mendapat ruang dan peluang untuk bersendirian dan menulis. Namun, anda sukar hendak memulakan ayat yang pertama. Apa yang anda fikir semuanya tidak kena – tidak gramatis, tidak tepat faktanya, tidak mantap wataknya. Macam-macam kesilapan sudah menakutkan anda sebelum anda boleh menulis ayat pertama. Ini terjadi kerana anda berfikir tentang novel anda yang telah siap. Anda teragak-agak hendak memulakan kerana tidak mahu melakukan kesilapan, maka tidak jadilah novel anda seperti yang diidamkan.


Saya mesti keluar dari kepompong takut buat silap seperti di atas. Saya akan melakukan kesilapan yang banyak. Namun, ini adalah draf pertama. Mestilah ada yang silap. Yang penting saya mesti tulis dan merealisasikan babak –babak dalam minda saya. Saya akan gunakan langkah-langkah ini:

1. Tulis apa yang saya nampak dalam fikiran saya.
Ayat yang saya tulis akan berbunyi lucu, bahkan hanya seperti catatan sebuah diari. Contohnya. “Aku nampak sekumpulan budak-budak duduk di lereng bukit. Ada lima belas orang semuanya. Semua budak sekolah rendah. Ada tiga orang dewasa dengan mereka. Mungkin itu adalah cikgu mereka.Oh ya, budak-budak kecil tu semua datang dari Sweden.” Memang biasa. Bukan ayat-ayat tulisan sastera. Macam pemerhatian biasa saja. Cuma yang tak biasanya, itu adalah catatan khayalan saya. Terus buat macam ini sehingga anda rasa anda takkan berhenti menulis.

2. Mula dari babak penting.
Kadangkala kita hanya satu babak penting. Itulah satu-satunya imej yang bermain dalam fikiran. Katakanlah, saya terbayangkan seorang pemuda yang tiba-tiba terbangun dari tidak sedarkan diri dan berada di satu tempat ganjil. Saya akan tulis ke belakang dan ke depan dari babak tersebut. Kebelakang: Siapa budak tu? Kenapa dia kat situ? Tadi dia tidur ke dia pengsan? Macamana dia boleh ada kat situ? Siapa bawak dia? Ke depan: Macamana keadaan tempat tu? Lepas ni dia nak buat apa? Dia nak pergi mana? Dia suka ke tak tempat tu?

3. Tulis dialog dulu.
Tulislah perbualan watak-watak tanpa menulis gambaran tempat dan orang. Plot mungkin dapat berkembang melalui dialog, insyaAllah.

Sekali sahaja anda termasuk dalam dunia baru ini sedang anda menulis, insyaAllah anda takkan berhenti.

Friday, October 1, 2010

MENULIS: DI MANA & BILA?

A room of her own - Jane Austen had it easy.
Apabila idea telah terbentuk dan kajian telah dibuat, saya akan menyediakan peralatan menulis. Semuanya saya letak dalam satu beg kecil yang kini menjadi 'beg tangan' saya. Saya bawa ke tempat kerja, saya letak di satu slot rak buku yang masih kosong apabila saya balik ke rumah. Tiada siapa boleh alihkan beg ini tanpa kebenaran saya. Oleh kerana saya tidak mempunyai ruang peribadi (tiada bilik yang boleh dikunci lama, tiada kubikel di tempat kerja), saya terpaksa menulis di mana-mana. Sebaik saja jumpa kerusi, sepatutnya saya boleh menulis. Namun, ada beberapa tempat yang perlu di manfaatkan sepenuhnya, iaitu:

1. Meja makan
Suatu tempat di mana saya boleh memantau semua orang. Oleh kerana saya tidak menggunakan komputer, saya tidak menarik perhatian sesiapa.

2. Bilik Mesyuarat
Pernahkah anda berada di dalam suatu mesyuarat yang dihadiri oleh 100 orang yang sedang rancak berbual sesama sendiri dan waktu itu sudah 2 jam selepas waktu tamat kerja? Saya selalu. Saya tidak suka mengambil peluang di waktu kerja kerana saya tahu rezeki saya perlu diberkati Tuhan, namun apabila saya mendapati apabila saya sudah jelas dengan apa yang perlu dibuat dalam sesuatu projek, saya boleh menggunakan masa mesyuarat yang terlalu panjang untuk menulis. Itu lebih baik dari berbual kosong.

3. Masa rehat di tempat kerja
Selepas makan, selalunya kita akan berbual dengan rakan-rakan sekerja. Saya perasan perbualan dengan rakan sekerja akan berputar tentang perkara-perkara ini: Pertama, tidak puas hati dengan si polan/ organisasi. Kedua, hal rumahtangga. Ketiga, ulang semula perkara 1 dan 2. Jarang-jarang kita berbual tentang perkara yang menjana pemikiran. Saya mesti pergi ke sudut yang agak jauh dari sudut tumpuan (di mana watak 'life-of-the-party' akan datang dan menarik semua orang ke arahnya seperti magnet) dan menulis. Jangan menulis hampir dengan sudut tumpuan kerana nanti ada orang menegur "Buat apa tu?" dan anda terpaksa menjawabnya! Sama ada anda menjawab atau tidak menjawab anda akan tetap di anggap PELIK.

3. Di bilik komputer
Akhirnya, apabila semua telah ditulis dalam buku nota Camel 100 helai itu (draf pertama), barulah ia boleh ditaip ke dalam komputer. Ini adalah draf kedua. Masa menaip lebih kurang setengah jam untuk sesuatu masa sebelum saya dipanggil untuk membuat sesuatu. Sampai masa, saya siap menaip dan saya akan mengedit. Ini adalah draf ketiga. Cerita yang paling asas ialah draf ketiga. Cerita yang paling baik akan mengambil sehingga draf kelima atau keenam.

Jadi, jika ada yang diluar sana mempunyai banyak masa peribadi dan ruang peribadi, gunakanlah sebaiknya. Ia takkan kekal selama-lamanya begitu.

GOOD LUCK SHOUT OUTS TO PMR CANDIDATES

2010 is the most satisfying year of teaching English for me. I have very sharp students (albeit still naughty). They laughed at my jokes, most importantly. I learnt from them more than they could have learnt from me. So, to all my students,

3PK4 - Shahrel, Yasyar, Azan Naim, Nazran, Lim Ching Keat, Azeem, Premkumar, Khairul Hafiz, Syafiq Che Ani, Zaquan, Fazlyn, Syafiq Razak, Shukri, Toh Kin Guan, Nandakumaran, Alif Arshad, Mustofa, Bazilah, Wan Nur Syiera, Norhayatti, Ganga Devi, Sivaparvatta, Gayathri, Mary Yeoh, Puteri, Nor Afiqah, Robiatul Adabiyah

3RK1 – Baizura, Shafiqah, Aishah, Nadiah, Zuriah, Filzah, Dhanusya, Ting Ying Shiu, Elza, Shahidah, Lim Ching Shan, Chin Wui San, Aina, Bissmi, Fiaz, Eric, Munirah, Edora, Syahirah, Maryleen, Lukman R, Ammar, Surren, Aliff, Amirul Fahmi, Christopher Lau, Chua Wei Yuan, Syafinaz, Farah, Lukman H, Iqraq (or iqrock), Khairul Ikhwan

3PK1- Fauzan, Sheikh, Irwan, Muhaimin, Osman, Hafizul, Azzraei, Faisal, Hafiz, Nur Fazira, Syuhada, Aqmal, Azila, Azlinda, Fazira K, Hidayah, Rasyidah, Nazri, Farhan, Azhar, Siti Rohani, Samahah, Rohmah, Puteri Nur Athirah, Najihah, Atiqah, Izzatul, Nabila, Izzati, Izzat, Hosiah, Asyiqin

3ES1- Firdaus, Syafiq, Diana Oktamalia, Mimi, Alif, Faris, Hidayah, Haziq Hariz, Amirul Syahir, Raja Aiman, Afiq Haziman, Nisa, Farah Marsya, Lily, Azim, Syazwan, Iskandar, Erni, Puteri, Atiqah, Fatin, Khairul Izzudin, Zaifarie, Raimy, Farhana, Diyana, Fikri, Jasmi, Shahidah, Iya Sofea, Muazzam, Amirul Ashraf

All the best! I pray for your success.