Saturday, October 30, 2010

KRITIKAN & KUTUKAN: PERLU LEBIH SPESIFIK

"Buku idaman terbaru walaupun tak tahu macamana isinya."
Jika anda masih menulis, teruskan. Anda mungkin sedang mengalami momentum yang cukup laju sekarang, menaip lima muka surat pada hari-hari biasa dan dua puluh muka surat ketika hari minggu dengan bersengkang mata pada malam Sabtu dan malam Ahad. Anda akan merasa yang badan tidak berapa sihat selepas itu. Pergelangan tangan kanan akan sakit membawa sehingga ke bahu jika memegang tetikus dengan tangan kanan. Jika ada ibu, abang, kakak, anak atau pasangan rumahtangga yang bersimpati, bolehlah minta diurut. Jika tinggal seorang diri bolehlah tampal koyok. Selepas itu, rasa ada semacam kemurungan kerana sudah terlalu lama melupakan televisyen, kawan-kawan dan dunia luar.


OK. Anda kena berhenti.

Pergilah berjogging, bersiar-siar di taman awam, telefon kawan atau kalau ada wang lebih pergilah tengok-tengok kedai buku. Cari buku yang menarik. Bawa balik dan simpan dengan berkata “Aku nak baca buku ni sebaik saja manuskrip aku ni siap.” Sambil boleh tengok isu-isu seputar dunia sastera yang anda begitu ingin ceburi.

Ketagih Kritik
Saya suka membaca kritikan. Kadangkala kena batang hidung, kadangkala tidak. Dulu, pakar-pakar akan mengkritik novel popular, sekarang mereka mengkritik novel pop Islami. Lepas ini, kita tengok siapa yang kena. Secara jujur, saya rasa semua orang merasa karyanya sendiri hebat (apatah lagi apabila disokong dengan bukti jualan yang kencang).Jadi apabila sesuatu kritikan membina yang ditulis secara am merujuk kepada novel popular atau novel pop Islami, kritikan itu akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Masing-masing berkata ‘Eh, novel aku bukannya macam tu. Novel aku betul-betul Islamik. Cuma rupa kulitnya saja yang klise’. Sama dengan novel popular, pengarangnya akan berkata ‘Hanya kerana tajuk novelku Mahligai Asmara dan kulitnya memaparkan seorang teruna dan dara tidak bermakna ia novel popular. Ia sebenarnya memaparkan tema yang berat.’ Saya faham yang semua pengarang ada hak mempertahankan karya masing-masing.

Betul-betul teruk
Tapi, kalau dalam novel ‘Demi Kasih Khisa’ yang ada adegan pasangan kekasih merakam adegan ranjang dengan video kamera, walau untuk tujuan menasihat sekalipun, saya tidak boleh terima. Sama seperti pengarang, pembaca juga ada hak mempertahankan intergriti mindanya.

Kawan tolong kawan
Jadi, jenis kritikan bagaimana yang boleh memberi manafaat kepada pengarang? Saya cadangkan kepada pakar sastera supaya mengkritik dengan khusus. Jangan kerana takut mempopularkan novel saingan anda maka anda tak sudi mengkritik novel tersebut. Hentam saja sebab novel itu memang teruk. Misalnya begini,

‘Novel 'Istikharah Cintaku' mengisahkan Nurul Huda yang tidak percaya dengan amalan berdoa walaupun dia seorang Muslimah yang patuh. Namun setelah mengalami kesukaran memlilih antara dua jejaka yang sama warak, berilmu dan budiman, Nurul Huda akhirnya tunduk kepada fitrah seorang manusia yang perlu akan Tuhannya. Novel ini masih berputar di dalam lingkungan soal pencarian jodoh. Nurul Huda yang berada di Universiti ____ sepatutnya mempunyai perjuangan yang lebih besar dari pencarian jodoh kerana dia sendiri sedang terlibat di dalam projek ______ yang mendapat tentangan hebat dari pelbagai pihak yang tidak sedar akan kebenaran. Tetapi pengarang memilih untuk memberatkan tema pencarian jodoh di sebalik potensi novel ini membawa tema global yang lebih mendesak’.

Ini contoh sahaja, jika ada novel bertajuk begini, ia secara kebetulan.

Pukul sampai rata
Pakar-pakar lebih baik mengkritik secara khusus. Ini menunjukkan pakar telah membaca novel tersebut dan bukannya main pukul rata sahaja. Di samping itu, pengarang ini tadi yang suam-suam kuku karyanya bolehlah memperbaiki diri. Jika tidak dia akan sentiasa hidup dalam penafian sepanjang hayatnya berkarya. ‘Ini bukan kerja aku, ni!’ Selain itu, kritikan pukul rata juga akan memukul rata kategori yang lain selepas itu. Contoh, ‘novel HSKU membosankan’, ‘karya diiktiraf HSPM tidak mencapai piawai’, ‘Karya klasik Melayu sukar difahami’. Spesifiklah sikit – karya yang mana satu? Bab mana yang bosan? Apakah piawaian itu? Tak faham atau kau tak pernah baca?

Inilah yang dinamakan kawan
Dan jika memuji, lakukan juga secara khusus, bukannya copy and paste sahaja dari laporan panel hakim. Jika tidak mahu mengkritik dan memuji dengan berhemah, tidak perlulah melakukannya. Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan yang sudi mengkritik karya saya secara khusus di goodreads dan di blog mereka. Mereka tidak dibayar dan tidak dipujuk, namun mereka telah membuatkan saya belajar dari kritikan mereka.

9 comments:

  1. Salam Puan Rahayu. Mudah sahaja hendak membandingkan karya popular dan karya berat. Karya popular hanya berlandaskan perkara komersial manakala karya 'berat' lebih mementingkan aspek ilmu dari cerita.

    ReplyDelete
  2. Salam Puan SriRahayu: Saya suka membaca entri Puan yang ini. Saya kagum kerana Puan tetap dapat menulis dan memberi reaksi yang berimbang terhadap sesuatu, meski mengena batang hidung Puan sendiri. Buat saya, tidak peduli dengan segala macam label, apa itu popular, picisan atau sastera berat. Yang penting isi dan kandungannya. Juga asal terasa pengarangnya memang berlaku jujur dengan diri dan kepada pembacanya. Saya juga memang ingin belajar sesuatu dari kerajinan Puan melahirkan buku demi buku. Andai ada yang saya petik dan pelajari dari Puan, harap tidak apa-apa.

    Wassalam,
    MARSLI N.O

    ReplyDelete
  3. Salam Anonymous,
    Terlalu mudah definisi klasifikasi yang anda beri.Percaya atau tidak, ada orang boleh berdebat sehingga ke pagi tentang definisi dan klasifikasi!

    Tuan Masrsli NO,
    Tahniah. Sajak Politikus (1) keluar hari ini. Semoga tersenarai pendek. Saya suka berkongsi ilmu. Jika tidak, tak perlu berblog.

    ReplyDelete
  4. Salam Cikgu Sri,
    Apakah pandangan cikgu tentang pendapat Ahmad J. Hussien yang kelihatan prejudis terhadap novel remaja?

    ReplyDelete
  5. Cikgu Nizar,

    Saya langsung ketawa membaca artikel itu pertama kali. Dari segi definisi sahaja sudah salah. Beliau gagal langsung mengambil kira perbezaan antara novel remaja, novel picisan, novel popular, dll. Apabila definisi sudah salah, hujahan langsung tidak boleh diguna pakai. Nasib baik hari ini senior kita, Tuan Halis Azhan Hanafiah menjawab!

    ReplyDelete
  6. Salam Puan.

    Adakalanya saya terlalu ingin berhati-hati mengulas buku, terutama buku penulis tempatan, sehinggakan ulasan tersebut kekal sebagai draf sahaja dalam blog.

    Sememangnya pembaca berhak memberi pandangan, tapi hakikatnya tidak semua orang mampu menerima kritikan. Pedih, walaupun secebis cuma, pasti akan terasa bagi pihak penulis yang telah bertungkus-lumus menyiapkan karyanya.

    ReplyDelete
  7. Cikgu Seri,
    Saya sendiri berasa hairan bagaimanakah seorang yang mempunyai pengalaman luas boleh menjatuhkan hukum begitu? Apakah maksud beliau sebenarnya? Apakah beliau tidak dapat menerima hakikat bahawa novel remaja pada hari ini semakin mendapat tempat dalam kalangan pembaca?

    ReplyDelete
  8. Ayu dan Cikgu Nizar,
    Saya turut tertawa membaca tulisan Sdr Ahmad J. Hussein. Kandungan tulisan itu sangat terkebelakang dan sweeping statement berlaku pada hampir setiap ayat. Saya ketawa kerana masih ada lagi yang mahu tulis tentang topik begini, sedangkan industri buku dan industri kreatif sudah jauh meninggalkan tulisan-tulisan yang demikian. Saya hairan mengapa MM masih mahu menerbitkan tulisan yang sedemikian.

    Ayu, 60 days more to the finish line! Or is it less than that?

    ReplyDelete
  9. Kak Nisah & Cikgu Nizar,

    If you are going to send it on Friday 31 Dec 2010, you've got 59 days!

    Tak tau le kak pasal MM ni. Takkan tak ada artikel lain pada minggu itu? Artikel tersebut terlalu teruk yang saya mula mengesyaki yang ia adalah sebuah parody/ spoof! Orang dah tak gaduh pasal novel remaja lagi dalam dunia ni.

    Nana,

    Lama tak dengar khabar. Memanglah hati terguris apabila novel dikritik. Tapi kalau penulis itu tidak dapat menerima kritikan, dia boleh saja mengelak dari menggoogle tajuk novelnya sendiri atau namanya sendiri. Kalau dah gatal menggoogle nama sendiri atau tajuk novel sendiri, terimalah kenyataan. Takkan nak harap orang puji saja. Lagipun, semua penulis belajar menulis sepanjang hayatnya berkarya. Cukup baik orang nak baca novel kita. Kalau kena kritik itu sudah dikira bonus.

    ReplyDelete